Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Saturday, May 10, 2008
Anak Orang

Menurut berita yang terkini, seramai 16 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah meninggal dunia sama ada semasa menjalani latihan mahupun tidak lama setelah tamat menghadiri program tersebut.  Jika dibandingkan dengan jumlah pelatih yang telah tamat program ini berjumlah beratus ribu angka 16 ini adalah terlalu kecil. Kalau dimasukkan dalam satu perbarisan, 16 orang daripada beratus ribu tidak penting malahan biarpun mereka tidak wujud langsung ia tidak memberikan sebarang kesan langusng kepada jumlah yang sebegitu besar.

Namun begitu setiap mereka yang terkorban adalah manusia bernyawa macam kita juga. Kalau kita menghargai nyawa kita sendiri, orang lain juga menghargai nyawa mereka sendiri dan menghargai nyawa mereka yang disayangi. Dalam soal hidup mati, tidak ada beza orang itu orang kita atau orang lain, anak kita atau anak orang lain. Pemergian orang yang tersayang tetap akan dirasai.

Apabila memperkatakan sesuatu produk yang rosa atau bermutu rendah kita mungkin boleh menggunakan peratus yang rosak dibandingkan dengan jumlah sebenar tetapi perbandingan yang sama tidak seharusnya digunakan kepada manusia. Manusia bukan produk dan tidak boleh menggunakan angka untuk mewakilinya.

Apakah kerana anak orang lain yang meninggal dunia atau ditimpa kemalangan kita merasa lega kerana orang yang kita sayangi tidak terlibat? Apakah kerana yang terlibat itu tidak kita kenali atau terlalu kerap kali berlaku sehingga kita merasa lali dan lalai? Jadi kita mengambil sikap membiarkan sahaja?

Lihat sahaja kepada ibu bapa yang kehilangan anak kesayangan mereka, betapa sedih dan pilunya mereka. Apa tidaknya, orang yang dibelai sekian lama dengan penuh kasih sayang tiba-tiba pergi buat selama-lamanya. Tambah sedih lagi apabila ada orang melihat pemergian itu sebagai satu angka dalam statistik.

Kalau keadaan yang sama berlaku kepada kita atau keluarga kita, apakah kesedihan kita akan berkurangan atau perasaan kita akan sama seperti kita melihat kemalangan yang menimpa anak orang lain? Apakah kita akan mengatakan itu sekadar satu angka dalam statistik semata-mata? Berat mana mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Selagi pisau itu tidak menghiris daging kita masakan kita tahu merasai sakitnya?

Hari Ibu yang menjelang ini kita seharusnya lebih menghargai pengorbanan ibu terhadap anak-anak mereka. Janganlah sekadar membelikan bunga atau hadiah kepada ibu sekali setahun atau dua kali setahun bersempena dengan Hari Ibu dan hari ulangtahun. Itu tidak mencukupi kerana kita telah terpedaya dengan gimik jualan yang mahu melariskan bunga, kek dan hadiah semata-mata. Erti sebenar sambutan hari ibu sudah dilupakan atau sengaja dilupakan.

Kita sepatutnya lebih memahami peranan ibu dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Kita sepatutnya lebih mengerti segala apa yang telah dilakukan oleh ibu kita semata-mata ingin melihat kita menjadi seorang yang berguna.

Saya merasa kagum melihat ada kalangan pemimpin kita yang mengunjungi ibu mereka untuk mengucapkan terima kasih sebaik sahaja memperolehi sesuatu jawatan yang besar. Kita sanjung sikap yang tahu mengharga jasa ibu seperti itu.

Namun begitu pada masa yang sama kita merasa sedih pemimpin yang sama tidak mengambil endah terhadap rayuan ibu-ibu yang lain agar perhatian yang lebih diberikan kepada anak-anak mereka. Kalau orang yang berkuasa dan berpangkat ingin membalas jasa ibu mereka sendiri apakah orang awam seperti kita tidak berhak untuk berbuat begitu?

Sekarang sudah ada seruan dan permintaan agar PLKN dikaji semua terutama sekali tentang keselamatan dan kesihatan pelatih-pelatih sewaktu menjalani latihan. Apakah pihak kerajaan akan melayan permintaan seperti itu kerana ia dimulaikan oleh orang yang berlainan fahaman politik? Adakah layanan yang rasional akan diberikan tanpa mengambil kira seruan atau rayuan itu dibuat oleh orang yang bukan daripada parti politik yang sama?

Apakah nasib anak-anak kita akan diabaikan jika permintaannya dibuat melalui orang yang tidak kita sukai? Apakah kepentingan mangsa sesuatu kecelakaan menjadi tidak penting jika permintaan pertolongan tidak dibuat melalui orang kita? Apakah kerana ianya melibatkan anak orang lain maka segala-galanya menjadi tidak mustahak?

Saya sebenarnya amat khuartir dengan apa yang sedang berlaku. Kita seolah-olah sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana kebenaran itu dikemukakan atau dibuktikan oleh orang yang tidak sefahaman dengan kita. Pertimbangan kita seolah-olah boleh dijual beli dan dipengaruhi dengan unsur-unsur yang tidak berkaitan dan remeh temeh.

Saya sendiri pernah berada dalam keadaan serupa apabila membuat pertimbangan yang penting. Saya mempunyai seorang kenalan yang tidak saya senangi. Dia pernah menghkhianati saya, membohongi saya dan memburuk-burukkan saya. Walaupun saya tidak menganggap dia sebagai musuh tetapi ternyata saya tidak sukakannya. Jika kami berjumpa di jalan saya sekadar menyapa biasa sahaja dan akan beredar daripadanya secepat mungkin. Malah nombor telefonnya juga telah saya padamkan daripada telefon bimbit saya. Dia bukan orang bodoh. Dia sedar saya tidak sukakannya.

Saya sebenarnya sudah lama tidak berjumpa dengannya. Secara tiba-tiba saya menerima telefon daripadanya dua bulan yang lalu, 30hb Mac yang lalu secara tepat. Setelah dia memperkenalkan diri saya terdiam seketika. Belumpun sempat saya tanyakan apa yang dia mahu dia terus meminta tolong agar saya mendermakan platlet untuk anak saudaranya yang sakit tenat kerana demam denggi bardarah. Pesakit demam denggi berkemungkinan menghadapi maut jika tidak mendapat bantuan platlet yang cukup.

Tindak balas segera saya ialah kenapa harus saya menolongnya kerana saya tidak sukakannya atas apa yang telah dilakukan terhadap saya. Itu adalah fikiran yang datang secara tiba-tiba tanpa saya sedari. Namun ia tidak dizahirkan. Jadi kenalan saya langsung tidak tahu apa yang terlintas dalam fikiran saya.

Secepat fikiran tersebut yang datang fikiran saya seterusnya juga berubah. Selama ini, setelah 51 kali saya menderma darah, plasma dan platlet, hampir semua penerimanya tidak saya kenali. Saya langsung tidak mengambil tahu akan seiapa yang menerima dermaan saya. Kalau niat saya untuk menolong, biarlah saya tolong orang yang memerlukan pertolongan saya. Jadi kenapa pula saya harus berkira dengan kenalan saya ini? Itu soalan yang ditanya kepada diri saya.

Jadi saya memberitahunya bahawa saya akan pergi ke bank darah di hospital keesokan hari untuk menderma. Cepat-cepat dia mengucapkan terima kasih kepada saya. Tidak lama kemudian isterinya pula menelefon saya untuk mengucapkan terima kasih. Saya terima sahaja tanpa banyak cakap. Saya menelefon pihak hospital untuk membuat temujandi. Sebagai orang yang biasa menderma temujanji senang saja diatur.

Awal-awal pagi 1hb. April 2008 saya pergi ke bank darah hospital untuk membuat dermaan saya. Proses yang mengambil masa 1 ½ jam itu berjalan lancar. Biarpun saya gembira kerana dapat menderma sebanyak 6 unit dalam tempoh itu dan membantu orang yang sedang tenat sakit namun jauh di lubuk hati saya, saya merasa malu dan kesal dengan tindak balas sepontan saya hari sebelumnya. Pertimbangan saya terpengaruh dengan perasaan tidak suka saya terhadap orang yang meminta pertolongan daripada saya. Saya merasa malu setelah 51 kali saya menderma dan telah menolong entah berapa ramai orang kenapa fikiran seperti itu masih timbul.

Namun saya turut merasa syukur kerana perasaan tersebut tidak diluahkan dan tidak sesiapa yang mengetahuinya sekiranya saya tidak menceritakannya. Saya menyesal dengan fikiran saya itu dan berharap ia tidak akan berulang lagi.

Jika difikirkan secara lebih mendalam, perasaan kenalan saya ini tentunya lebih teruk. Dia sedar bahawa saya tidak sukakannya. Tentu sekali dia telah mengumpul begitu banyak keyakinan sebelum menelefon saya untuk meminta bantuan. Tentu sekali dia juga telah bersedia dengan pelbagai pujuk rayuan sekiranya saya menolak permintaannya atau memarahinya. Nanum demi kesihatan, hidup mati anak sepupunya dia sanggup berdepan dengan saya. Tiba-tiba saya merasakan tindakannya lebih mulia daripada saya.

Adalah tidak mudah untuk kita meminta pertolongan daripada orang yang tidak kita senangi apatah lagi kita pernah memburuk-burukkan orang tersebut. Bukan juga senang untuk kita merendahkan diri untuk meminta pertolongan daripada orang yang pernah kita pandang rendah. Lebih-lebih lagi kalau kita orang yang sombong lagi bongkak.

Biar apa sekali perasaan kenalan saya ini, saya rasa dia tentu sekali merasa lega apabila dengan cepat saya memberikan persetujuan untuk menolong tanpa banyak soal. Tentu sekali dia tidak menyangka persetujuan saya diberi tanpa perlu banyak penjelasan, pujuk rayu atau dimaki hamun. Itu juga barangkali kenapa isterinya turut menelefon saya selepas itu. Tentu sekali juga dia akan merasakan saya seorang yang mulia dan pemurah kerana sedia membantu tanpa mengambil kira apa yang pernah berlaku sebelum ini. Hakikatnya memang begitu cuma saya sendiri sahaja yang terperangkap dengan fikiran sepontan saya.

Lebih lega bagi kenalan saya ini kerana budak tersebut terselamat. Seperti semuanya sudah dirancang oleh seseorang, saya berjumpa dengan kenalan saya tadi di rumah seorang teman yang lain tepat sebulan selepas saya menderma darah. Dia memberitahu saya bahawa anak sepupunya selamat dan mengucapkan terima kasih kepada saya. Saya merasa lega. Sekurang-kurangnya saya tahu tindakan saya tempoh hari tidak salah.

Saya juga tidak lagi menyimpan sebarang dendam terhadapnya lagi. Malah kami juga masak sama-sama kerana kami berada di sana untuk satu perkelahan. Dia daripada kumpulan yang lain sementara saya menyertai kumpulan yang lain. Dia baru sahaja kembali daripada memburu dan meminta saya membantu memasak hasil buruannya itu.

Biarpun orang yang saya Bantu itu anak orang tetapi dia tetap mempunyai hak seperti kita untuk terus hidup di dunia ini. Kalaulah saya berdendam ada kemungkinan anak tersebut tidak dapat diselamatkan. Namun begitu tidaklah kerana saya budak tersebut terselamat kerana usaha semua pihak turut memainkan peranan.

Perasaan terharu saya tidak dapat saya bayangkan. Yang saya tahu saya tidak sia-siakan dermaan saya dan ada insan lain yang telah mendapat faedah daripada tindakan saya itu. Yang penting tindak balas sepontan saya tidak terus mempengaruhi pertimbangan saya untuk menolong seperti sebelumnya.

Oleh yang demikian adalah menjadi harapan kita bahawa mereka yang berkuasa dan berpangkat, sama ada kuasa besar atau kuasa kecil, pangkat besar atau pangkat kecil, gunakanlah kuasa dan pangkat yang ada dengan sebaik-baiknya untuk membantu dan menolong mereka yang memerlukannya. Jika sesuatu keputusan perlu dibuat, buatlah dengan secepat mungkin jangan sampai terlambat.

Janganlah dipertimbangkan masalah fahaman politik, kepercayaan agama, keturunan, kaya miskin, orang kita atau orang lain, anak kita atau anak orang lain. Jangan kerana maruah palsu atau dendam membabi buta sehingga kita mengorbankan orang-orang yang tidak berdosa dan tidak pernah bertindak tidak baik terhadap kita. Janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakarnya. Lebih teruk lagi rumah turut terbakar dengan kemarahan kita. Janganlah kerana periuk yang hitam kita sanggup menuangkan nasi yang sedang ditanak dan membiarkan anak-anak kelaparan.

Kalau kita sayangkan anak kita sendiri, biarlah kita juga menyayangi anak orang lain. Bukan selama-lamanya kita dapat menjaga anak kita sendiri malah kita tidak akan berupaya menjaga anak kita bersendiri. Kita perlukan bantuan orang lain. Jadi hulurkanlah tangan kita untuk membantu anak orang dan harap-harap orang lain akan turut membantu anak kita.


Dicatat pada 06:23 pm oleh cikgulee
(1) Pandangan diberi  

Previous Page Next Page