Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< September 2004 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04
05 06 07 08 09 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Monday, August 30, 2004
Pengaruh Televisyen

Ramai orang suka menonton televisyen dengan alat kawalan jauh di tangan. Apabila filem yang ditonton tidak menarik, butang ditekan dan siaran diubah. Apabila iklan ditayangkan, siaran turut diubah. Nampaknya, alat kalawalan jauh boleh memberi kesan terhadap pengiklan di televisyen kerana terlalu senang untuk mengelakkan diri daripada menonton iklan. Patutlah ada pengiklan yang sanggup membeli ruangan di tepi dan di bawah layar televisyen untuk menyampaikan maklumat mereka.

 

Sebelum pengenalan alat kawalan jauh untuk televisyen dan banyak pilihan siaran, kita menonton apa saja yang disiarkan. Televisyen pada zaman kecil saya dianggap sebagai barang mewah biarpun sekadar hitam dan putih. Tidak ramai orang yang mampu memilikinya. Keupayaan menonton apa yang berlaku di dunia luar dianggap ajaib oleh ramai orang.

 

Rumah kami tidak pernah memiliki televisyen sehingga saya mula bekerja sebagai guru. Saya memang minat menonton televisyen sejak kecil. Apa yang boleh saya lakukan ialah menonton di kedai kopi atau di rumah jiran pada waktu petang. Cerita yang kami tonton dahulu seperti Ultraman, Giant Robert, P Ramlee dan sebagainya kini telah menjadi siaran ulangan berkali-kali.

 

Oleh kerana masa untuk menonton televisyen amat terhad saya tonton saja apa yang ditayangkan, termasuklah iklan, azan, berita, laporan cuaca dan sebagainya. Tidak ada tabiat untuk mengubah siaran kerana tidak ada kemudahan alat kawalan jauh. Apa yang ditayangkan diterima sahaja. Lagipun televisyen bukan milik saya.

 

Setelah saya mula bekerja dan tinggal berjauhan daripada kampung halaman, kami adik beradik berkongsi untuk membelikan sebuah televisyen untuk ibu kami. Pada ketika itu dia tinggal bersama adik saya yang bongsu. Itulah kali pertama rumah kami memiliki sebuah televisyen sendiri. Bagi kami ini adalah sesuatu yang dibanggakan kerana akhirnya kami berupaya membeli sebuah televisyen untuk ibu kami setelah sekian lama kami, termasuk ibu kami, menumpang tontonan di rumah jiran. Sekurang-kurangnya dengan adanya televisyen dia tidak terlalu sunyi.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa televisyen memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan kita. Paling tidak ia menjadi sumber bekalan maklumat, berita, perniagaan, pengetahuan, pendidikan dan hiburan yang utama. Semasa saya berada di Indonesia baru-baru ini saya juga mendapati calon-calon presiden dan wakil presiden menggunakan televisyen untuk berkempen. Televisyen merupakan satu-satunya cara yang membolehkan calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya menyampaikan pesanan dan janji mereka kepada penduduk Indonesia yang begitu ramai. Adalah mustahil untuk mereka berkempen dari daerah ke daerah. Pengaruh televisyen dilihat sebagai begitu kuat dalam masyarakat kita pada hari ini.

 

Itulah sebabnya selain daripada televisyen swasta yang mengenakan bayaran stesen yang lainnya menawarkan tontonan secara percuma. Mereka mendapat keuntungan besar daripada pengiklan-pengiklan. Semakin popular sesuatu stesen televisyen semakin mahallah iklan yang ditayangkan melaluinya. Biarpun mahal pengiklan sanggup berbelanja banyak kerana sedar akan barangan dan perkhidmatan yang diiklankan akan dapat menemui sasaran mereka melalui televisyen. Televisyen telah menjadi media pengiklanan yang amat penting bagi golongan pengusaha.

 

Selain daripada menonton rancangan televisyen yang saya gemari saya juga suka menonton iklan televisyen. Kesukaan saya ini agak berbeza dengan kebanyakan orang yang sering mengelakkan diri daripada iklan. Saya ingin mengetahui tentang barang dan perkhidmatan terbaru yang ada di pasaran. Pada masa yang sama mengemaskinikan diri dengan perkembangan teknologi yang terbaru. Selain daripada itu banyak juga kisah dan utusan yang terselit di sebalik iklan yang ditayangkan. Kebijaksanaan agensi iklan mengeksploitasikan sesuatu isu dan keadaan juga dapat dilihat dalam iklan televisyen.

 

Sebagai seorang guru, atau lebih tepat bekas guru, saya merasa terkilan kerana ada iklan yang menghina guru. Tentu sekali ramai di antara kita yang pernah menonton iklan yang menunjukkan seorang guru wanita sedang mengambil kedatangan murid. Semua nama muridnya dipanggil satu-satu tetapi tidak seorangpun yang hadir kecuali seorang yang kononnya lebih sihat daripada yang lain. Yang lainnya semua jatuh sakit kerana tidak menggunakan barangan yang diiklankan. Jika dilihat sepintas lalu memang tidak ada apa salahnya pada iklan ini kerana penonjolan kelebihan barangannya tercapai.

 

Sebenarnya iklan seperti ini adalah tidak logik sama sekali. Masakah sebagai seorang guru tidak perasan hanya seorang sahaja muridnya yang hadir semasa memasuki kelas. Mustahil juga seorang guru perlu memanggil semua nama murid yang tidak hadir sedangkan dia boleh menandakan nama murid yang hadir dan menandakan yang lainnya sebagai tidak hadir. Memanggil nama satu per satu hanya menampakkan guru tersebut sama ada rabun, nyanyuk atau bodoh. Ikan seperti ini seperti ini tidak sepatutnya ditayangkan. Malahan konsep iklan yang terselit maksud penghinaan ini juga tidak sepatutnya diluluskan untuk tayangan.

 

Selain daripada itu iklan tentang serbuk atau cecair pencuci biasanya menggunakan wanita yang berwatak penyibuk dan suka bertandan ke rumah jiram (sambil membawa sabun atau serbuk pencuci!). Hampir semua iklan seperti ini menunjukkan watak wanita sedemikian rupa. Ia seolah-olah menunjukkan hanya wanita penyibuk atau ‘busy body’ sahaja yang menggunakan barangan mereka. Apakah orang penyibuk lebih tahu dan pandai memilih?

 

Jalan cerita dalam mengiklankan serbuk dan cecair pencuci tidak banyak berubah sejak pengenalan iklan televisyen hinggalah sekarang. Iklan mereka seolah-olah siaran ulangan filem-filem P Ramlee. Cara baru dan konsep baru sepatutnya diperkenalkan oleh syarikat pengiklanan agar tidak memperbodohkan sesetengah golongan masyarakt dan seharusnya tampak lebih profesional.

 

Walau bagaimanapun banyak juga iklan yang berkualiti serta membawakan utusan dan pesanannya dengan amat baik dan berkesan. Iklan Bumiputera-Commerce Bank Berhad misalnya yang ingin menunjukkan rasa cinta dan bangga dengan negara sendiri menarik perhatian saya. Dalam sebuah tren yang penuh sesak semua tempat duduk telah dipenuhi. Orang muda yang duduk langsung tidak menawarkan tempat duduk kepada warga tua.

 

Beberapa orang pelajar menggunakan tektik menyanyikan lagu Negaraku membangunkan semua orang. Apabila tempat duduk dikosongkan, warga tua tadi telah mendapat tempat duduknya. Oleh kerana semua orang bersemangat betul menyanyikan lagu Negaraku sambil berdiri, warga tua tadi juga turut meninggalkan tempat duduk dan bangun menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama. Saya rasa iklan seperti ini cukup ringkas tetapi membawa utusannya dengan amat berkesan.

 

Saya juga amat meminati iklan hari kemerdekaan dan perayaan daripada Petronas. Saya dapati jalan ceritanya ringkas serta menggunakan kehidupan masyarakat yang sebenar. Pesanan yang disampaikan amat jelas dan kadang-kadang sungguh mengharukan apabila menontonnya. Ia dapat menyentuh hati kecil setiap orang yang menontonya. Ia juga memberikan kesedaran kepada generasi muda tentang pentingnya sejarah serta perlunya kita mengenang budi ibu bapa serta generasi yang terdahulu daripada kita.

 

Pada setiap kali tibanya perayaan besar dan hari kemerdekaan, saya pasti akan menunggu kemunculan iklan daripada Petronas. Bukan setakat saya sahaja yang menunggunya tetapi anak-anak saya juga turut terpengaruh. Banyak pelajaran yang boleh saya sampaikan kepada anak-anak saya daripada iklan yang ditonton. Saya turut menunjukkan kepada mereka apakah maksud dan pesanan yang terselit di sebalik iklan yang ditayangkan.

 

Iklan tersebut dapat mengaitkan sejarah kemerdekaan yang mereka pelajari di sekolah. Perpaduan pelbagai kaum yang menjadi tunjang kepada kemajuan negara, Sikap hormat-menghormati, bertolak ansur dan mengenang budi semuanya dihubung-kaitkan dalam satu iklan yang ringkas. Biarpun iklan ini langsung tidak menceritakan tentang barangan dan perkhidmatan yang mereka niagakan tetapi inilah sumbangan mereka ke arah memberi kesedaran kepada rakyat jelata tentang peri pentingnya kita menghargai kemerdekaan dan menghargai masyarakat majuk di Malaysia.


Salah satu Iklan Petronas - Ehsan Petronas 

Setelah kemunculan iklan berkualiti daripada Petronas yang menjadi sebutan dan sambutan ramai ia juga menyebabkan banyak lagi syarikat utiliti turut menayangkan iklan-iklan berkonsep sama.  Ini sebenarnya satu pertanda yang baik kerana syarikat swasta turut memainkan peranan mereka dalam menyumbang ke arah perpaduan dan keharmonian kaum. Mereka telah menggunakan pengaruh televisyen dengan sebaik-baiknya.

 

Pendek kata semua orang tahu akan peranan yang dimainkan oleh televisyen. Semua orang tahu akan pengaruh yang boleh dibawa oleh televisyen. Biar beberapa saat sahaja tayangan di kaca televisyen, jika digunakan dengan baik ia memberikan kesan yang mendalam. Sama ada tayangan tersebut memberikan kesan positif atau sebaliknya bergantung kepada niat dan kebijaksanaan orang yang menayangkannya.

 

Kedua-dua orang anak saya membesar dengan menonton Sesame Street, rancangan pendidikan kanak-kanak. Rancangan yang menarik dengan pelbagai watak yang melucukan menarik perhatian budak-budak kecil seperti anak saya. Percakapan Bahasa Inggeris mereka banyak dipelajari daripada rancangan tersebut. Sebenarnya ramai ibu bapa yang tahu bahawa rancangan seperti Sesame Street memang banyak membantu mendidik anak-anak mereka. Malalahan ada juga di antara golongan ibu bapa sekarang yang membesar dengan rancangan seperti Sesame Street.

 

Pembelajaran daripada televisyen tidaklah secara formal dan tidak membosankan. Kepelbagaian corak persembahan dihiasi jenaka, lagu dan tarian cukup menarik perhatian anak-anak. Ianya jauh lebih menarik daripada pengajaran yang dilakukan oleh ibu bapa atau guru. Sebagai seorang bapa saya sendiri tertarik dengan rancangan seperti ini dan biasanya menonton bersama-sama dengan anak-anak saya. Malah banyak juga rancangan yang telah dirakam supaya mereka dapat menontonnya berulang kali.

 

Dengan asas yang ada ia telah membantu anak-anak saya untuk menonton rancangan telelevisyen berbahasa Inggeris yang lain. Ia kemudiannya berlanjutan kepada pembacaan komik dan novel Bahasa Inggeris. Bermula dengan buku cerita yang bertulisan besar dan gambar diselang selikan, mereka kini telah membaca novel-novel Bahasa Inggeris yang tebal-tebal seperti Harry Porter dan Lord of The Rings.

 

Minat mereka datang dengan sendiri disebabkan daya tarikan yang diperkenalkan melalui iklan televisyen. Saya tidak menghalang mereka asalkan mereka dapat membahagikan masa mereka untuk pelajaran sekolah dan masa untuk membaca novel atau buku cerita yang lain. Jika saya memaksa mereka untuk mempelajari atau mengulangkaji pelajaran di sekolah sahaja tentunya mereka tidak akan melakukannya dengan sepenuh hati, atau sekadar memuaskan hati saya apabila berada di hadapan saya.

 

Jika digunakan dengan bijak, televisyen boleh dijadikan sumber pembelajaran tambahan daripada apa yang telah dipelajari di sekolah. Ia juga boleh menambahkan minat dan rasa igin tahu terhadap apa yang telah dan akan diajar oleh guru-guru di sekolah. Jika guru atau ibu bapa bijak mengaitkan apa yang ditayangkan di televisyen dengan pelajaran di sekolah dengan sendirinya minat pelajar akan bertambah.

 

Apa yang ada di sekeliling kita sebenarnya tidak boleh dipisah atau diasingkan daripada pembelajaran di sekolah. Kita tidak boleh menganggap dunia di sekolah adalah dunia yang berasingan dan tidak ada kaitan langsung dengan masyarakat luar. Guru-guru atau ibu bapa yang masih menggunakan cara tradisional yang diwarisi daripada nenek moyang yang tidak tahu menahu tentang televisyen misalnya, tidak akan dapat menyampaikan pelajaran atau pengajaran mereka dengan berkesan.

 

Oleh itu ibu bapa dan guru-guru haruslah peka dengan apa yang ditayangkan di kaca televisyen supaya tidak ketinggalan. Memerhati apa yang ditonton oleh anak-anak juga dapat memberitahu kita tentang minat dan cara berfikir anak-anak muda kita. Kefahaman kita terhadap minat anak-anak akan memudahkan hubungan dan komunikasi kita dengan anak-anak. Jika tidak jurang persefahaman di antara generasi muda dengan dewasa akan menjadi semakin jauh. Jurang perbezaan pendapat ini amat serius kerana inilah puncanya kepada pelbagai masalah rumahtangga dan sosial.

 

Biarpun televisyen banyak membawa kebaikan apabila digunakan dengan baik, banyak juga kesan buruk atau sampingan yang dibawa bersama. Tontonan televisyen yang tidak terkawal oleh ibu bapa akan menjadikan anak-anak menjadi malas, pasif dan kurang sihat. Kekerapan menggunakan alat kawalan jauh, orang suruhan atau orang gaji, makan makanan yang tidak berkhasiat sambil menonton televisyen dan menonton dalam jangka masa yang panjang akan menajadikan seseorang anak itu mempunyai badan yang gempal, tidak bertenaga, memakai cermin mata yang tebal dan pergerakan badan yang tidak cergas. Biarpun otak mereka penuh dengan pelbagai ilmu tetapi sukar bagi mereka terjemahkan dalam tindakan yang berhasil. Pertumbuhan badan mereka yang tidak seimbang dengan pemikiran menghalang mereka daripada melakukan perbuatan fizikal. Beginilah caranya orang yang “cakap saja tanpa tindakan” dilahirkan.

 

Penayangan drama bersiri yang berbentuk keganasan, seks dan tidak bermoral memberikan kesan yang buruk terhadap anak-anak yang sedang membesar. Babak-babak keganasan dan seks yang sengaja diselitkan untuk melariskan filem memberikan gambaran seolah-olah hidup mati tidak bernilai langsung dan pergaulan bebas sesuatu yang lumrah dan diterima masyarakat. Pertuturan yang biadap dan kasar juga mempengaruhi cara anak-anak kita berinteraksi dengan orang lain. Tontonan filem seperti ini yang tidak ditemani oleh ibu bapa akan dengan lambat laun membentuk peribadi anak-anak yang tidak sihat.

 

Pendidikan moral dan nilai murni anak-anak akan diambil alih oleh televisyen jika kita membiarkan anak-anak kita menonton apa sahaja yang ditayangkan tanpa kawalan dan bimbingan. Jika anak-anak kita pandai memilih rancangan dan tidak terpengaruh dengan adegan-adegan yang tidak baik, memanglah baik. Tetapi jika sebaliknya berlaku dan kita masih membiarkan keadaan ini berlarutan maka jangan salahkan orang lain jika anak-anak kita menjadi liar dan terjebak dalam kegiatan yang kita tidak ingini.

 

Jangan juga kita persalahkan televisyen jika anak-anak kita melakukan kesalahan lantaran terikut-ikut dengan adegan yang ditonton dalam televisyen. Kita juga jangan menyalahkan pihak penapisan filem kerana membiarkan racangan-rancangan yang kurang sesuai dipertontonkan kepada orang ramai. Kawalan yang paling baik bukannya datang daripada kerajaan, penapisan filem atau stesen televisyen. Ia datang daripada diri kita sendiri.

 

Kita tidak akan dapat berlawan dengan kemasukan pelbagai gejala tidak baik melalui pelbagai media. Biar apa sekalipun yang dilakukan untuk mengawal dan mengharamkan sesuatu, ia tetap mencari jalan baru untuk memasuki negara ini, baik filem yang ditayangkan di kaca televisyen mahupun melalui internet, penyelupan dan sebagainya.

 

Sememangnya inilah kenyataan dalam dunia. Setiap satu ada baik dan buruknya. Manusia yang berakal fikiran mesti tahu membuat pilihan. Terpulangah kepada pilihan kita masing-masing. Terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk mengawal diri kita dan orang yang kita sayangi daripada terjebak, tertipu dan terpengaruh.

 

Di antara yang baik ada buruknya. Di antara yang buruk ada baiknya. Yang terbaik ialah mengenali apa yang baik dan apa yang buruk. Ambil yang baik buang yang buruk.

 


Dicatat pada 06:45 pm oleh cikgulee
(20) Pandangan diberi  

Previous Page Next Page