Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< July 2004 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Wednesday, July 28, 2004
Pengurusan Masa

Ada satu sesi khas yang saya adakan dengan pelajar saya pada setiap pertengahan tahun. Saya akan meminta pelajar-pelajar saya menghitung masa yang digunakan dalam sehari. Masa yang dihitung hendaklah meliputi segala kegiatan dalam sehari dari sekecil-kecil masa yang dihabiskan dalam tandas sampailah ke masa belajar di sekolah.

 

Hasil daripada hitungan pelajar lebih kurang begini

 

          Aktiviti                                   Masa (Jam)

          Tidur                                8

          Sekolah                            8

          Makan ( 3 kali )                  2

          Menonton TV                     2

          Mandi / Tandas                  1

          Bermain                             2

          Ulangkaji / Latihan              1

          Jumlah                                   24

 

Apabila sudah diketahui berapa banyakkah masa yang digunakan dalam sehari maka jelaslah berapa banyak masa yang harus mereka gunakan atau peruntukkan bagi mengulangkaji mata pelajaran, dan berapa lagi waktu sebenar yang ada untuk mereka berbuat demikian sebelum tibanya masa peperiksaan.

 

Cara ini biasanya berkesan kerana tanpa menyenaraikan apa yang kita lakukan pada setiap hari dan dinyatakan jumlah jam yang kita habiskan dalam jangka waktu tersebut, kita mungkin tidak sedar akan masa yang terbuang dan terbiar. Sebenarnya banyak masa dihabiskan ketika kita sedang menunggu sesuatu atau termenung tanpa memikirkan apa-apa. Kita membazir waktu tanpa kita sedari.

 

Dari situ barulah saya meminta pelajar saya menyusun semula jadual waktu persendirian mereka, mengurangkan apa yang tidak penting dan menambahkan masa untuk yang lebih penting. Saya memeriksa setiap jadual waktu mereka dan memberikan cadangan pada mana-mana tempat yang perlu.

 

Setiap orang mempunyai 24 jam sehari, tidak lebih dan tidak kurang. Orang yang mempunyai masa yang lebih adalah orang pandai menguruskan masanya. Pengurusan masa adalah kebijaksanaan setiap individu memperuntukkan masa yang ada bagi kerja-kerja yang hendak dilakukan berdasarkan keutamaan. Jika kita tidak tahu membezakan mana kerja yang penting yang harus diutamakan atau tidak, nescaya kita akan sentiasa sibuk kerana cuba melakukan semua kerja tetapi tidak dapat menyiapkan satupun. Pendek kata kita hanya sibuk dengan berbuat apa-apa.

 

Saya pernah menggunakan satu contoh dalam ceramah saya ada kaitannya dengan pengurusan masa. Penulisan sepenuhnya terdapat dalam tulisan saya bertajuk “Bukan Sekadar Ucapan”. Sedutan yang berkaitan adalah seperti berikut:

 

Semasa menyampaikan ceramah bertajuk “Pengurusan Perubahan dan Tekanan” di Sekolah Menengah Teknik Tawau beberapa tahun lalu, saya menggunakan cara yang tersendiri untuk menarik perhatian dan menyakinkan peserta. Ceramah saya merupakan salah satu daripada beberapa sesi ceramah sempena program peningkatan staf yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Program itu berlangsung selama dua hari dan sesi saya dijadualkan pada pagi hari Ahad.

 

........

  

Saya memberitahu mereka bahawa untuk mengurus tekanan dengan baik kita harus tahu menyenaraikan tugas atau masalah kita mengikut keutamaan. Sebagai demonstrasi kepentingan keutamaan, saya mengeluarkan sebuah gelas daripada beg plastik saya. Saya mengisi gelas itu dengan batu kecil yang telah saya sediakan. Setelah penuh saya bertanya kepada semua peserta sama ada saya masih dapat mengisi gelas tersebut. Mereka jawab, tidak.

 

Saya kemudiannya mengeluarkan sedikit pasir dan mengisinya ke dalam gelas melalui celah-celah batu kecil tadi sambil menggoncang-goncangkan gelas itu. Saya bertanya lagi sama ada masih ada ruang untuk diisi. Kali ini semua orang diam kerana tidak tahu apakah helah saya seterusnya.

 

Saya menuangkan air minuman yang disediakan untuk saya ke dalam gelas tersebut. Kini sudah jelas bahawa tidak ada lagi apa-apa yang boleh diisi ke dalam gelas tersebut. Semua peserta masih tertanya-tanya apakah yang cuba saya sampaikan.

 

Jika kita terbalikkan sususan pengisian tadi dengan air dahulu adakah saya masih dapat mengisi gelas ini dengan ketiga-tiga batu kecil, pasir dan air?” tanya saya. Mereka jawab tidak.

 

Lalu saya menjelaskan bahawa, jika kita dapat menyusun kerja kita, atau masalah yang hendak diselesaikan, mengikut keutamaan, kita akan dapat menyelesaikan lebih banyak masalah. Jika dilakukan sebaliknya kita akan bertambah dengan masalah lain. Semua orang tepuk tangan kerana dapat menerima mesej saya dengan jelas.

 

 

Sebelum saya menulis tentang pengurusan masa, saya menerima email daripada seorang pembaca bernama Lorna. Email beliau adalah seperti berikut.

         

Daripada:      "Lorna" <orna73@yahoo.com>

Kali pertama saya melihat web anda, saya sangat tertarik dapat berkenalan dengan seorang guru.  Sudah lama saya ingin bertukar pendapat dengan seorang guru yang sudah semestinya mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan dalam selok belok dunia pengajian.  

 

Saya sendiri adalah seorang pelajar jarak jauh Uitm Sabah, Kota Kinabalu. Saya sering menghadapi masalah dalam membahagikan masa antara kerja, pengajian dan pengurusan rumah tangga.

 

Untuk pengetahuan Cikgu, saya mempunyai dua orang cahayamata berusia 7 dan 4 tahun. Mereka sangat memerlukan perhatian kerana sedang menempuhi alam pembesaran.

 

Begitu juga  dengan kerjaya dan pengajian saya di mana saya sekarang dalam semester ketiga, Diploma Pentadbiran Awam.  Kadang kala kesibukan saya seolah-olah tidak tertanggung.

 

Ini disebabkan suami saya tidak begitu menggalakkan saya untuk belajar. Oleh yang demikian, tiada gunanya saya merungut mengenai kesibukan saya mengurus kerja, sekolah dan rumahtangga. Sementara kami juga tidak kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana suami saya tidak setuju untuk mengambil pembantu rumah.

 

Semua beban terletak di bahu saya dari hal anak-anak, rumahtangga hingga kewangan menyebabkan saya terikat dengan jadual dan beban kerja yang sangat berat.

 

Apakah Cikgu Lee mempunyai sebarang pandangan atau nasihat bagaimana untuk menangani masalah saya ini? Jika pembaca mempunyai pandangan, sudilah juga emailkan kepada saya melalui alamat email yang tertera.  

 

Sekian, terima kasih.

Setelah membaca email daripada Lorna, saya dapati sebenarnya jawapan yang dicari sudahpun berada dalam tangan Lorna sendiri. Ini kerana Lorna telah dan sedang melakukannya. Lorna sudah berada dalam semester yang ketiga. Ini bermakna Lorna telah berjaya menempuh dua semester yang lepas dengan baik, biarpun ada ranjau dan rintangannya. Apa yang penting ia telah berjaya dilalui.

 

Mungkin kerana tekanan untuk menghadapi peperiksaan yang bakal mengunjung tiba atau kerana kerja (tempat kerja, rumah mahupun pelajaran) yang bertambah menyebabkan Lorna merasa resah dan keyakinan dirinya terkikis. Dia mungkin bimbang apakah masih mampu dia menghadapi cabaran yang dianggap lebih besar yang akan datang, sedangkan keadaan kerja dan rumahtangganya masih lagi tidak berubah.

 

Ini sebenarnya satu bentuk masalah yang dihadapi oleh ramai orang. Satu-satu pihak tertentu sedang berjuang berhabis-habisan mencari masa yang terluang untuk menyelesaikan kerja sedangkan pihak yang lain pula dengan senang-lenang membuang masa tanpa berbuat apa-apa. Keadaan ini bukan sahaja berlaku pada suami isteri tetapi juga di antara adik beradik dan sesama rakan kerja.

 

Secara unggulnya memanglah baik usaha seseorang yang ingin meneruskan pendidikan mendapat sokongan dan kefahaman orang yang tersayang. Sokongan orang yang terdekat boleh menambahkan keyakinan dan membantu mewujudkan suasana belajar yang lebih baik dan memberangsangkan. Kefahaman pasangan kita, ataupun ibu bapa kita pula akan dapat meringankan beban kerja yang boleh dipikul bersama atau diambil alih buat sementara.   

 

Akan tetapi memang ada orang yang kurang faham atau segaja tidak faham akan perlunya kita memberikan sokongan kepada usaha murni pasangan kita atau orang yang kita sayangi. Ini mungkin ada kaitan dengan ego seseorang lelaki yang tidak mahu isterinya berpelajaran lebih tinggi daripada dirinya. Atau barangkali disebabkan ia mengganggap apa yang dipelajari kurang penting dan tidak membawa faedah. Atau barang kali ada alasan lain yang tidak ingin dikongsi.

 

Saya mempunyai seorang kawan yang memberikan sokongan seratus peratus kepada suaminya yang ingin melanjutkan pelajaran. Dia sanggup mengorbankan masanya sendiri untuk menguruskan rumahtangga, persekolahan anak, kerjanya sendiri malahan masa riadah dia sendiri demi kejayaan suaminya. Cuma kadang-kadang dia merungut kerana suaminya seolah-olah mengambil kesempatan atas pengorbanannya. Suminya lebih bertuah kerana dapat belajar tanpa sebarang gangguan kerja mahupun anak-anak.

 

Jika perbincangan masih boleh dilakukan adalah baik jika dapat diadakan satu sesi dari hati ke hati dengan pasangan kita, luahkan segala isi hati agar kedua-dua pihak dapat mendengar perasaan masing-masing. Sesi ini mestilah berniat baik untuk mencari penyelesaian dan bukan mencari kesalahan. Biar betul atau salah alasan yang diberi harus didengar dan tidak dibantah untuk memastikan sesi ini dapat berjalan.

 

Jika kedua-dua pihak bersedia mendengar apa alasan dan kerenah sekalipun sesi ini mungkin akan berjaya membawa hasil. Jika ini berjaya, pastinya sokongan akan diperolehi daripada pasangan Lorna dan beban diri akan berkurangan. Dengan ini lebih perhatian dapat diberikan kepada pelajaran atau peperiksaan.

 

Jika sememangnya sesi seperti ini tidak berjaya atau pernah dicuba, Lorna tidak perlu berputus asa. Jangan menaruh simpati daripada suami tetapi berdikari. Kaji semula penggunaan masa setiap hari dengan terperinci dan cuba singkirkan mana-mana aktiviti yang kurang penting atau yang dapat dikurangkan masanya.

 

Dengan ini lebih masa akan diperolehi dan boleh digunakan untuk menelaah matapelajaran, menyiapkan kerja kursus, tesis dan sebagainya. Kita juga harus lebih berdisiplin dalam penyusunan masa. Jika banyak masa dihabiskan untuk anak-anak, barangkali ini adalah masa yang baik untuk turut mendidik anak-anak untuk mengurus masa mereka dengan baik, umpamanya waktu ke sekolah, makan, rehat, buat kerja rumah, menonton televisyen dan sebagainya. Dapatkan sokongan anak-anak (bukan simpati).

 

Dengan mengurus diri kita dan orang yang boleh diurus, kita akan dapati kerja yang hendak dibuat akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistematik. Fikiran kita juga tidak terlalu berkecamuk memikirkan kerja-kerja orang lain yang belum selesai.

 

Ada baiknya juga jika sesuatu rutin diubah umpamanya waktu belajar. Contohnya jika kita sering belajar pada waktu malam selepas anak-anak sudah tidur mungkin ada baiknya diubah kepada waktu pagi. Selepas sehari suntuk bekerja di pejabat dan mengendalikan rumahtangga tentunya kita terlalu penat untuk belajar. Kepenatan kita juga menyebabkan kita cepat hilang sabar. Ini tentunya mempengaruhi pelajaran kita.

 

Jika dapat membantu anak-anak dalam pelajaran dan kerja rumah dan tidur bersama-sama anak-anak lebih awal tentunya kita merasa lebih senang dan kurang tekanan. Tambahan pula kita dapat merapatkan hubungan dan kasih saying kepada anak-anak.

 

Dengan tidur awal kita dapat bangun awal untuk belajar tanpa gangguan. Mungkin kita terpaksa mengorbankan sedikit masa tidur kita tetapi saya pasti pengorbanan itu adalah berbaloi memandangkan keazaman kita untuk berjaya.

 

Saya juga mencadangkan supaya Lorna tidak perlu merungut atau menyalahkan suami anda. Buatlah kerja dengan biasa dengan penyesuaian dan perubahan yang dicadangkan. Pada masa yang sama tambahkan kasih sayang kepada suami anda. Biar betapa penatpun jangan mengeluh di hadapan suami dan tetap melayannya dengan baik.

 

Manusia mana yang tidak termakan pujuk dan rayu secara halus dan pengorbanan orang yang kita sayangi. Lambat laun dia akan sedar, merasa terharu dan bersalah. Akan bertambahlah kasih sayangnya kepada Lorna dan akan bertambahlah kefahamannya terhadap keadaan Lorna. Akan lebih senang dan lebih yakinlah anda untuk menghadapi peperiksaan.

 

Saya percaya Lorna adalah seorang yang cukup sabar dan tabah. Kejayaan anda menghadapi pelbagai cabaran sebelum ini dan terus berdiri gagah adalah bukti kepada kata-kata saya. Pilihan sudah dibuat, teruskan sahaja perjuangan anda. Tidak usah mengeluh dan tidak usah merintih. Berkat kesabaran dan kegigihan yang tidak kenal penat lelah dan tidak dikira apa jua cabaran, kejayaan tentu milik anda.

 

Selamat maju jaya, Lorna.  Semoga berjaya dengan cemerlang.


Dicatat pada 09:10 pm oleh cikgulee
(2) Pandangan diberi  

Next Page