Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< July 2004 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Sunday, July 18, 2004
Menipu, Meniru Atau Mencontohi Teladan?

Suatu ketika dahulu pernah berlaku kes penipuan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sebuah sekolah di negeri Kedah. Yang memalukan ialah pihak sekolah sendiri yang mengatur keseluruhan sindikit penipuan ini.

 

10 orang pelajar cemerlang dipilih untuk menduduki peperiksaan bagi pihak murid-murid tertentu. Mereka ini dikehendaki menandangani satu surat perjanjian menyimpan rahsia, lebih kurang sama seperti yang ditandatangani oleh semua kakitangan awam. Biarpun begitu rahsia ini terbongkar juga akhirnya.

 

Ibu bapa yang tidak puas hati telah membuat aduan kepada pejabat pendidikan daerah. Tidak ada sebarang tindakan diambil. Aduan terpaksa dimajukan kepada pihak yang lebih tinggi. Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Aziz Samsuddin turut mengakui akan kewujudan kes tersebut. Menurut beliau kes seperti itu tidak terhad kepada sekolah itu sahaja. Siasatan menunjukan kes yang sama turut berlaku di tempat-tempat lain.

 

Penipuan dalam peperiksaan sering kali berlaku biar dalam peringkat apa sekalipun. Ada yang melibatkan orang-orang ternama dan berkuasa, yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka. Ada juga yang sekadar melibatkan pelajar-pelajar yang agak kreatif. Banyak sudah kes yang diketahui tetapi tidak kurang juga kes yang belum kedengaran.

 

Saya sendiri pernah berdepan dengan pelbagai kes dan kaedah penipuan dalam ujian dan peperiksaan. Sebelum kertas soalan diwajibkan disimpan di balai polis atau bilik kebal, soalan-soalan peperiksaan rasmi seperti Sijil Rendah Pelaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biasanya disimpan di pejabat pendidikan daerah masing-masing. Pegawai pendidikan daerah diberikan tanggungjawab untuk menjaga keselamatannya sebelum diambil oleh pengawas peperiksaan. Cara ini telah memberi kesempatan kepada orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

 

Pernah seorang pegawai pendidikan daerah membuka soalan peperiksaan dan meminta guru-guru menyediakan jawapan untuk anaknya. Anak pegawai tersebut telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran termasuk mata pelajaran Matematik yang tidak pernah dilulusnya dalam peperiksaan peringkat sekolah.

 

Maka pelajar tersebut ditawarkan belajar di asrama penuh. Kebolehan pelajar tersebut sememangnya terhad dan tidak dapat menandingi pelajar yang lain.  Guru-guru telah membuat siasatan terhadap latar belakangnya. Akhirnya barulah terbongkar rahsia penipuan yang melibatkan pegawai pendidikan daerah dan juga beberapa orang guru yang lain.

 

Pernah juga berlaku dalam dewan peperiksaan pengawas peperiksaan dengan tidak segan silu menunjukkan jawapan kepada pelajar-pelajar. Malahan ada juga menulis jawapan di atas papan hitam/hijau. Ada di antara mereka melakukannya kerana mengambil kesempatan untuk berbaik-baik dengan pelajar perempuan yang cantik. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk menolong anak kawan. Tidak kurang pula yang melakukannya kerana telah diupah oleh orang tertentu.

 

Ada juga sekolah yang memperlihatkan calon-calon peperiksaan meniru secara besar-besaran sehingga pengawas peperiksaan terpaksa meminta bantuan polis. Ada juga yang menyaksikan kehadiran orang-orang kenamaan dalam kawasan sekolah semasa peperiksaan sedang berlangsung. Mereka cuba mengganggu perjalanan peperiksaan.

 

Kes-kes seperti ini sering kali dilaporkan dan ada juga yang tidak dilaporkan. Ia bergantung kepada sejauh mana satu-satu berita itu mendapat ‘sambutan’ orang ramai. Sekalipun dipaparkan berita sedemikian dalam media, penipuan dalam peperiksaan terus menerus berlaku dan tetap akan berlaku.

 

Peperiksaan dianggap begitu penting bagi seseorang pelajar sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk lulus. Jika usaha dan ikhtiar yang diambil oleh pelajar adalah jujur, ikhlas dan baik, tidak melanggar peraturan dan tidak bertentangan dengan ajaran agama, ianya adalah digalakkan. Ini menunjukkan seseorang pelajar itu mencuba sedaya upayanya untuk diuji setakat mana kemapuan dan kefahamannya.

 

Sebaliknya jika seseorang pelajar mencari pelbagai helah untuk menipu dan meniru maka ia harus dihentikan. Akan tetapi persoalannya apakah pelajar akan berhenti daripada meniru dengan sekadar arahan atau nasihat kita sahaja? Jawabannya tidak. Selagi pelajar beranggapan perbuatannya tidak akan diketahui dia akan terus menipu dan meniru. Kejayaannya nanti akan dapat menghalalkan apa jua cara yang diambil untuk lulus.

 

Pelajar yang menipu dalam peperiksaan sebenarnya cukup kreatif. Kaedah biasa yang digunakan ialah menulis nota penting di atas tangan, bahagian dalam lengan baju, telekung, sapu tangan, kertas tisu malah mana-mana bahagian badan yang dianggap tidak akan diketahui. Ada yang cuba menyelit nota pada pakaian atau alat tulis yang dibawa.

 

Ada pula yang memasuki dewan peperiksaan sehari sebelum peperiksaan bermula dan menyalinkan nota penting di atas meja dengan kod rahsia. Ada juga yang menggunakan alasan pergi ke tandas untuk berhubung dengan orang luar atau mendapatkan maklumatnya dalam perjalanan ke tandas sekolah.

 

Jika nasib baik tempat duduk berdekatan dengan pelajar yang pandai maka berlakulah tawar menawar untuk membolehkan jawapan ditiru. Jika tawaran tidak diterima, ada yang sanggup mengugut malahan ada yang melibatkan ibu bapa.

 

Apa yang berlaku di dewan peperiksaan tidak jauh bezanya berbanding dengan dunia perniagaan yang merebut kontrak. Mereka sanggup melakukan apa saja asakah matlamat mereka tercapai, yakni lulus dalam peperiksaan atau dalam konteks perniagaan, mendapat kontrak. Biarpun perbuatan itu keji dan hina kejayaan mereka nanti yang akan dilihat dan dinilai orang. Perbuatan kejinya sudah dihalalkan oleh kejayaannya.

 

Apa yang berlaku di dunia perniagaan sebenarnya adalah lanjutan daripada penipuan yang berlaku dalam dewan peperiksaan sekolah. Mereka yang sudah mendapat latihan semasa menghadapi peperiksaan akan lebih mudah mengulangi teknik dan tektiknya untuk bersaing dalam dunia perniagaan. Jadi di manakah silapnya dan siapakah yang bersalah?

 

Jika kita hanya berminat untuk mengetahui siapa yang bersalah, maka orang yang bersalah akan mereka seribu satu macam alasan untuk memindahkan kesalahan dan kesilapan kepada orang lain. Tidak akan ada orang yang akan tampil ke hadapan untuk mengaku salah dan mengaku kesilapan telah berlaku. Tolak-menolak dan tuduh-menuduh akan mencari perkara biasa.

 

Akhirnya, ia akan kembali kepada pihak sekolah dan guru-guru. Inilah yang seringkali diputuskan oleh oran bijak pandai. Apabila remaja kita kurang berdisiplin makan dicadangkan latihan ketenteraan diserap dalam kurikulum pendidikan. Apabila cadangan itu ditentang makan Program Khidmat Negara (PKN) diperkenalkan.

 

Apabila banyak kes rogol dan hubungan seks secara bebas kian berleluasa, maka dicadangkan sekolah memperkenalkan pendidikan seks. Apabila golongan muda kurang menghormati orang tua maka mata pelajaran Sejarah diwajibkan untuk lulus dalam peperiksaan.

 

Apabila kita menghadapi ancaman globalisasi dan menyedari pelajar-pelajar kita kurang mahir berbahasa Inggeris, mata pelajaran Matematik dan Sains mula diajar dalam Bahasa Inggeris.

 

Semuanya dilakukan begitu mendadak dan tergesa-gesa tanpa perancangan yang rapi atau perancangan jangka panjang. Sistem Pendidikan dan Sukatan pelajar ditukar sesuka hati tanpa memikirkan sama ada guru-guru yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran tersebut dilengkapi terlebih dahulu dengan ilmu dan kemahiran tersebut.

 

Maka cerita yang sama turut berlaku dalam kes penipuan dalam peperiksaan. Guru-guru diminta menitik beratkan Pendidikan Moral dan Agama. Mereka diminta menerapkan nilai-nilai murni dan diminta memberikan contoh teladan yang baik.

 

Adakah guru-guru sahaja yang harus berkelakuan baik, berakhlak murni serta berhemah tinggi, supaya mereka yang memberikan teladan yang baik? Tentu sekali tidak. Siapa dan apa sahaja boleh menjadi contoh dan ikutan. Anak yang meningkat remaja dan kemudiannya dewasa meniru apa saja yang diperhatikan dan yang dialaminya.

 

Dunia ini sendiri merupakan satu medan untuk meniru. Malah proses pembelajaran itu sendiri merupakan satu proses meniru. Pelajar meniru apa yang diajar oleh guru atau siapa sahaja. Saya diberitahu oleh seorang teman Tidung bahawa perkataan guru bermakna buat dan tiru. Maka guru adalah model untuk ditiru.

 

Semenjak dilahirkan kita memerhatikan apa yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kita dan orang-orang yang lebih tua daripada kita. Maka kita meniru cara bercakap, cara melepaskan perasaan, cara membuat keputusan, cara mengatasi masalah, cara bergaduh, cara merajuk malahan cara berpakaian dan cara berjalan. Cuba perhatikan cara anak beranak berjalan, pastinya banyak persamaan yang boleh kita cari.

 

Dalam lakonan pelakon-pelakon diminta meniru perbuatan yang ditunjukkan oleh pengarahnya. Dalam latihan sukan dan kawat kaki, peserta-peserta diminta meniru daripada jurulatih masing-masing. Dalam perniagaan jualan langsung kita diminta meniru sahaja apa yang dilakukan oleh penaja atau upline kita.

 

Sejarah juga menunjukkan bahawa kapalterbang dicipta kerana manusia cuba meniru burung terbang dilangit. Pendek kata dalam hidup kita serba-serbinya ditiru. Hari ini kita meniru daripada orang lain. Mungkin esok lusa orang lain pula meniru daripada kita.

 

Pada zaman dahulu, tidak banyak contoh dan teladan yang boleh ditiru. Ketiadaan sistem perhubungan yang lain menghalang sesuatu masyarakat daripada berinteraksi dengan masyarakat yang lain. Maka guru sebagai orang yang lebih terpelajar akan menjadi tiruan dan ikutan orang lain. Ini juga sebabnya pemimpin politik yang awal terdiri daripada kalangan guru.

 

Orang sering merujuk kepada guru untuk mendapatkan maklumat dan pandangan. Akan tetapi dengan perubahan zaman dek kemajuan yang pesat, guru tidak lagi menjadi sumber rujukan. Guru yang tidak terus mengemaskini ilmu pengetahuannya akan ketinggalan dan ternganga apabila disoal oleh pelajarnya.

 

Globalisasi dengan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communication Technology) telah memberikan banyak sumber rujukan yang tidak pernah dialami sebelum ini. Asalkan kita sanggup menghabiskan sedikit masa untuk mencari kita akan mendapat maklumat yang jauh lebih banyak daripada apa yang terdapat dalam buku teks. Malah ia lebih terkini dan lebih menyeluruh.

 

Dari segi contoh teladan guru-guru hari ini tidak lagi menjadi model kepada pelajar. Malahan ibu bapa juga tidak lagi menjadi model kepada anak-anak muda kita pada hari ini. Mereka lebih tertarik kepada dunia luar yang jauh lebih luas, menarik dan mencabar. Perbezaan cara hidup dan kebudayaan memberikan satu tarikan yang amat memberangsangkan kepada anak-anak muda kita.

 

Jika kita masih lagi berpegang kepada cara dan kaedah atau pendekatan zaman tanpa komputer dan internet, kita tidak akan dapat menarik perhatian pelajar-pelajar atau anak-anak kita pada hari ini. Jika kita masih lagi berdegil untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman kita akan ketinggalan dan hilang pengaruh kita terhadap anak-anak muda hari ini.

 

Anak-anak muda kita masih lagi meniru, seperti kita, tetapi daripada sumber dan sudut yang berbeza. Slogan kepimpinan melalui teladan akan tertinggal sebagai slogan semata-mata jika orang yang bergelar pemimpin masih berpaut rapat kepada pendekatan lama dan kuno.

 

Sehubungan dengan itu, kaedah pengajaran dan pengurusan bilik darjah yang dipraktik pada tahun 60an dan 70an tidak lagi sesuai untuk diguna pakai. Pengalaman sedemikian seharusnya diubah dan diperbaharui. Cara mendidik anak secara paksaan dan arahan juga tidak lagi bersesuaian hari ini.

 

Pendedahan anak-anak kita kepada pelbagai media dan hiburan menyebabkan mereka menjadi matang jauh lebih awal daripada kanak-kanak zaman dahulu. Banyak perkara yang kita hanya pelajari apabila dewasa sudah mereka ketahui atau alami biar semasa mereka masih berada di sekolah rendah. Mereka menjadi lebih licik dan nakal dengan pelbagai helah yang dipelajari daripada filem dan televisyen. Ibu bapa dan guru-guru yang tidak waspada akan mudah ditipu oleh generasi muda ini.

 

Melalui pendedahan yang tidak dapat kita elakkan hari ini, anak-anak kita juga dapat membuat perbandingan di antara ibu bapa sendiri dengan ibu bapa orang lain, di antara guru mereka sendiri dengan guru orang lain. Perbandingan ini akan membuat mereka membuat tanggapan dan penilaian tersendiri.

 

Jika kita masih tidak sedar akan perbandingan yang sedang dibuat oleh anak-anak kita atau pelajar-pelajar kita, lama-kelamaan kita akan mendapati pengaruh kita semakin hari semakin kurang. Nasihat dan pandangan kita tidak lagi diambil endah. Malah kita terpaksa mengaku bahawa cadangan anak-anak kita lebih baik daripada cadangan kita.

 

Pengenalan komputer dan multimedia dalam pendidikan kita merupakan langkah yang bijak untuk memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan dalam dunia serba moden ini. Akan tetapi peranan guru haruslah jangan sampai sekadar menjadi pemudahcara atau fasilitator sahaja. Jika tidak kita sendiri yang mengurangkan peranan kita sebagai seorang guru dan hilang daya tarikan kita sendiri untuk ditiru dan dicontohi. Jangan sampai guru-guru terpinggir dengan perbuatan kita sendiri.

 

Jika guru terlalu bergantung kepada kemudahan alat pandang dengar, komputer dan alat bantu mengajar elektronik, guru-guru akan hilang serinya di mata pelajar-pelajarnya. Sentuhan kemanusiaan atau ‘human touch’ seseorang guru mestilah dikekal dan diimbangkan dengan penggunaan alat Bantu mengajar yang canggih.

 

Cara untuk mengekalkan sentuhan kemanusiaan ini ialah guru sendiri harus sentiasa berada satu langkah di hadapan pelajar-pelajar yang diajar. Persediaan awal yang mencukupi haruslah ada pada setiap guru. Guru harus memahami kemahuan dan citarasa pelajar-pelajarnya.

 

Sentuhan kemanusiaan pada guru juga penting untuk memastikan guru masih dapat memainkan peranannya dalam menyemaikan nilai yang baik pada pelajar. Guru mestilah mencari jalan supaya pelajar-pelajar tidak hanyut dek ombak globalisasi sehingga menjadi orang yang tidak ada pegangan atau arah tujuan. Kemajuan tidak harus dijadikan alasan untuk kita tidak berpegang kepada kepercayaan dan budaya kita yang baik.

 

Kita harus ingat, setiap gerak geri kita masih diperhatikan dan diperbandingkan. Jika kita berjaya mendapat perhatian pelajar-pelajar kita dan menyakinkan mereka, apa yang kita lakukan akan dicontohi. Atau sekurang-kurangnya nasihat kita masih lagi diterima dan digunapakai.

 

Kalau kita mahu anak-anak kita tidak meniru yang bukan-bukan, tidak terikut-ikut dengan gejala-gejala yang tidak baik, maka kita sendiri haruslah sentiasa memberikan peluang kepada mereka untuk meniru apa yang kita buat, meniru apa yang lebih baik. Dunia ini sememangnya penuh dengan peniruan.

 

Nasihat guru Matematik Tambahan saya semasa Tingkatan 4 & 5, Cikgu Tan, ‘If you want to copy, copy intelligently’, kalau anda ingin meniru, tirulah dengan bijaksana.

 

Oleh itu, tirulah cara orang yang pandai semasa menghadapi peperiksaan, jangan meniru dalam dewan peperiksaan. Tirulah cara tiruan yang menguntungkan dan tiru apa yang memudaratkan kita sendiri.


Dicatat pada 11:20 pm oleh cikgulee
(12) Pandangan diberi  

Previous Page Next Page