Saya menerima email daripada seorang bapa yang meminta pandangan saya. Emailnya saya paparkan di bawah tetapi namanya saya rahsiakan.
Selamat petang Cikgu Lee,
Saya seorang bapa kepada pelajar di Sekolah Rendah Kebangsaan XXX, XXX, Selangor. Saya inging bertanya pendapat Cikgu tentang sebuah artikel yang diterbitkan di Berita Harian http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Rencana/20040720092229/Article/ berkenaan hukuman di sekolah yang tidak setimpal. Saya terpanggil untuk meminta pendapat Cikgu kerana saya ingin mencari jalan penyelesaian yang baik dalam masaalah ini. Anak saya juga terlibat dan sebagai ahlijawatankuasa penduduk saya rasa bertangungjawap untuk menyelesaikan masaalah ini.
Harap Cikgu dapat memberi pendapat, mungkin through your blog entry.
Terimakasih
XXX
Surat Pembaca yang disiarkan dalam Berita Harian tersebut adalah seperti berikut:
- Rencana & Pendapat -
Surat & emel: Ketuk ketampi 300 kali tidak masuk akal
WAJARKAH murid Tahun Dua berumur lapan tahun dihukum ketuk ketampi 200 kali kerana gagal menjawab soalan mengenai perkara yang membatalkan wuduk?
Murid yang tidak membawa buku atau melakukan pembetulan seperti yang dikehendaki pula dikenakan ketuk ketampi 100 kali. Jika melakukan kedua-dua kesalahan, ketuk ketampi 300 kali sekali gus.
Saya setuju guru perlu menegur murid atau mungkin menghukum mereka tetapi bentuk hukuman biar berpatutan.
Bukankah ada hukuman lain yang lebih berfaedah boleh dilakukan seperti menulis jawapan 1000 kali atau mungkin 2000 kali.
Sekurang-kurangnya, murid akan ingat apa yang gagal dijawab tanpa menimbulkan kesan sampingan.
Malangnya tindakan seorang ustazah di sebuah sekolah kebangsaan di Sepang pada 13 Julai lalu, mengakibatkan murid berkenaan bengkak kelenjar pada paha dan bisa otot sehingga menyukarkan pergerakan.
Ada murid terbabit tidak dapat hadir ke kelas kerana sakit kaki. Saya difahamkan oleh seorang ibu murid terbabit bahawa anaknya hampir terjatuh tangga selepas melakukan ketuk ketampi 200 kali.
Di mana logiknya hukuman ketuk ketampi sebanyak itu? Jika 10 hingga 30 kali, mungkin masuk akal.
Tidakkah ustazah terbabit sedar mungkin ada murid yang masih belum mengisi perut?
Bukankah mengajar Pendidikan Islam seperti berdakwah dan Islam mengamalkan cara berdakwah yang lembut dan tidak kejam.
Pendekatan pendidikan rohani dan jasmani perlu diberikan penekanan sejajar dengan perubahan masa.
MAK LONG,
Kota Warisan,
Sepang.
Jika benar apa yang ditulis oleh Mak Long, maksud saya apa yang berlaku sama seperti yang ditulis, maka ia amat sedih, tetapi bukan perkara yang ganjil. Saya pernah menulis tentang hukuman guru di sekolah dan meminta agar dinilai semula hukuman yang diberikan oleh guru terhadap pelajar-pelajar mereka. Untuk bacaan lanjut sila rujuk Menilai Semula Hukuman Guru Di Sekolah.
Anatara lain saya mengatakan bahawa:
Denda dan hukuman terhadap mereka yang bersalah adalah patut untuk menyedarkan mereka yang bersalah bahawa apa yang mereka lakukan itu salah. Hukuman yang dijalankan juga diharap akan dapat ingatan kepada mereka supaya kesalahan yang sama tidak akan diulangi.
....
Hukuman yang berkesan adalah hukuman yang memberi peluang kepada pelajar mengubah sikap serta memahami sebab mengapa mereka didenda. Hukuman yang tidak diperjelaskan tujuannya akan menyebabkan pelajar dendam kadang-kadang sampai seumur hidup lamanya.
Jika kita tidak mahu melahirkan generasi yang terkawal oleh emosi kita sendiri harus menjauhi perbuatan menghukum, mendenda malah memarahi dengan emosi.
Apa yang berlaku telah berlaku. Hukuman yang dirasakan tidak setimpal telahpun dikenakan oleh guru berkenaan dan murid-murid telah mengalami kecederaan. Jadi apakah pula penyelesaian yang terbaik?
Saya tidak berhasrat untuk mencampuri hal rang lain. Saya sekadar memberikan pendapat kerana diminta oleh salah seorang bapa kepada anak yang didenda.
Ada banyak cara yang sering dilakukan untuk meyelesaikan masalah seperti ini. Yang menyedihkan ialah kadang-kadang cara penyelesaian yang diambil tidak menyelesaikan masalah tetapi memudaratkan masalah sedia ada. Akhirnya murid itu sendiri juga yang menjadi mangsa.
Jika ibu bapa kepada anak-anak yang telah didenda merasa marah, geram dan ingin membalas dendam, maka tindakan atau cara penyelesaian yang dipilih akan menjurus kearah kemarahan dan memuaskan hati yang marah. Tindakan yang diambil dalam masa kemarahan adalah berbentuk kemarahan jua.
Kemarahan akan disahut kemarahan jua. Pihak yang dituduh akan mencari pelbagai alasan untuk mempertahankan diri demi maruah, pekerjaan dan periuk nasi. Pihak yang menuntut bela pula akan mencari apa jua asalan untuk menghalalkan tindakan mereka. Ini bukan cara penyelesaian tetapi memuaskan rasa tidak puas hati.
Untuk menyelesaikan masalah dengan baik, kita harus sedar apakah matlamat dan prinsip yang ingin dicapai dalam penyelesaian yang dicari. Tindakan yang diambil nanti mestilah berlandaskan matlamat dan niat kita dalam penyelesaian yang dicari.
Pada pendapat saya, matlamat dan prinsip kita dalam hal ini ialah:
1. Tindakan guru menghukum murid-murid yang tidak betul tidak boleh diulangi supaya ia tidak menakutkan murid-murid lain yang berada dalam kelas atau sekolah yang sama.
2. Guru yang melakukan kesalahan, jika didapati dakwaan itu benar, harus diambil tindakan. Apakah bentuk tindakan yang akan diambil terpulang kepada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan. Kebijaksanaan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan harus dihormati.
3. Pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan harus mengembalikan kepercayaan ibu bapa dan orang ramai dalam menangani masalah murid-murid yang melakukan kesalahan. Mereka harus diberikan jaminan agar hukuman yang diambil hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
4. Murid-murid yang telah didenda haruslah terus diberi peluang belajar dalam sekolah yang sama tanpa dikenakan sebarang tindakan, sama ada secara sengaja atau tidak oleh guru-guru yang lain. Mereka tidak seharusnya dipandang serong atau diberikan layanan berbeza kerana ibu bapa mereka telah membuat aduan.
5. Sebarang aduan hendaklah dilakukan melalui saluran yang betul. Institusi yang sedia ada harus dihormati. Jangan sekali-kali guru terlibat diancam atau dimaki hamun.
6. Walaupun kes ini telah dihebahkan tetapi ia tidak seharusnya dijadikan sebagai ancaman terhadap guru-guru lain yang akan mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan. Pihak sekolah juga tidak seharusnya terlari daripada landasan dan panduan asal mereka dalam hal menangani masalah disiplin pelajar.
7. Yang paling penting, murid-murid jangan sekali-kali dijadikan mangsa jika berlaku sebarang pertelingkahan atau perbalahan. Tindakan menghalang anak-anak daripada pergi ke sekolah atau memboikot sekolah jangan sekali-kali ditimbulkan.
Dengan mempunyai peringatan di atas, saya percaya penyelesaian akan dilakukan dengan baik, dengan kedua-dua pihak dapat bertolak ansur and mengeratkan lagi hubungan ibu bapa – guru. Semua pihak perlu memberikan kerjasama, kefahaman dan kesediaan untuk bertolak ansur. Penyelesaian akan menemui jalan buntu tanpa tolak ansur.
Saya doakan agar semua masalah dapat diselesaikan dengan niat yang baik.
Tulisan saya yang lain mungkin boleh dijadikan rujukan:
- PIBG
- Nanti Dulu
- Salah Tu Cikgu
- Anak Cikgu