Selepas sekolah dibuka semula selepas cuti, seorang pelajar didapati mewarnakan rambutnya. Ini bertentangan dengan peraturan sekolah. Apabila diminta untuk mewarnakan rambutnya kepada warna asal, hitam, pelajar tersebut enggan berbuat demikian kerana tidak mahu kecantikannya terancam. Maka sekolah mengambil keputusan untuk menggantung pelajar tersebut daripada persekolah sehingga rambutnya kembali ke warna asal.
Keputusan menggantung pelajar diambil untuk mengawal disiplin pelajar bahawa mereka mesti mematuhi peraturan sekolah dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Ia juga bertujuan memberitahu pelajar lain bahawa kesalahan seperti itu jangan sekali-kali dicuba atau dicabar. Biasanya pelajar yang digantung sekolah akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga pelajar melalui surat atau secara bersemuka.
Apakah dengan menggantung persekolahan seseorang pelajar masalah disiplin sudah selesai? Dalam kebanyakan keadaan, jawapannya adalah tidak. Jika ibu bapa atau penjaga pelajar yang digantung tidak dimaklumkan dengan jelas, maksudnya secara bersemuka dan menerangkan masalah yang sebenar, pergantungan ini cuma menambahkan masalah yang ada.
Surat daripada pihak sekolah yang dihantar kepada ibu bapa atau penjaga biasanya dihantar melalui pelajar tersebut. Jika surat tersebut menjelaskan kesalahan pelajar tersebut kemungkinan besar pelajar tersebut akan menyembunyikan surat itu daripada pengetahuan ibu bapa mereka. Pelajar tadi tentunya takut mereka akan dimarahi atau dihukum oleh ibu bapa mereka.
Dalam banyak kes, pelajar yang digantung persekolahannya akan terus keluar dari rumah untuk pergi ke sekolah seperti biasa, tetapi mereka tidak pernah sampai ke sekolah. Mereka akan melencung ke tempat lain seperti di gedung-gedung membeli-belah dan tempat-tempat hiburan. Pakaian simpanan biasanya ada di dalam begnya. Mereka akan menggantikan pakaian seragam sekolah mereka apabila berada di tempat-tempat awam untuk mengelakkan daripada dikenali oleh pihak-pihak berkuasa. Mereka lepak dan merayau-rayau tidak tentu pasal sekadar menghabiskan masa sebelum sampai waktu pulang.
Di sinilah pelajar-pelajar yang tidak dibenarkan pergi ke sekolah dan menyembunyikan kesalahan mereka daripada ibu bapa, terdedah kepada pelbagai godaan kegiatan yang akan membawa mereka ke kancah keruntuhan moral dan ke lembah kehinaan. Mereka cukup mudah dipengaruhi pada ketika ini kerana sudah hilang panduan dan haluan. Asalkan ada orang yang sanggup mendengar isi hati mereka biarpun menunjukkan simpati secara pura-pura mereka akan menerimanya sebagai penyelamat.
Dalam keadaan ini jugalah mereka mempelajari tabiat merokok, berjudi, mencuri, menagih dadah, pergaulan bebas dan pelbagai kesalahan yang sering memerangkap remaja dan pelajar sekolah. Pada mulanya mereka mungkin melakukannya kerana ingin melarikan diri daripada tekanan sekolah dan rumah tetapi lama kelamaan ia menjadi tujuan dan destinasi mereka. Sekolah tidak lagi menjadi tempat utama mereka. Malah mereka akan sanggup ponteng untuk bersama-sama dengan kawan-kawan mereka yang baru ini.
Satu lagi sebab kenapa pelajar-pelajar lebih tertarik kepada aktiviti luar sekolah ialah tiadanya kongkongan seperti yang diterimanya dari sekolah atau rumah. Tidak ada peraturan yang ditetapkan apabila berada di luar. Tidak akan ada pantauan ibu bapa dan guru-guru apabila berada di luar. Mereka menikmati kebebasan yang sepuas-puasnya. Kebebasan memberikan mereka semacam perlepasan daripada segala kongkongan, kawalan dan tekanan.
Bagi pihak sekolah, tindakan disiplin terpaksa diambil ke atas pelajar yang melakukan kesalahan. Bagi pelajar yang bersalah mereka terpaksa menerima hukuman yang dikenakan. Akan tetapi disebabkan tiadanya hubungan yang erat di antara sekolah dengan ibu bapa, ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk menipu dan membohongi ibu bapa mereka.
Tidak ramai pula pelajar lain yang mungkin tahu akan kegiatan kawan mereka akan memberitahu kepada ibu bapa atau guru mereka. Ini adalah disebabkan kemungkinan mereka takut akan diugut. Ada juga yang tidak ingin menjadi pemberi maklumat kerana membuat persediaan untuk diri mereka sendiri kalau-kalau kejadian yang sama menimpa diri mereka. Mereka tentunya memerlukan bentuk kerjasama (perlindungan rahsia) yang sama daripada kawan-kawan mereka. Ini menambahkan lagi ‘missing link’ di antara sekolah dengan rumah dan memberi peluang kepada masalah ini terus berlanjutan.
Adakah pelajar yang melarikan diri daripada rumah tidak sedar akan harapan ibu bapa mereka? Adakah mereka tidak sedar akan perik susahnya ibu bapa mereka mencari nafkah dan mencari pendapatan untuk menyara persekolahan mereka? Dalam kebanyakan situasi pelajar ini cukup sedar dan faham. Malah mereka juga sedar akan harapan yang terlalu tinggi yang diletakkan di atas bahu mereka. Mereka sedar akan kehampaan dan kekecewaan yang akan ditunjukkan oleh ibu bapa mereka apabila mendapat tahu apa yang berlaku sebenarnya. Mereka sedar akan tekanan yang begitu berat yang diberikan kepada mereka.
Untuk tidak menghampakan ibu bapa mereka atas kesalahan mereka, mereka mengambil langkah sementara untuk lari daripada kenyataan. Dalam perkataan lain mereka turut ‘menggantung’ kehidupan biasa mereka. Mereka sebenarnya tidak menyelesaikan masalah mereka. Mereka sekadar menggantung masalah mereka tanpa penyelesaian. Mereka juga mungkin menambahkan masalah kepada diri mereka sendiri dan juga ibu bapa mereka.
Keadaan yang sama juga berlaku di sekolah. Sekolah tidak menyelesaikan masalah dengan menggantung persekolahan seseorang pelajar. Mereka sekadar menggantung masalah yang ada. Tindakan gantung sekolah yang berkesan haruslah dijalankan serentak dengan program khusus untuk pelajar yang digantung, umpamanya kerja rumah dan kerja projek dalam jangka waktu dia digantung.
Pelajar tersebut juga sepatutnya melaporkan diri kepada guru-guru tertentu untuk mengikuti perkembangan pelajaran dan kerja rumah yang diberikan. Malah mereka juga boleh diletakkan dalam bimbingan rakan-rakan sekelas yang boleh menziarahinya dari semasa ke semasa supaya tidak terputus hubungan dengan sekolah di samping dapat mengawasi kegiataannya. Pelajar yang tergantung juga dapat merasakan bahawa dia masih diperlukan dan mencuba untuk mengubah kesalahannya dengan secepat mungkin untuk kembali ke sekolah.
Ibu bapa atau penjaga harus dimaklumkan secara langsung oleh pihak sekolah, bukannya melalui anak mereka. Mereka harus difahamkan akan tujuan pergantungan dan harus mendapat kerjasama mereka untuk memastikan anak-anak mereka benar-benar menggunakan masa pergantungan dengan kerja-kerja yang berfaedah dan menyedari kesalahan mereka. Kerjasama ibu bapa perlu untuk sama-sama mengubah sikap dan tindakan anak mereka yang salah dan turut bertanggungjawab atas masa depan anak-anak mereka.
Tempoh pergantungan harus juga ditetapkan supaya tidak terlalu panjang sehingga pelajar yang melakukan kesalahan putus hubungan dengan sekolah. Ia juga janganlah terlalu pendek sehingga tidak memberikan kesan langsung dan dianggap sebagai cuti semata-mata. Tindakan gantung sekolah tidak boleh dijadikan cara untuk melepaskan geram terhadap pelajar yang bermasalah.
Bukan setakat itu sahaja, sekolah yang memberikan tanggapan seperti penjara oleh pelajar-pelajarnya tidak akan memberikan kesan positif kepada perubahan sikap kepada pelajar yang digantung. Jika sekolah itu sendiri bukanlah satu tempat yang boleh menarik kehadiran pelajar untuk pergi belajar, tidak menjanjikan harapan dan minat kepada pelajar untuk terus berada di sekolah, maka pergantungan pelajar akan dialu-alukan. Mereka seolah-olah mendapat cuti daripada kebosanan dan kongkongan sekolah jika digantung.
Disiplin yang ketat semata-mata tidak akan menghasilkan pelajar yang berdisiplin. Kita sekadar menghasilkan pelajar yang mematuhi peraturan kerana takut didenda. Ini samalah dengan pemandu kereta yang tidak melakukan kesalahan apabila melihat kehadiran polis dan pihak penguatkuasa. Apabila polis tidak kelihatan maka bermulalah pelbagai kesalahan lalulintas dilakukan sehingga mengancam nyawa orang lain.
Disiplin yang ketat harus didampingi kasih sayang dan keperihatinan. Hukuman dan ganjaran haruslah diseimbangkan. Ini adalah untuk membolehkan kita menggalakkan pelajar belajar dengan bersungguh-sungguh dalam suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif. Di samping itu pelajar-pelajar akan menghindarkan diri daripada melakukan kesalahan yang boleh merosakkan diri dan juga orang lain. Pelajar mestilah dididik dan dibimbing agar mempunyai kesedaran dalaman dan bukan paksaan dari luar.
Sekolah yang berkasih sayang dengan guru-guru, kakitangan dan pelajar yang mesra lagi suka menolong antara satu sama lain, akan sentiasa menjadi tarikan kepada semua anggota masyarakatnya. Konsep sekolah penyayang dan sekolah sebagai syurga pernah dicuba untuk diwujudkan. Sejauh mana kejayaannya, kita sedia memakluminya.
Kebanyakan konsep sekolah penyayang gagal kerana mereka terlari daripada konsep dan tujuan yang sebenar. Mereka tidak sedar akan peri pentingnya sekolah yang mempunyai kasih sayang sama seperti rumah tangga yang bahagia. Kita ingin kembali ke rumah kerana di situlah kita mendapat kasih sayang dan di situlah kita bersama-sama dengan orang yang kita sayang. Sekolah yang bahagia seperti rumah tangga yang bahagia akan dengan sendirinya menyelesaikan banyak masalah. Setiap anggota akan mencuba dengan sendirinya menjaga kebahagian supaya tidak terancam.
Kebanyakan sekolah sekadar mengejar kelulusan akademik. Malahan kosep sekolah penyayang sendiri hanya tinggal sebagai konsep sahaja tanpa dipraktikkan. Apa yang dilakukan sekadar laporan yang indah dan gambar segelintir komuniti sekolah yang dilakonkan-lakonkan. Laporan dibuat, atau lebih tepat direka, sekadar untuk memuaskan hati dan keperluan pihak atasan.
Apabila kasih sayang wujud sekadar di dalam laporan sedangkan pada hakikatnya tidak pernah dipraktikan, apa jua konsep tidak akan dapat dizahirkan. Ini sama juga keadaannya apabila kelas pendidikan moral dan agama sekadar satu matapejaran yang mementingkan kelulusan markah bukannya praktik dan amalannya. Sekolah gagal memupuk nilai-nilai murni melalui kelas pendidikan moral kerana ia adalah satu mata pelajaran semata-mata. Malahan kelas pendidikan moral sentiasa dipinjamkan kepada guru lain yang ingin menghabiskan sukatan pelajaran mereka.
Saya masih ingat ketika saya masih kecil dan melakukan kesalahan yang menghampakan bapa saya, saya akan dirotan dan dihalau keluar daripada rumah. Saya akan melakukan apa sahaja untuk kembali ke rumah kerana itulah satu-satunya tempat untuk saya berteduh dan mendapatkan kasih sayang. Saya tidak akan memperolehi kebahagiaan jika saya tidak berada di rumah.
Dengan itu, apabila saya dihukum dan didenda dengan dihalau daripada rumah, kebahagiaan saya tergantung. Untuk mendapat balik kebahgiaan itu saya terpaksa berubah dan tidak mengulangi kesalahan saya. Biarpun bapa saya cukup garang dan cepat naik marah tetapi saya sedar akan kehampaannya apabila anak kesayangannya mengengkari nasihatnya. Dia tetap seorang bapa penyayang biarpun tidak ditunjukkan dalam bentuk tutur atau tulisan. Kasih sayang dilahirkan dalam bentuk tindakan dan pengorbanan yang dilakukan demi anak-anaknya.
Pelajar yang digantung persekolahannya haruslah dapat dirasai sebagai pergantungan daripada faedah dan keistimewaan yang dinikmati. Untuk mencapai matlamat ini pihak sekolah sendiri harus dipertingkatkan ke tahap yang mampu menyediakan kebahagiaan, faedah, keistimewaan dan kenikmatan yang diimpikan. Sayangnya, banyak sekolah yang menggantung banyak daripada keistimewaan ini dan mengabaikan pelajar-pelajar yang tidak bersalah.
Sekolah yang mengalami kekurangan guru sebenar menggantung peluang pelajar untuk mempelajari mata pelajaran tertentu daripada guru yang bertauliah dan berpengalaman. Guru yang membawa masalah peribadi ke sekolah menggantung peluang pelajar untuk mempelajari dalam suasana yang baik dan memberangsangkan. Ini lebih teruk daripada hukuman yang dikenakan kepada pelajar yang digantung sekolah.
Sekolah tanpa pengetua atau guru besar juga sebenarnya menggantung peluang sekolah untuk berfungsi dengan baik dan meletakkannya dalam landasan yang betul. Guru-guru yang dibebankan dengan kerja-kerja yang tidak ada kaitan dengan pendidikan pelajar juga menggantung masa dan peluang mereka untuk menumpukan perhatian yang lebih kepada pelanggan mereka, pelajar mereka sendiri.
Guru-guru dan pelajar-pelajar sering menjadi mangsa kerana tergantung tanpa berlaku salah. Banyak kerja dan usaha terpaksa digantung kerana tiadanya perancangan yang baik dan bersistem di sekolah mahupun dalam keadaan tertentu pihak yang lebih tinggi. Arahan yang bercanggah dan terburu-buru menyebabkan banyak kelas tertangguh dan tergantung. Ini sering kali berlaku dengan guru-guru yang dipanggil untuk menghadiri kursus atau mesyuarat secara tiba-tiba.
Janganlah dijadikan gantung sekolah sebagai satu hukuman melainkan sekolah benar-benar bersedia dan yakin bahawa pergantungan itu akan memberikan kesan positif kepada pelajar yang dihukum. Janganlah kerana mengutamakan kepentingan individu tertentu sehingga sekolah itu sendiri tergantung tanpa haluan dan tujuan dan masa depan generasi muda kita turut tergantung.
Janganlah kita hanya melihat gantung sekolah dari segi masalah disiplin pelajar tetapi lihatlah juga banyak sekolah tergantung yang menimbulkan masalah disiplin pelajar. Lihatlah juga kepada keluarga tergantung yang melahirkan anak-anak yang tidak berani berhadapan dengan cabaran hidup, yang sentiasa lari daripada kenyataan hidup dan terjerumus dalam lembah kepura-puraan.