Ada dua keadaan seorang ibu atau bapa akan pergi ke sekolah dengan sukarela tanpa dipaksa. Satunya semasa mendaftarkan anak mereka ke sekolah. Keduanya ialah ketika menghantar dan menjemput anak mereka dari sekolah. Selain daripada itu mereka tidak akan memasuki kawasan sekolah, jauh sekali untuk berjumpa dengan guru-guru anak mereka, kecuali terpaksa.
Amat menghairankan sekali pada setiap hari begitu ramai ibu bapa yang menunggu kepulangan anak mereka di luar pagar sekolah. Demikian juga keadaannya begitu ramai sekali ibu bapa yang sanggup mengambil cuti untuk bersama-sama dengan anak-anak mereka semasa pendaftaran masuk ke sekolah. Sebaliknya apabila dijemput oleh pihak sekolah untuk menghadiri mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat sedikit yang sanggup. Sedangkan kehadiran mereka akan memanafaatkan mereka juga.
Telah menjadi satu masalah di seluruh negara mesyuarat agung PIBG sering kali terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana tidak cukup korum. Sekolah di bandar dan di desa sama sahaja keadaannya. Biar apapun usaha yang dibuat oleh pihak sekolah, sambutannya tetap tidak menggalakkan. Setakat ini belum ada sekolah yang benar-benar dapat berbangga dengan kehadiran ibu bapa dalam mesyuarat PIBG.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru sebenarnya mempunyai peranan yang cukup besar untuk dimainkan jika dimanafaatkan dengan sepenuhnya. PIBG mempunyai peluang dan ruang yang amat luas untuk digunakan oleh kedua pihak guru mahupun ibu bapa. Paling asas, PIBG mengeratkan persefahaman, hubungan dan kerjasama di antara ibu bapa dengan guru. Persefahaman dan kerjasama merupakan punca kepada segala bentuk rancangan yang hendak dilaksanakan.
Biarpun pendidikan secara formal dijalankan di sekolah tetapi pendidikan tidak formal juga harus berjalan seiringan. Ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak mereka terdidik secara tidak formal melalui pergaulan dan contoh teladan di rumah. Mereka juga bertanggungjawab mengukuhkan pembelajaran yang dilalui di sekolah. Tanpa mewujudkan persefahaman yang erat di antara guru dan ibu bapa, adalah sukar untuk membolehkan anak-anak kita mengalami satu proses pendidikan yang berterusan dan bersepadu.
Kegagalan dalam mewujudkan hubungan dan persefahaman yang baik di antara kedua-dua pihak guru dan ibu bapa menyebabkan banyak percanggahan dan salah faham. Guru di sekolah mempunyai kaedah mereka dan cara mereka yang tersendiri untuk ditunjuk ajar kepada pelajar-pelajar mereka. Nilai-nilai tertentu yang diperkenalkan diharapkan dapat dipraktikkan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah. Amalan akan mengukuhkan ilmu yang telah dipelajari.
Sebaliknya, tanpa kefahaman yang mendalam terhadap apa yang dipelajari, pendapat dan pandangan ibu bapa mungkin berbeza dengan apa yang diajar di sekolah. Nilai yang diamalkan juga berlainan dan kadang-kadang bercanggahan. Ini mengelirukan anak-anak kerana mereka tidak tahu mana satu yang harus diikut.
Adalah amat kejam sekali jika institusi sekolah bercanggahan dengan institusi rumah, dan anak-anak terpaksa membuat pilihan satu daripada dua. Bukan sahaja ia mengelirukan tetapi ia juga membantutkan pengukuhan terhadap apa yang dipelajarinya. Apabila guru atau ibu bapa ditanya tentang percanggahan ini, barang kali ada pihak yang akan menyalahkan pihak yang lain. Ini menyebabkan anak-anak hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap satu-satu pihak.
Ibu bapa yang suka membawa kereta dengan laju umpamanya kadang-kadang akan ditegur oleh anak mereka dengan berkata,
“Ayah, cikgu kata kalau memandu laju-laju akan berlaku kemalangan jalanraya.”
Anak tadi cuma mengingat semula apa yang diajar oleh gurunya di sekolah dan mengamalkannya dalam situasi yang sebenar. Ini menunjukkan anak kita sudah memahami apa yang diajar oleh gurunya. Jawaban seorang bapa atau ibu terhadap teguran anaknya akan menentukan sama ada pembelajaran tadi dikukuhkan atau sebaliknya.
Jika bapa menjawab, “Pandai, Nak, ayah terlupa. Lain kali tolong ingatkan lagi, ya?”, tentunya anak akan merasa gembira bahawa dia telah mempelajari sesuatu yang berguna dan dapat digunakan. Tambahan pula perbuatannya dipuji. Ini adalah bentuk pengukuhan yang paling baik.
Sebaliknya jika apa yang diterima ialah,
“Ah, cikgu apa tau! Mungkin lesen memandupun belum lulus”.
Si anak tentu merasa terkilan dengan perbuatan orang tuanya. Dia juga menjadi ragu-ragu terhadap kesahihan nasihat guru di sekolah. Yang paling teruk ialah keyakinannya terhadap guru akan terhakis sedikit demi sedikit setiap kali kata-kata guru dicanggahi oleh ibu atau bapa. Tanpa keyakinan ini adalah amat sukar untuk seseorang pelajar itu belajar daripada gurunya.
Kepada kebanyakan orang ini merupakan perkara yang kecil. Harus kita ingat bahawa kadang-kadang perkara kecil dan dianggap remeh temehlah yang diingati selama-lamanya. Kata-kata yang pernah kita luahkan kepada orang lain mungkin tidak kita ingat tetapi akan diingati orang yang mendengarnya. Kalau kata-kata itu dijadikan pegagang hidup, besarlah ertinya atau mungking besarlah akibatnya jika kata-kata tersebut disalah tafsirkan.
Percanggahan pendapat jika tidak dijelaskan akan menjejaskan pembelajaran anak-anak. Biar siapa yang betul atau siapa yang salah, selagi salah faham itu wujud ia bukanlah satu perkara yang baik. Tanpa satu wadah untuk menyelesaikannya ia menjadi satu jurang yang akan membawa kesan yang amat mendalam.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru sebenarnya mempunyai peranan yang amat penting dalam menyediakan wadah untuk menyelesaikan perselisihan faham, prasangka dan perbezaan pendapat di antara ibu bapa dan guru. Ia juga merupakan saluran yang terbaik untuk guru-guru mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa terhadap pengajaran yang disampaikan kepada pelajar-pelajar. Masing-masing akan lebih memahami tugas dan peranan yang sepatutnya dan memudahkan kerjasama ke arah yang lebih positif.
Jika guru-guru dan ibu bapa hadir dalam mesyuarat PIBG, tentunya sebarang kekeliruan dan perselisihan faham dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Masalahnya kehadiran ibu bapa dalam mesyuarat tersebut masih lagi menjadi penghalang utama dalam merealisasikan peranan PIBG. Sering kali isu kehadiran ibu bapa dipertikaikan dan dipersalahkan apabila berlaku sesuatu masalah di sekolah.
Apakah guru-guru lebih memahami akan kepentingan PIBG kerana kehadiran mereka tidak pernah dipertikaikan? Tidak semestinya. Guru Besar atau Pengetua boleh mengeluarkan arahan kepada guru untuk hadir dalam mesyuarat PIBG. Arahan yang sama tidak boleh dikeluarkan kepada ibu bapa.
Pernah ada sekolah yang mengeluarkan arahan kepada pelajar-pelajarnya supaya mewajibkan ibu bapa mereka hadir dalam mesyuarat agung PIBG, jika tidak pelajar tersebut akan didenda. Langkah demikian mungkin dapat menambahkan bilagan kehadiran tetapi tindakan tidak boleh diambil ke atas pelajar-pelajar jika ibu bapa mereka tidak hadir. Pelajar-pelajar tidak boleh disalahkan jika ibu bapa mereka enggan hadir atau sememangnya tidak dapat hadir kerana tugas. Lagipun jika tindakan tersebut tidak diambil, cara yang sama tidak lagi berkesan untuk digunakan pada tahun berikutnya.
Kehadiran secara paksaan juga akan menimbulkan kesan negatif terhadap perjalanan mesyuarat. Ibu bapa yang merasa tidak puas hati akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan pelbagai masalah dan pertanyaan yang boleh mewujudkan suasan tegang. Jika pihak PIBG tidak dapat mengurus suasana tegang dengan baik ia akan memburukkan lagi keadaan yang sedia kurang memuaskan.
Maka ada juga sekolah yang cuba menggunakan daya tarikan lain seperti mengadakan hari ucapan dan penyampaian hadiah serentak dengan mesyuarat agung PIBG. Hadiah yang disampaikan kepada pelajar juga diperluaskan bidangnya seperti hadiah warna sekolah dan kecemerlangan ko-kurikulum. Ini akan menggalakkan lebih ramai pelajar dan ibu bapa untuk datang.
Cara tarikan tentunya lebih baik daripada cara paksaan. Kesemptan ini mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya. Kelemahannya ialah, masa yang amat pendek untuk diadakan mesyuarat selepas majlis penyampaian hadiah. Majlis dan mesyuarat yang terlalu panjang menimbulkan masalah kepada ibu bapa yang bekerja. Ia juga menimbulkan rasa bosan dan menyebabkan mesyuarat diadakan secara ala kadar sahaja tanpa mencapai matlamatnya.
Saya pernah dilantik sebagai setiausah, naib pengerusi dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah anak saya. Selama enam tahun saya terlibat dalam PIBG, pelbagai masalah dan kerenah yang dihadapi. Kehadiran ibu bapa tetap menjadi satu cabaran yang amat besar untuk dihadapi.
Saya juga dapati bahawa cara pengendalian mesyuarat yang tidak cekap serta meleret-leret ke perkara-perkara yang tindak ada kaitan langsung dengan mesyuarat menjadi salah satu faktor kenapa ibu bapa tidak ingin datang. Kelantangan ibu bapa atau guru menegur dan menyuarakan rasa tidak puas hati secara terbuka dan kasar juga membuat ramai pihak merasa kesal dan tidak ingin terlibat dalam suasana demikian.
Oleh itu sebagai orang yang mempengerusikan mesyuarat kita harus tahu cara-cara mengawal mesyuarat daripada terlencong kepada perkara-perkara yang tidak berkaitan. Kita juga perlu mengawal perasaan ahli persatuan dan tidak membenarkan serangan peribadi yang boleh menjejaskan hubungan baik antara sekolah dengan ibu bapa.
Walaupun kehadiran ibu bapa dan guru dalam mesyuarat PIBG kurang memuaskan, saya dapati mereka suka menghadiri majlis yang ada kaitan dengan anak-anak mereka umpamanya hari sukan, hari kanak-kanak, hari ucapan dan penyampaian hadiah, serta pertandingan-pertandingan tertentu. Kehadiran mereka merupakan sokongan moral kepada anak-anak mereka. Ini dapat dilihat melalui kamera yang dibawa oleh mereka dan juga nasihat saat terakhir yang diberi.
Dengan itu, semasa saya menjadi pengerusi PIBG selama tiga tahun, saya menyampaikan mesej kepada ibu bapa melalui majlis-majlis sedemikian. Nasihat, cadangan dan pandangan untuk membolehkan kewujudan hubungan yang lebih erat di antara sekolah dengan ibu bapa saya selitkan dalam ucapan-ucapan saya.
Oleh kerana majlis tersebut juga mendapat liputan akhbar tempatan, mesej yang hendak saya sampaikan dapat diutarakan dengan lebih meluaskan. Dengan cara yang demikian, perselisihan faham di antara guru dengan ibu bapa dapat dikurangkan.
Walaupun begitu, kadang-kadang saya juga berhadapan dengan ibu bapa yang terlalu keras kepala dan menuntut sesuatu tindakan diambil terhadap guru tertentu yang telah mendenda anak mereka. Mereka seolah-olah menganggap PIBG sebagai polis atau biro aduan awam. Saya biasanya akan membuat penyiasatan yang mendalam bersama-sama dengan ahli jawatankuasa PIBG yang lain.
Jika hasil siasatan mendapati benar barulah kami memaklumkan kepada pihak guru besar atau pengetua. Bentuk tindakan yang akan diambil terpulang kepada pihak sekolah melalui saluran-saluran yang telah ditetapkan. Jika ibu bapa pula berada di pihak yang salah, maka mereka terpaksa meminta maaf kepada pihak sekolah atau guru yang berkenaan.
Bukan semua perkara dapat diselesaikan dengan baik. Ini bergantung kepada dengan siapa yang kita berurusan. Pernah satu ketika dahulu semasa sekolah anak saya masih dalam pembinaan sebuah dewan baru, jalan utama sekolah terpaksa dialihkan. Murid-murid yang keluar masuk terpaksa menggunakan pintu tepi yang jalannya agak curam dan berpasir. Ia amat merbahaya kepada murid-murid yang meluncur keluar pada waktu pulang. Biasanya kami meminta kerjasama guru bertugas dan pengawas sekolah untuk mengawal keadaan untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Apabila kerja-kerja pembinaan selesai saya telah meminta pihak sekolah agar membuka semula jalan utama kepada murid-murid sekolah. Jalan utama lebih selamat digunakan. Akan tetapi permintaan saya ditolak oleh pihak sekolah. Orang yang menolak permintaan saya, sebenarnya bagi pihak PIBG, ialah seorang guru penolong kanan. Guru Besar meminta saya merujuk kepada guru Penolong Kanan.Dia seorang guru wanita yang hampir bersara. Saya menjelaskan permintaan saya adalah untuk keselamatan murid-murid sekolah.
Dengan tidak berfikir langsung dia memberitahu saya, “Cakaplah apa yang hendak dicakap. Biar apa alasan sekalipun saya tidak akan mengubah pendirian saya.”
Dia bercakap seolah-olah dialah orang yang membuat keputusan mutlak. Saya amat terkejut dengan jawapannya. Belum pernah saya berjumpa dengan orang yang bergelar guru, diberi jawatan penolong kanan, boleh menolak permintaan yang bertujuan baik tanpa sebarang alasan. Kalau ada alasan yang boleh diterima akal diberikan tentu sekali kita dapat menerimanya tetap penolakan secara mentah-mentah cukup tidak berpatutan.
Saya tidak berpuas hati dan meminta untuk memberikan penjelasan lagi. Sekali lagi dia menolak. Malah dia memberitahu saya, bahawa jika ibu bapa bimbangkan keselamatan anak mereka, mereka boleh menunggu anak-anak mereka di luar bilik darjah dan memimpin anak-anak mereka melalui jalan yang bahaya tadi. Bayangkan bagaimana teruknya kesasakan jalan raya yang akan berlaku jika semua ibu bapa meninggalkan kenderaan untuk menjemput anak mereka dari bilik darjah. Bagaimana pula dengan pemandu bas sekolah?
Saya geleng kepala. Saya tahu tidak ada hasilnya bercakap dengan orang yang menyalahgunakan kuasa dan entah perinsip apa yang dipegangnya. Saya berbincang dengan ibu bapa yang lain dan diberitahu ramai sudah orang yang membuat permintaan yang sama tetepi ditolak dengan kasar serta tanpa alasan yang boleh diterima akal.
Saya kemudiannya mendapati bahawa tujuan Penolong Kanan menolak permintaan ibu bapa adalah untuk menjadi popular di kalangan guru-gurunya. Inilah satu-satunya pangkat yang pernah diberikan kepadanya dalam sejarah dia sebagai seorang guru. Dia pernah disindir oleh guru lain sebagai guru yang tidak berupaya kerana biarpun dengan kekananan pengalaman mengajar, peluang kenaikan pangkat tidak diberikan.
Jadi inilah masanya dia membuktikan kepada guru-guru lain bahawa dia boleh. Jalan utama sekolah itu digunakan oleh guru-guru yang berkereta. Jika murid-murid tidak menggunakan jalan tersebut, guru-gurunya dapat keluar dengan lebih cepat. Ini sepatutnya tidak berlaku walaupun tugas rasmi guru bertugas tamat apabila loceng terakhir berbunyi. Tetapi ini tidak bermakna guru boleh meninggalkan sekolah dengan mengorbankan keselamatan murid-murid yang diajarnya. Ia bertentangan dengan nilai yang cuba dipupuk dan diterapkan.
Oleh kerana guru tersebut akan bersara tidak lama kemudiannya kami membiarkan sahaja perkara tersebut berterusan. Apa yang boleh kami lakukan ialah mengingatkan anak-anak kita supaya berhati-hati. Tetapi beberapa kemalangan tetap berlaku kerana jalan yang sebenarnya merbahaya sukar dielakkan apabila murid-murid bersesak-sesak untuk keluar. Bagaimanapun kami bersyukur apabila guru tersebut bersara dan guru besar sekolah juga bertukar. Semua budaya buruk dan peraturan tidak logik telah diubah.
Apabila berhadapan dengan guru-guru yang bermasalah dan perundingan secara baik tidak dapat menyelesaikan masalah, cara yang terbaik adalah dirujuk kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Tetapi jika PIBG juga gagal menyelesaikannya, terpulang kepada pihak yang terlibat sama ada ingin melaporkan kepada pihak yang lebih berkuasa atau tidak. Biasanya rundingan pada peringkat PIBG adalah tempat yang paling sesuai untuk menyelesaikan sesuatu pertelingkahan atau salah faham dengan cara yang baik.
Namun, jika seringkali rundingan itu gagal dan organisasi tersebut tidak dihormati, ia akan menyebabkan orang hilang keyakinan dan kepercayaan. Pendek kata kejayaan PIBG di sekolah bukan bergantung kepada ibu bapa semata-mata tetapi semua pihak, guru-guru, pihak sekolah, ibu bapa dan jabatan pendidikan. Ahli-ahli jawatankuasa yang diberikan mandat hendaklah jangan menggunakan PIBG sebagai saluran untuk mendapatkan projek atau kepentingan perniagaan di sekolah.
Biarpun ada sekolah yang lebih suka mencari pengerusi PIBG yang ternama dan kaya tetapi jika tujuannya lari daripada matlamat sebenar PIBG ia hendaklah dihentikan. Sekolah kadang-kadang menggunakan PIBG sebagai batu loncatan untuk mengisi tabung sekolah bagi projek-projek tertentu. Orang ternama atau orang kaya yang dilantik sebagai pengerusi PIBG diharapkan dapat menggunakan kedudukan dan pengaruhnya bagi mendapatkan derma yang banyak. Biarpun cara ini ada membawa faedah kepada pihak sekolah tetapi ia membuka peluang kepada kegiatan salahguna kuasa dan rasuah.
Pernah berlaku dalam kes-kes tertentu anak-anak kepada orang-orang yang telah menderma kepada sekolah dikecualikan daripada dikenakan tindakan disiplin. Ini disebabkan sekolah terhutang budi kepada mereka. Maka anak mereka dibiarkan bermaharaja lela. Ia telah melahirkan satu teladan yang amat tidak baik dan menunjukkan pihak sekolah sanggup tunduk kepada wang ringgit. Perbuatan ini mudah sahaja akan diketahui ibu bapa yang lain. Tentunya nama baik dan kewibawaan sekolah akan terjejas. Orang lain juga akan mengambil kesempatan apabila anak mereka didapati bersalah.
Memang tidak ada satu pertubuhan yang sempurna. Pengalaman lalu sama ada dilalui sendiri mahupun yang diketahui daripada sumber lain haruslah dijadikan peringatan dan teladan supaya perkara-perkara yang tidak baik dapat dielakkan. Jika sudah sekian lama PIBG belum berjaya menarik kehadiran pihak ibu bapa, apakah kita harus menunggu sehingga semua ibu bapa berubah fikiran tentang PIBG barulah kita akan memainkan peranannya?
Cara alternatif harus dicari dan digunakan. Sekiranya ada cara lain dan kaedah lain yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat yang sama kita harus mencubanya. Tindakan sekolah mewajibkan ibu bapa hadir untuk mengambil buku rekod anak mereka daripada guru kelas adalah satu langkah yang bijak ke arah mewujudkan persefahaman dan membolehkan ibu bapa memahami kelemahan dan kekuatan anak mereka.
Orang yang berinovatif berguru dengan guru. Jika guru menghadapi masalah, lahirkan lebih ramai pelajar yang berinovatif dan kreatif. Lebih otak tentunya lebih baik daripada satu otak untuk memikirkannya. Selagi kita yakin dengan peranan PIBG dan terus berusaha untuk menjayakannya, suatu hari kita pasti berjaya.