Seorang pelajar yang banyak masalah disiplin dihantar ke bilik guru disiplin. Rambutnya panjang. Pakaiannya comot. Dalam begnya terdapat rokok, buku lucah dan pisau. Tidak ada buku dalam beg sekolahnya.
Apabila disoal oleh guru disiplin dia sedikitpun tidak menghiraukan soalan guru. Kadang-kadang dia menjeling sahaja kepada guru disiplin yang hampir sebaya dengan bapanya. Perbuatannya seolah-olah mencabar guru disiplin.
Pertanyaan demi pertanyaan tidak dijawab. Guru disiplin telah mulai tidak sabar. Tangan kanannya dihulur untuk memegang dagu pelajar tersebut supaya memandangnya. Pelajar tersebut cuba mengelak dan secara tidak sengaja kepalanya terhantuk kepada sebatang paku yang kebetulan terpacak di dinding.
Kepala pelajar tersebut berdarah. Dia terus melarikan diri dari sekolah. Tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Tetapi pada hari keesokannya guru disiplin tersebut dikelilingi orang kampung dan dipukul semasa pergi ke pasar untuk membeli ikan. Dia dituduh memukul pelajar sehingga kepala berdarah.
Guru disipilin tersebut merupakan salah seorang kawan baik saya. Saya terkejut melihat lebam kesan pukulan di muka dan badannya. Dia tidak mengambil sebarang tindakan walaupun dia teraniaya. Dia kata dia bersalah.
Semasa mengendalikan satu kes ponteng sekolah, saya telah meminta ibu pelajar tersebut berjumpa dengan saya. Ibunya menuduh saya menganiayai anaknya kerana baginya anaknya seorang yang baik dan tidak mungkin akan ponteng.
Saya cuba menerangkan keadaan sebenar dengan menunjukkan bukti. Tetapi ibunya tidak percaya malah memaki hamun saya. Dia berjalan keluar meninggalkan bilik guru disiplin dengan mulutnya masih menyumpah-nyumpah dengan perkataan yang cukup menghina.
Lebih teruk lagi ialah pada ketika itu merupakan waktu pulang bagi pelajar sesi pagi dan waktu masuk kelas bagi pelajar sesi pagi. Semua orang melihat dan mendengar maki hamun wanita tadi. Dia juga mengancam akan membalas dendam terhadap saya.
Pengetua yang juga sempat menyaksikan episod tersebut merasa tidak puas hati dan terkilan dengan tindakan wanita tersebut, meminta saya membuat laporan polis. Saya membuat laporan polis seperti yang dinasihatkan.
Kes tersebut telah dibawa ke mahkamah. Apabila berada di hadapan hakim barulah wanita tersebut meminta maaf apabila dinasihatkan oleh hakim. Sebagai tanda hukuman, wanita tersebut didenda sebanyak RM50.
Saya juga pernah berhadapan dengan seorang pelajar lain yang sering kali ponteng. Apabila ditangkap pelajar tersebut telah dirotan. Pelajar tersebut tidak berpuas hati dan cuba merosakkan kereta saya. Dia juga menelefon ke rumah saya untuk mengancam keselamatan saya.
Saya memanggil semula pelajar tersebut di sekolah. Dia amat kasar apabila bercakap dengan saya. Setelah tidak mendapat kerjasama daripadanya saya meminta nombor telefon untuk menelefon ibu bapanya.
Setelah ditelefon beberapa kali tidak ada orang menjawab. Saya bertanya kepadanya kenapa tidak ada orang menjawab. Dengan suara yang tinggi dan memandang tajam kepada saya dia menjawab,
“Mana aku tahu?”
Jawaban itu membuatkan saya hilang sabar dan tangan saya mencapai leher baju sekolahnya. Malang nasib saya. Bajunya yang sentiasa basah dengan peluh sudah hampir reput. Bajunya terkoyak dan semua butang terjatuh satu dengan satu.
Meyedari akan kesalahan saya, saya cepat-cepat membawanya ke sebuah bilik yang kosong dan cuba menjelaskan kenapa saya berbuat demikian. Saya tahu jika saya tidak selesaikan masalah tersebut, dia boleh melaporkan kepada polis, pejabat pendidikan dan mengheboh-hebohkannya dalam akhbar.
Maka habislah kerjaya saya sebagai seorang guru, habislah masa depan saya dan masa depan keluarga saya. Habislah juga nama baik sekolah saya. Orang tidak akan melihat apakah kesalahan pelajar tetapi akan fokas kepada kesalahan guru kerana itu lebih sensasi. Tidak ada orang yang akan dapat membela saya.
Biar apapun saya terpaksa cuba untuk menyelesaikannya sendiri. Akhirnya saya berjaya memujuknya dan dia juga mengaku dia telah mengancam saya dan melakukan kesalahan. Saya mengeluarkan dompet dan mencari wang untuk mengganti rugi bajunya.
Hanya sekeping wang kertas RM50 yang terdapat dalam dompet saya. Nasib malang lagi. Saya tahu harga bajunya tidak sampai RM50 tetapi jika saya pergi mendapatkan wang kecil dia mungkin berubah fikiran dan membesar-besarkan perkara tersebut. Mahu tidak mahu saya terpaksa menyerahkan RM50 tersebut kepadanya. Saya memintanya kembalikan bakinya kepada saya.
Wang diterima dan dia meninggalkan sekolah. Dia tidak lagi menimbulkan masalah disiplin selepas itu tetapi dia juga mengembalikan baki wang daripada pembelian baju sekolahnya. Itu pengajaran kepada saya kerana hilang kesabaran. Saya melaporkan perkara tersebut kepada pihak sekolah sebagai rekod kerana tidak mahu perkara tersebut disalahgunakan.
Ramai orang hilang kawalan diri apabila terlampau terdesak, dicabar, dihina atau dipaksa. Pada saat kita membiarkan emosi dan kemarahan mengawal diri kita, kita sudah melepaskan status kita sebagai seorang manusia. Perasaan marah seolah-olah mengawal seluruh fikiran dan perbuatan kita. Apa juga yang terlintas dalam fikiran kita akan kita lakukan.
Malangnya kita menyesal selepas tindakan itu diambil. Kita menyesal setelah sudah terlambat.
Kerana komitmen saya kepada tugas saya sebagai seorang guru terutama sekali semasa saya menjawat jawatan guru disiplin, saya sering dicabar, dikutuk, diejek, dimaki dan macam-macam lagi cubaan yang perlu saya lalui. Saya bukan manusia agung. Saya masih manusia biasa. Saya juga akan hilang kesabaran.
Hanya sekali sahaja saya hampir kehilangan kerjaya saya kerana hilang akal apabila berhadapan dengan pelajar yang tidak sopan. Itu sudah cukup untuk memberikan pengajaran seumur hidup kepada saya. Oleh itu, biar betapa marah dan panasnya hati saya, saya tetap tidak angkat tangan saya untuk menampar dan menumbuk. Perbuatan ini memang tidak dibenarkan.
Namun begitu perasaan marah dan geram yang tidak dapat dilepaskan boleh memakan diri kita sendiri. Saya sering membawa balik masalah sekolah ke rumah. Ia mengganggu fikiran saya dan ahli keluarga saya. Ia juga mengganggu tidur dan sekaligus kesihatan saya. Sebenarnya amat siksa untuk menjadi seorang guru disiplin.
Itulah sebabnya setelah dua tahun menjawat jawatan tersebut, saya meminta agar pengetua saya melepaskan saya daripada memegang jawatan tersebut. Saya tidak menggunakan perkataan ‘meletakkan jawatan’ kerana tidak mahu ditafsir sebagai merajuk dan melawan.
Setelah mendengar penjelasan saya, dan dia memang faham akan apa yang saya alami, permintaan saya diterima. Tanpa jawatan tidak bermakna saya tidak lagi bertanggungjawab. Sebagai seorang guru saya masih perlu memastikan disiplin pelajar sentiasa terjaga dan terkawal. Tiada pendidikan tanpa disiplin. Tekanannya tetap ada.
Pada masa tersebut saya ditawarkan oleh seorang rakan setugas untuk menghadiri satu kursus perubahan mental yang dianjurkan oleh sebuat syarikat swasta. Saya menghabiskan RM150 untuk mendaftarkan diri dan menghadiri kursus selama tiga hari tersebut. Kursus tersebut telah banyak mengajar saya untuk mengawal diri saya dan perasaan saya.
Perkara paling penting yang saya pelajari dalam kursus tersebut ialah bagaimana melihat sesuatu perkara daripada sudut yang berbeza-beza. Orang yang degil dan keras kepala biasanya orang yang enggan menerima pendapat orang lain. Mereka tidak sanggup melihat daripada sudut pandangan orang lain. Mereka bermati-matian mempertahankan pendirian mereka tanpa sedikitpun cuba memahami fikiran dan perasaan orang lain.
Dengan perlahan-lahan saya mengubah cara saya melihat sesuatu keadaan dan cara saya berhadapan dengan pelajar saya. Keupayaan melihat daripada pelbagai sudut pandangan sebenarnya membolehkan kita mempertimbangkan cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Sebelumnya saya tidak akan meminta maaf jika saya tidak bersalah. Saya memang telah dididik sedemikian semenjak kecil. Itu menyebabkan saya berkeras dan tidak memberi muka langsung biarpun kepada orang yang lebih berkuasa. Saya berpegang teguh kepada pepatah “Berani kerani benar”.
Biarpun pepatah “Berani kerana benar” memang benar tetapi kalau kita terlalu berpegang kepadanya ia tidak selalunya membawa kebaikan kepada kita. Jika kita dipersalahkan oleh ketua kita dengan tidak sengaja, ada dua cara untuk kita menuntut pembelaan.
Pertama, kita masuk ke bilik ketua kita dan bertengkar dengannya. Kita berani kerana kita benar. Kita boleh membawa semua bukti untuk menunjukkan kita benar dan tidak bersalah. Dengan bukti yang ada kita menunjukkan bahawa ketua kita bersalah. Mahu tidak mahu ketua kita terpaksa menelan kesalahannya.
Kedua, kita berjumpa dengan ketua kita dengan baik dan cuba mendapatkan penjelasan atau lebih manis lagi meminta nasihat. Kita menjelaskan apa yang berlaku dan meminta maaf kerana telah memburukkan keadaan sehingga menyusahkan ketua kita. Kita sedikitpun tidak menyalahkannya.
Kedua-dua cara di atas boleh menyelesaikan masalah. Cara pertama mungkin memaksa ketua kita meminta maaf kepada kita kerana telah dibuktikan dia yang bersalah. Tetapi tentu sekali perkara tersebut tidak akan tamat di situ sahaja. Oleh kerana menjatuhkan air muka ketua kita, dia mungkin sengaja menyusahkan kita apabila wujudnya peluang. Ragam manusia, siapa yang tahu? Nasib kita, atau sekurang-kurang periuk nasi kita berada dalam tangan ketua kita.
Dalam cara yang kedua pula, ketua kita akan merasa bersalah dengan sendirinya walaupun kita sedikitpun tidak menyalahkannya. Dia mungkin mengaku bahawa dia terburu-buru membuat tuduhan. Atau sekurang-kurangnya dia tidak akan menyalahkan kita lagi.
Ini merupakan penyelesaian yang lebih baik dan lebih bijak. Hubungan di antara kita dengan ketua kita tentu sekali akan bertambah erat. Kita akan lebih dipercayai. Mudahlah untuk kita untuk terus bekerjasama pada masa yang lain.
Apabila kita dapat menerima hakikat bahawa bukan satu sahaja jalan untuk pergi ke Rome, kita tahu bagi setiap masalah ada banyak cara dan kaedah untuk menyelesaikannya. Pilihlah jalan yang terbaik, bukan sahaja baik untuk kita tetapi baik juga untuk orang lain.
Cara ini banyak membantu saya kerana saya memang seorang yang cepat naik darah. Saya menjadi lebih sabar. Semasa berhadapan dengan sesuatu keadaan yang mencabar dan mendesak, saya melambatkan tindak balas saya. Umpama apabila dengan tiba-tiba saya dimarah tidak tentu pasal. Saya tidak memarah balik dengan segera. Saya biarkan. Semakin lambat saya bertindak balas, semakin sejuk perasaan saya malah saya mungkin dapat melupakannya tanpa mengambil sebarang tindakan.
Kalau kita bertindak secara terburu-buru kerana terikut-ikut dengan perasaan marah lawan kita, kita tentu sekali tidak ada masa untuk memikirkan apakah cara penyelesaian yang terbaik. Kita mungkin memang bergaduh tetapi kalah dalam banyak perkara lain seterusnya.
Menang berlawan tidak semestinya jaguh. Kalah berlawan tidak semestinya pengecut. Jaguh yang sebenar adalah orang yang dapat menyelesaikan masalah tanpa mengorbankan sesiapa.
Adakah saya tidak berperasaan? Tidak, saya memang berperasaan biarpun saya tidak bertindak. Tidak bertindak mengikut rentak orang yang mencabar kita tidak semestinya menjatuhkan maruah kita. Maruah bukan dibela dengan berlawan.
Jika berhadapan dengan keadaan yang menaikkan darah, nanti dulu. Jangan bertindak. Kalau tenang banyak yang boleh dilakukan. Banyak jalan untuk kita menuju ke destinasi kita. Banyak cara untuk kita mencapai matlamat kita.
Nanti dulu. Fikir sebelum bertindak.