Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< June 2004 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Tuesday, June 15, 2004
Salah Tu Cikgu

Seorang ahli politik dijemput untuk merasmikan suatu majlis. Dia dikehendaki membuat ucapan perasmian. Ucapan yang disampaikan, atau lebih tepat lagi, dibaca dengan amat teruk. Banyak perkataan yang tidak dapat dibacanya. Banyak lagi yang tersalah sebut sehingga memberikan maksud yang lain. Perkataaan ‘kemerdekaan’ disebut sebagai ‘kematian’. Jelas teks ucapannya ditulis oleh orang lain tidak faham akan kebolehannya. Semua orang yang hadir menggeleng kepala dalam diam dan merasa malu dengan tetamu yang dijemput.

 

Apabila ahli politik tersebut turun dari pentas, dia terus bertanya kepada orang di sekelilingnya bagaimana dengan ucapannya. Semua orang, tanpa sebarang rasa kekok, jawab, baik, Datuk. Sangat baik. Cukup hebat sekali, Datuk. Ahli politik tersebut begitu gembira sehingga berkata, “yang di belakang itu saya tambah sendiri. Bukan tulisan setiausaha saya. Boleh tahan kan?”

 

Kerana kedudukannya sebagai seorang ahli politik dan sebagai tetamu yang dijemput, tidak ada orang berani atau sanggup memberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Tidak ada orang berani memberikan penilaian yang jujur dan tepat. Akibatnya, ahli politik yang tidak sedarkan diri memuji-muji diri sendiri di hadapan orang lain mengatakan ucapannya dikatakan hebat dan mendapat tepukan yang gemuruh.

 

Apa yang kurang difahami oleh ahli politik tersebut ialah dia tidak lagi dijemput untuk majlis yang sama. Pihak penganjur yang menanggung malu atas kelemahan ahli politik tersebut secara diam-diam mencari orang lain untuk majlis mereka yang sterusnya. Ahli politik itu juga menjadi bahan ketawa di kedai kopi dan pasar. Tetapi ahli politik itu sendiri tidak pernah mengetahui keadaan yang sebenarnya kerana dia dikaburi oleh pengikut-pengikut yang hanya membuat laporan palsu.

 

Memang telah menjadi tradisi kita menyembunyikan kenyataan kerana takut menyakitkan hati orang yang berpangkat atau orang yang lebih berkuasa daripada kita. Ada di kalangan kita yang menganggap bahawa orang yang berpangkat dan berstatus selalunya lebih tahu daripada kita. Ketakutan dan kekhuartiran untuk menyuarakan kebenaran sebenarnya membawa lebih keburukan daripada kebaikan. Tanpa satu penilaian yang tepat adalah sukar bagi kita memajukan diri kita dalam apa jua bidang. Tanpa perbandingan kita tidak akan tahu kelebihan dan kelemahan kita sendiri.

 

Biarpun begitu, cara sesuatu pandangan disampaikan juga amat penting. Tanpa cara yang baik niat yang baik akan disalah tafsir sebagai bertujuan buruk. Nasihat yang baik kadang-kadang disangka racun yang boleh membunuh.

 

Pada tahun pertama saya mengajar Sains Paduan saya telah didatangi sekumpulan nazir ke sekolah saya. Saya adalah di antara beberapa orang guru yang terpilih untuk diselia atau dicerap oleh nazir sains. Nazir tersebut masuk dan duduk di belakang kelas sambil memerhatikan pengajaran saya.

 

Pada akhir sesi, semua guru sains dikumpulkan di makmal untuk mendengar pandangan daripada nazir. Kami dibidas dan dikritik kerana mengajar tanpa mengikut pedagogi yang sebenar. Kami dipersalahkan kerana gagal mengawal disiplin kelas. Kami juga dimarah kerana tidak dapat memastikan semua pelajar memiliki buku yang mencukupi.

 

Selepas itu nazir tersebut mula memberikan cadangan bahawa setiap pelajar sepatutnya mempunyai buku teks mereka kerana setiap sekolah mempunyai Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Pelajar-pelajar juga mestilah diwajibkan membeli buku kerja Sains. Guru-guru juga diingatkan supaya mengambil tindakan terhadap pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah dan banyak lagi cadangan diberikan.

 

Semua guru diam mendengar syarahan nazir tersebut. Semua orang merasa kurang puas hati kerana dipersalahkan. Saya merasa teraniaya lalu bangun dan memberitahu bahawa sekolah yang kami ajar pada masa itu tidak sama dengan sekolah-sekolah lain di bandar-bandar besar. Pelajar-pelajar yang memasuki sekolah ini kebanyakannya berasal daripada keluarga yang miskin. Ada pelajar yang langsung tidak mempunyai wang saku untuk makan, apa lagi hendak membeli buku kerja. Kesanggupan pelajar ini untuk datang ke sekolah sebenarnya sudah merupakan satu yang patut disyukurkan.

 

Walaupun pihak sekolah mempunyai Skim Pinjaman Buku Teks tetapi buku yang ada tidaklah mencukupi. Bayangkan setiap kelas mempunyai lebih daripada 50 orang pelajar dan terdapat 14 kelas dalam Tingkatan Satu sahaja. Berbanding dengan  buku teks yang dibekalkan hanya cukup untuk sekitar 300 orang sahaja. Itupun belum diambil kira buku yang rosak dan hilang. Kerana jauh daripada bandar bekalan baru atau gantian lewat diterima.

 

 

Alat pencetak di sekolah pula sering kali roasak. Ini menyebabkan guru-guru yang berinisiatif juga tidak dapat menyediakan nota atau latihan kepada pelajar-pelajarnya. Ini ditambah pula dengan masalah kekurangan kertas di sekolah. Untuk menggunakannya secara cermat, kertas terpaksa disimpan untuk kegunaan peperiksaan sahaja. Kegunaan lain adalah dihadkan.

 

Saya juga memberitahu nazir tersebut bahawa pergaduhan dan masalah kurang disiplin adalah masalah biasa pada setiap hari. Hampir setiap hari ada sahaja pergaduhan berlaku sama ada sesama pelajar mahupun melibatkan orang luar. Kadang-kadang ada juga orang luar yang masuk ke kawasan sekolah dengan membawa senjata merbahaya. Kalau tidak berlaku pergaduhan dan perbuatan yang boleh mengganggu kelas itu sudah merupakan satu peningkatan dalam kawalan disiplin.

 

Akhirnya saya memberitahu nazir tersebut bahawa apa yang kami lakukan adalah yang terbaik dalam keadaan yang kami alami. Kami sedar akan kekurangan dalam kaedah yang digunakan dan kelainan dalam pendekatan yang kami gunakan. Apabla tiada rotan terpaksa kami menggunakan ranting. Lagipun terdapat banyak perbezaan di antara keunggulan dan kenyataan.

 

Selepas itu, guru-guru lain turut memberikan pendapat dan pandangan mereka. Tidak seorangpun menafikan cadangan nazir tersebut adalah baik tetapi tidak kena pada tempatnya. Mereka bertanya balik kepada nazir tersebut, dalam keadaan sekolah yang sudah diterangkan, apa lagi cara yang lebih baik yang boleh dilakukan selain daripada yang telah kami laksanakan?

 

Kali ini giliran nazir pula yang diam. Dia berfikir panjang. Akhirnya, dia memberitahu bahawa dia tidak pernah mengunjungi sekolah luar bandar. Dia juga mengakui bahawa pengalaman mengajarnya tidaklah terlalu panjang kerana dia mendapat tawaran menjadi nazir pada usia yang muda. Pandangannya banyak didasarkan kepada kursus yang pernah dihadiri dan buku yang dia baca.

 

Mahu tidak mahu dia terpaksa menarik balik cadangan dan komen yang telah dilemparkan kepada kami. Dia meninggalkan kami tanpa satupun cadangannya diterima oleh kami. Walaupun kami telah memberikan penjelasan kepada nazir tersebut untuk memberitahunya bahawa cadangan yang diberi tidak boleh digunapakai, saya merasa sedih melihat nazir tersebut.

 

Pada pendapat saya, dia tidak cukup pengalaman untuk menjadi seorang nazir. Seorang nazir harus tahu melihat kelemahan dan kelebihan seseorang guru semasa membuat pencerapan. Dengan hanya mengutamakan kelemahan sahaja dan menegur guru dengan cara yang kasar akan menjemput tindak balas yang negatif daripada guru yang dicerap.

 

Seorang nazir yang berpengalaman akan dapat menyesuaikan kaedah dan cadangannya mengikut keadaan setempat. Tidak ada dua buah sekolah yang mempunyai persamaan mutlak. Menggunakan cadangan yang tercatat dalam buku secara bulat-bulat tidak akan dapat diterima orang. Guru seharusnya seorang yang cukup flexible dan pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan tahap pengetahuan pelajar-pelajarnya. Jika semua cara dan kaedah dalam buku boleh digunakan tanpa sebarang penyesuaian, peranan guru tidak diperlukan lagi. Sentuhan kemanusiaan itu tidak lagi diperlukan.

 

Pendekatan yang digunakan juga kurang bijak. Dia seharusnya meminta guru-guru yang dicerap memberikan pandangan dan pendapat terlebih dahulu. Ini akan membolehkan dia lebih memahami masalah setempat. Memahami latar belakang sesebuah sekolah boleh membantu nazir tersebut membetulkan apa-apa prasangka dan prejudis yang mungkin ada sebelum memberikan pandangan yang kurang sesuai.

 

Cadangannya yang didasarkan kepada suasana sekolah di bandar juga tidak sesuai untuk digunapakai di sekolah luar bandar. Apabila komen demi komen dibuat dan cadangan demi cadangan diutarakan tanpa berdasarkan kesesuai tempat dan suasana, reaksi yang diterimanya tentu bertambah negatif. Cuma ada dua keadaan yang mungkin berlaku dengan cadangan sedemikian.

 

Kemungkinan yang pertama ialah, guru-guru akan menerima apa sahaja yang dicadangkan tanpa mempersoalkannya kerana tidak mahu memalukannya atau tidak mahu berlawan dengan orang yang lebih tinggi kedudukannya. Sama ada cadangan tersebut dilaksanakan atau tidak adalah perkara yang kedua. Nazir tersebut tidak mungkin berada di sekolah tersebut buat selama-lamanya. Dengan ini hasil daripada lawatan nazir adalah sia-sia sahaja.

 

Kemungkinan yang kedua ialah jika nazir tersebut terlalu menekan dan menuntut supaya tindakan diambil terhadap cadangan yang dibuat, guru-guru yang diselia mungkin akan membantah. Bantahan ini bukan bantahan kosong. Bantahan akan disokong dengan fakta dan penjelasan keadaan yang sebenar.

 

Apabila bantahan ini berlaku, seseorang nazir itu terpaksa berhadapan dengan kenyataan. Kenyataan biasanya pahit untuk diterima tetapi dalam keadaan begitu dia tidak ada cara lain selain daripada menerimanya dengan muka merah padam.

 

Memang baik jika guru-guru yang dicerap dan diselia diberikan pandangan dan cadangan yang membina agar perubahan dan kemajuan dapat dibuat. Akan tetapi kebanyakan guru tidak suka dicerap dan diselia. Ini ada kaitannya dengan pengalaman pahit yang pernah dialami semasa diselia. Tugas nazir sudah lumrah dikaitakan dengan pencarian masalah dan kesalahan guru. 

 

Tidak ada orang yang suka ditegur dan dipersalahkan. Tetapi jika teguran itu diberikan secara baik ia akan dapat diterima dengan baik. Kita sering mendengar bahawa teguran yang membina harus diterima. Yang kurang kita dengar ialah bagaimanakah teguran yang membina itu diberikan. Teguran membina bukan sekadar teguran yang bermotifkan untuk membawa perubahan tetapi diberikan dengan cara yang menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Teguran yang membina seharusnya mempunyai niat membina dan disampaikan dengan cara yang baik.

 

Semasa saya mengajar Bahasa Inggeris, saya pernah dicerap oleh seorang Ketua Nazir. Itu adalah kali kedua saya dicerap. Sebelum kelas berlangsung kami mengadakan sesi perbincangan tentang apakah yang akan saya ajar, bagaimana tahap pencapaian pelajar kelas tersebut dan apakah masalah yang sering kali berlaku dalam kelas terutama sekali berkaitan dengan pengajaran Bahasa Inggeris. Saya memberikan semua maklumat yang dikehendaki.

 

Semasa memasuki kelas, Ketua Nazir tersebut mengikuti saya dari belakang. Dia memperkenalkan diri dan kemudian duduk di belakang kelas. Dia memerhati sahaja sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung selama 45 minit. Dalam jangka masa tersebut dia juga memerhatikan kerja pelajar yang dilakukan. Pergerakannya dalam kelas juga tidak sedikitpun mengganggu saya mahupun pelajar yang lain.

 

Kelas berjalan dengan lancar. Setelah selesai kami mengadakan satu lagi sesi perbincangan, kali ini perbincangan kami tertumpu kepada kelas yang baru sahaja saya kendalikan. Dia memulakan dengan memuji saya seorang guru yang banyak idea dan pandai menggunakan apa yang berlaku di sekeliling saya sebagai contoh. Malah dia menunjukkan beberapa contoh yang telah saya gunakan.

 

Saya merasa cukup senang dengan caranya. Kemudian kami berbincang tentang kaedah-kaedah lain yang telah saya gunakan yang mungkin dapat diperbaiki. Dia tidak segera memberikan cadangan. Sebaliknya dia bertanya apakah ada cara lain yang boleh disampaikan dengan lebih berkesan. Selepas saya memberikan cadangan barulah dia menokok tambah atau kadang-kadang menerimanya dan mencadangkan saya menggunakannya dalam kelas yang akan datang.

 

Ketua nazir tersebut tidak sedikitpun menunjukkan sikap atau membayangkan tujuannya untuk mencari kesalahan. Dia memberikan maklum balas yang cukup ikhlas dan jujur terhadap sesi pengajaran yang baru sahaja saya tamatkan. Saya juga didorong untuk berfikir untuk mendapatkan kaedah yang lebih baik untuk mengemaskan pengajaran saya. Dia mahu inisiatif itu datang daripada diri saya sendiri dan cadangan juga datang daripada saya sendiri. Secara tidak langsung dia membuktikan kepada saya bahawa saya masih ada banyak cara yang boleh digunakan dalam meningkatkan proses pengajaran, cuma barang kali saya belum mencubanya.

 

Saya rasa siapa sahaja yang dicerap oleh seorang nazir yang sedemikian akan mendapat manafaat daripadanya. Semangat dan azam seseorang guru tentunya dapat dipertingkatkan. Saya sebenarnya banyak belajar daripada pencerapan tersebut. Ia jauh berbeza dengan pencerapan yang pernah saya alami pada kali pertama. Mungkin ia juga jauh berbeza dengan pengalaman guru-guru lain.

 

Pernah juga berlaku pada sebuah sekolah kawan saya yang didatangi sekumpulan nazir yang berkampung di sekolah tersebut selama dua minggu. Semua guru di sekolah tersebut menghadapi tekanan jiwa yang amat sangat dalam jangka waktu tersebut. Kumpulan nazir ini mengkritik apa saja yang sempat mereka perhatikan daripada tukang kebun sampailah kepada pengetuanya. Mereka juga membuat pelbagai cadangan yang pada pihak sekolah agak mustahil untuk dilaksanakan.

 

Beberapa bulan kemudian, pengetua sekolah tersebut ditukarkan. Penggantinya ialah salah seorang nazir yang banyak membuat kritikan dan cadangan. Walaupun berat hati bagi guru-guru sekolah tersebut menerimanya mereka terpaksa akur dengan arahan pihak atasan. Pada masa yang sama mereka juga ingin melihat sejauh manakah kemampuan pengetua baru melaksanakan tugasnya setelah begitu banyak kritikan dilemparkan.

 

Terbukti akhirnya, cadangan seindah matahari waktu senja cuma kekal sebagai cadangan. Kritikan yang pernah dilemparkan tidak dapat diubah malah bertambah buruk. Tepatlah apa yang dikatakan oleh orang tua-tua bahawa ketika kita menudingkan satu jari kepada orang lain, 4 lagi jari menunjuk balik kepada kita sendiri.

 

Kalau kita sendiri tidak yakin dengan cadangan yang akan kita buat, itu bukanlah cadangan yang baik. Kalau kita sendiri tidak dapat melaksanakan sesuatu perkara dengan baik, janganlah kita cepat melatah dan membuat kritikan yang boleh menyakitkan hati orang lain. Sikap yang terlalu sombong dan tidak menerima pandangan orang lain sering kali membawa kita kepada keadaan yang merugikan kita sendiri.

 

Memang tegur menegur amat perlu untuk kita membaiki kesilapan dan kelemahan. Orang yang menegur mesti tahu cara teguran yang baik yang dapat diterima dengan baik tanpa merasa terhina dan tertekan. Teguran yang kasar biarpun berniat baik tidak dapat dianggap sebagai teguran yang membina.

 

Sebagai seorang guru, atau siapa saja, berpangkat besar atau tidak, perlulah sentiasa melihat dan menilai diri kita sendiri. Bukan semua orang akan memberikan teguran yang jujur dan bukan semua orang ingin memberikan apa-apa komen kecuali yang baik-baik.

 

Sekadar mendengar kata-kata pujian yang tidak ikhlas tidak akan memberikan kita ruang untuk memajukan diri. Untuk mendengar pendapat dan pandangan yang ikhlas, kita sendiri harus menunjukkan keikhlasan dan kesediaan untuk menerima pendapat dan pandangan tersebut.

 

Melainkan kita bersedia untuk berubah, tidak ada orang yang akan mengubah kita. Puji-pujian yang berniat mengampu dan mengangkat Cuma meletakkan kita dalam dunia kepura-puraan. Ia bagaikan belun yang terapung di atas jarum menuggu masa untuk pecah. Adalah lebih baik untuk kita keluar daripada dunia kepura-puraan kita sebelum kita dikejutkan dengan kenyataan yang tidak kita harapkan.


Dicatat pada 08:00 am oleh cikgulee
(2) Pandangan diberi  

Next Page