Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< June 2004 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Saturday, June 05, 2004
Anak Cikgu

Semasa saya masih kecil dan berada di bangku sekolah, kadang-kadang timbul rasa marah terhadap cikgu apabila saya rasa tidak puas hati, dituduh tanpa sebab atau dihukum tanpa usul periksa. Tetapi kemarahan itu tidak pernah dizahirkan dalam tindakan. Pernah juga terfikir untuk membalas dendam dengan menghukum anak cikgu jika saya sendiri menjadi seorang guru.

 

Tidaklah bermakna saya pernah bercitac-cita untuk menjadi seorang guru. Rasa dendam demikian memang biasa dilahirkan oleh ramai pelajar. Itu cumalah dendam budak-budak.

 

Selama dua belas tahun saya menjadi seorang guru saya tidak pernah mengajar anak kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ini barang kali disebabkan saya dihantar untuk mengajar jauh daripada kampung halaman saya. Sekalipun saya berpeluang mengajar anak cikgu saya, saya tahu saya tidak akan mengambil kesempatan untuk membalas dendam.

 

Dalam sejarah pengajaran saya, kebanyakan kelas yang diberikan kepada saya merupakan kelas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Cuma dua tahun saya tidak mengajar kelas peperiksaan. Satu daripadanya ialah apabila saya mula-mula ditempatkan di SMK Abdullah, Semporna, Sabah. Saya ditugaskan utuk mengajar Sains Paduan Tingkatan Satu.

 

Kali kedua ialah pada tahun 1991 semasa saya berada di SMK Kuhara, Tawau. Bagi sesetengah orang, saya seolah-olah diturunkan pangkat kerana sebelumnya saya mengajar Tingkatan 3. Tidak ramai orang yang tahu sebabnya tetapi saya cukup jelas dengan penyusunan jadual waktu saya.

 

Saya ditugaskan untuk mengajar Bahasa Inggeris Tingkat Satu dan Dua. Saya diberikan kedua-dua kelas khas, iaitu kelas terbaik untuk kedua-dua tingkatan. Ramai guru tidak sanggup menerima tugas untuk mengajar Kelas Khas Tingkatan Satu. Malah ada yang merayu-rayu hingga menangis dan tidak kurang juga yang ingin memohon pertukaran.

 

Kenapakah Tingkatan Satu Khas begitu menakutkan? Dalam kelas tersebut terdapat anak perempuan bongsu pengetua sekolah, anak lelaki pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), anak lelaki Ketua Polis Daerah Tawau, anak doktor, anak pengurus besar dan ramai lagi anak orang kenamaan.

 

Ramai guru yang takut kerana mereka khuatir mereka akan diadu oleh ibu bapa mereka. Maklumlah anak orang-orang berkedudukan dan berpelajaran. Saya faham perasaan mereka dan saya juga mempunyai kebimbangan yang sama.

 

Namun begitu, saya ada prinsip saya yang tersendiri. Saya adalah Ketua Guru Disiplin pada ketika itu. Saya tahu akan tanggungjawab saya dan saya sedar akan kepentingan saya mengekalkan imej saya sebagai seorang guru yang adil tanpa pilih kasih.

 

Maka saya terima cabaran itu dengan baik. Pada kali pertama saya bertemu dengan pelajar saya yang terdiri daripada anak-anak orang penting, saya memberikan nasihat, amaran dan kehendak saya. Saya perlu menanamkan asas yang kukuh sebelum saya dapat melaksanakan tugas saya selanjutnya.

 

Saya juga memberitahu mereka bahawa bagi saya selagi mereka berada dalam kelas saya, mereka adalah pelajar saya. Semua pelajar saya akan dilayan dengan adil dan tidak ada sebarang keistimewaan akan diberi berdasarkan latar belakang keluarga.

 

Saya tahu saya mungkin akan dianggap sebagai sombong kerana bercakap sedemikian. Saya menjelaskan kepada pelajar saya bahawa jika saya terpengaruh atau terganggu oleh latar belakang seseorang pelajar saya tidak akan dapat mengajar dengan baik. Akibatnya pelajar-pelajar sendiri tidak akan dapat menerima pelajaran yang sepatutnya daripada saya.

 

Saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa saya bertanggungjawab untuk menyemaikan sikap bertanggungjawab dan berdikari pada semua pelajar. Mereka tidak boleh bergantung kepada kedudukan atau kejayaan ibu atau bapa mereka untuk mendapat sebarang keistimewaan. Keistimewaan akan hanya diberi atas inisiatif mereka sendiri. Kejayaan juga harus mereka usahakan sendiri.

 

Dengan permulaan yang tegas dan dijelaskan dengan baik kepada semua pelajar, saya tidak menghadapi sebarang masalah dalam mengajar pelajar-pelajar tersebut. Saya juga tidak pernah dituduh cuba berlaku pilih kasih untuk mengambil hati pengetua atau orang-orang tertentu. Malah pengetua saya sendiri memberitahu bahawa anaknya mengatakan saya sangat tegas dan dia cukup takut dihukum oleh saya. Dia tidak mahu memalukan bapanya.

 

Setahun selepas saya menamatkan kerjaya saya sebagai guru saya ditawarkan untuk menjadi setiausaha sambilan kepada Datuk Geoffrey Yee Lung Fook, seorang Senator Dewan Negara pada ketika itu. Saya bertanggungjawab untuk menyediakan semua ucapan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris beliau. Begitu juga dengan soalan-soalan untuk ditanya di Parlimen dan siaran akhbar yang lain.

 

Demi tugas juga saya dibawa untuk mengikuti pembukaan Persidangan Parlimen pada tahun 1998. Inilah kali pertama saya melangkah masuk ke Dewan Rakyat dan menyaksikan sendiri bagaimana wakil rakyat kita bersidang, tingkah laku mereka yang sebenar dan komitmen mereka terhadap tugas mereka.


Dewan Rakyat Malaysia 1998
Semasa berada di Dewan Parlimen Kuala Lumpur pada 1998. Bergambar di tempat duduk Wakil Rakyat Tawau.

 

Pada ketika saya masih di Kuala Lumpur saya menerima telefon mengatakan anak sulung saya, Guojun, didapati sakit di sekolah. Guojun menuntut dalam Tahun Tiga ketika itu. Saya telah meminta bantuan untuk membawa dia pulang berehat di rumah. Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sakit adalah perkara biasa.

 

Pada hari berikutnya saya menerima telefon lagi mengatakan anak saya tidak dibenarkan ke tandas oleh gurunya dan terpaksa pulang ke rumah dengan pakaiannya dikotori dengan najis. Saya sangat terkejut, marah dan sedih  dengan apa yang berlaku.

 

Setelah pulang ke rumah saya mendapatkan cerita yang sebenarnya daripada anak saya. Saya diberitahu bahawa dia telah diugut oleh guru darjahnya yang juga guru seni lukisnya. Guru darjahnya memarahinya kononnya kerana saya telah membuat aduan terhadapnya dalam mesyuarat PIBG.

 

Anak saya yang memang seorang pelajar yang lurus dan taat kepada guru menjadi takut apabila diheret ke hadapan kelas, atas ‘kesalahan’ yang tidak pernah dilakukan. Dia tidak pernah dihukum oleh guru sebelum ini. Dia juga diugut akan dirotan pada hari berikutnya. Atas ugutan itu dia menjadi pucat dan merasa sakit.

 

Pada hari berikutnya, kebetulan dia merasa sakit perut ketika waktu guru kelasnya. Kerana takut dan teringatkan ugutan rotan, dia tidak berani meminta kebenaran untuk pergi ke tandas. Setelah selesai dua waktu guru kelasnya dia berlari ke tandas tetapi sudah terlambat. Maka najisnya terkena pada pakaiannya.

 

Guru lain yang memasuki kelasnya selepas itu walaupun sedar akan apa yang berlaku pada anak saya tetapi tidak berbuat apa-apa. Mereka membiarkan anak saya duduk dalam kelas sehingga tamat waktu belajar. Bayangkan betapa malu dan terhinanya seorang pelajar darjah 3 terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang anak kecil diberikan layana sedemikian.

 

Saya sungguh kasihan mendengar cerita anak saya dan memeluknya dengan erat sambil menyakinkannya bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak sepatutnya dilayan sedemikian oleh guru sekolahnya. Akan tetapi saya memberitahunya supaya tidak menaruh dendam kepada sesiapapun kerana ia akan menjejaskan pelajarannya di sekolah. Saya mengambil masa yang amat panjang untuk mengembalikan keyakinan dirinya. Dia terima nasihat saya dan bersetuju untuk kembali ke sekolah pada hari berikutnya.

 

Saya sedar apa yang berlaku dan kenapa anak saya dilayan sedemikian oleh gurunya. Saya adalah Naib Pengerusi PIBG sekolah itu. Dalam satu mesyuarat sebelumnya saya telah meminta pihak sekolah supaya dapat lebih memahami kedudukan kewangan keluarga pelajar dengan tidak meminta pelajar membeli barang-barang yang terlampau mahal atau tidak praktikal. Apatah lagi ketika itu berlaku kegawatan ekonomi dan ramai orang hilang pekerjaan. Majoriti pelajar datang daripada keluarga yang miskin.

 

Saya telah menggunakan contoh seorang guru seni lukis memaksa pelajar-pelajar darjah tiga membeli pensel berwarna 48 batang. Ini juga merupakan aduan daripada ibu bapa dan anak saya sendiri. Saya berpendapat set 12 batang adalah lebih memadai, lebih murah dan kurang membebankan. Lagipun pelajar-pelajar boleh diajar untuk mencampur-campurkan warna bagi mendapat warna lain.

 

Cadangan saya diterima dengan baik oleh semua ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ibu bapa dan guru. Guru Besar juga turut hadir. Hairannya saya tidak tahu bagaimana ketetapan mesyuarat disampaikan kepada guru yang berkenaan sehingga dia merasa begitu tersinggung dan ingin membalas dendam terhadap anak saya.

 

Biarpun saya tahu anak saya telah dianiayai, saya tetap menghormati institusi sekolah. Saya telah pergi ke sekolah untuk berjumpa dengan guru besar untuk meminta penjelasan. Guru Besar hanya minta maaf atas apa yang berlaku. Katanya dia telah membuat penyiasatan dan mendapati perkara yang diceritakan oleh anak saya memang berlaku. Saya meminta untuk berjumpa dengan guru yang berkenaan bagi mendengar penjelasan di pihaknya. Saya tidak mahu membuat tuduhan melulu.

 

Guru Kelas anak saya seorang guru lelaki yang muda dan seorang guru sandaran. Saya berikan salam. Dia hanya menjeling kepada saya. Saya memberitahu saya ingin mendengar cerita pada pihaknya. Dia mengatakan dia tidak ingat apa yang berlaku dan tidak ingat dengan apa yang telah dikatakan kepada anak saya. Dia kata dia berhadapan dengan beratus orang pelajar setiap hari dan tidak mungkin dapat ingat apa yang telah dikatakan.

 

Sebelum saya sempat berkata apa-apa dia terus menuduh saya cuba merosakkan namanya sebagai seorang guru yang baik dan cuba menggunakan jawatan saya sebagai Naib Pengerusi PIBG untuk menekannya. Dia juga menuduh saya cuba mencampuri urusan sekolah.

 

Saya kecewa dengan sikapnya dan memberitahunya bahawa saya datang atas nama bapa kepada anak saya dan tidak perlu mengaitkannya dengan PIBG. Guru Besar juga cuba memujuknya tetapi dia berkeras bahawa dia tidak akan memberitahu apa-apa.

 

Setelah gagal mendapatkan sebarang penjelasan, saya memberitahu Guru Besar bahawa saya tidak ada cara lain untuk menyelesaikan perkara ini selain daripada melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah. Biarlah pihak atasan sahaja yang meminta penjelasan daripada pihak sekolah.

 

Saya meminta izin dan meninggalkan bilik Guru Besar. Saya mendengar guru tersebut meraung-raung sambil menendang dinding bilik Guru Besar. Guru yang lain memerhatikan sahaja apa yang berlaku.

 

10 minit selepas itu saya menerima telefon daripada guru tersebut. Dia menangis dan meminta maaf. Saya memberitahunya bahawa peluang untuk dia meminta maaf sudah berlalu. Saya telah pergi ke sekolah sekadar meminta penjelasan dan tidak sampaipun ke peringkat menuntut kemaafan tetapi dia telah mengecewakan saya. Jadi saya akan teruskan keputusan saya untuk membuat laporan.

 

Sebaik sahaja saya meletakkan telefon, telefon saya mendering lagi. Saya menerima panggilan daripada beberap orang ibu bapa kelas anak saya. Mereka memberitahu saya bahawa anak mereka juga seringkali diugut oleh guru tersebut sehingga mereka begitu takut untuk pergi ke sekolah. Mereka berpendapat guru seperti itu tidak akan dapat memberikan galakan dan bimbingan yang betul kepada pelajar-pelajarnya.

 

10 minit seterusnya Guru Besar menelefon saya dan memberitahu saya bahawa guru tersebut ingin bercakap dengan saya. Saya memberitahunya bahawa tidak ada apa-apa lagi yang ingin saya cakapkan kepadanya. Saya telah cukup sabar biarpun melihat keadaan anak saya yang dihina sedemikian. Saya masih sanggup datang ke sekolah untuk meminta penjelasan secara sopan dan mengikut tertib sekolah.

 

Guru Besar terus merayu kepada saya supaya tidak membawa perkara ini kepada pengetahuan atasan. Dia sanggup menerima apa saja syarat daripada saya asalkan saya tidak meneruskan niat saya untuk membuat laporan. Setelah berkali-kali dirayu saya akhirnya setuju untuk tidak memanjangkan perkara tersebut. Saya juga sedar akan kesannya terhadap masa depan guru muda tersebut.

 

Maka saya menetapkan satu syarat, iaitu guru tersebut haruslah digantikan dengan guru yang lain. Guru Besar terus menerima syarat saya dan berjanji membuat perubahan jadual waktu dalam masa seminggu.

 

Janji ditunaikan dan semuanya kembali kepada normal. Anak saya juga dapat belajar dengan selesa. Rakan sekelasnya tidak pernah mengungkitkan peristiwa sedih itu malah cukup matang dan terus memberikan galakan dan rangsangan kepada anak saya. Saya amat kagum dengan rakan-rakan sekelasnya yang begitu pandai mengambil berat akan sensitiviti kawan mereka. Malah kelas tersebut akhirnya muncul sebagai kelas contoh untuk beberap tahun dari segi keputusan peperiksaan, kebersihan dan kegiatan ko-kurikulum.

 

Saya kekal dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah anak saya selama enam tahun. Satu tahun sebagai Setiausaha, dua tahun sebagai Naib Pengerusi dan Tiga tahun sebagai Pengerusi. Saya melepaskan jawatan itu walapun dipujuk dan rayu selepas anak sulung saya meninggalkan sekolah itu.

 

Apa yang berlaku kepada anak saya adalah di antara sebab kenapa ramai ibu bapa tidak mahu melibatkan diri dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Mereka takut apabila mereka menyuarakan sesuatu anak mereka akan menjadi mangsa.

 

Penglibatan saya dalam PIBG mungkin telah mencatatkan satu peristiwa hitam dalam hidup anak saya, tetapi saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang bapa. Saya telah dapat membetulkan apa yang pincang. Jika bukan kerana keberanian saya, mungkin ramai lagi yang akan menjadi mangsa.

 

Saya juga telah dapat memberikan pandangan dan pendekatan yang betul kepada anak saya untuk menghadapi keadaan sedemikian. Saya pasti anak saya telah menjadi lebih matang dengan peristiwa itu. Saya tahu jika tidak dikendalikan dengan baik ia akan memberikan kesan psikologi yang cukup negatif dalam kehidupan dia seterusnya.

 

Guru muda tadi juga telah berubah sikap selepas peristiwa itu. Walaupun setiap kali bertemu dia merasa agak tidak selesa tetapi saya rasa gembira dengan perubahannya. Biarpun pahit baginya untuk menerima kenyataan dan terpaksa berhadapan dengan kesan kepada perbuatannya sendiri, saya yakin dia telah menjadi sensitif terhadap  orang lain.

 

Anak saya kini, kedua-duanya, sedang menuntut di sekolah menengah. Ramai di antara gurunya adalah bekas pelajar saya sama ada di Tawau atau di Semporna. Tidak seorangpun daripada mereka memberikan layanan istimewa kepada anak saya atau cuba mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Saya cukup gembira dengan sikap mereka dan berharap pelajar-pelajar didikan mereka nanti juga akan bersikap sedemikian.


Guojun
Anak saya, Guojun 


Bukan senang untuk menjadi seorang guru. Tidak mudah juga untuk menjadi seorang anak cikgu.


Dicatat pada 01:19 am oleh cikgulee
Apa pendapat anda?  

Next Page