Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)




Tusyen Secara Online Terkini dan Terbaik Masakini
Custom Search



Untuk Dijual


Free counter and web stats

Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Thursday, April 22, 2004
Memorandum Persatuan Hakka Tawau Kepada Pihak Polis

Saya telah diminta oleh Persatuan Hakka Tawau untuk menyediakan memorandum kepada Ketua Polis Daerah Tawau yang baru ACP Sulaiman Junaidi. Memorandum tersebut diserahkan semasa kunjungan hormat Persatuan Hakka Tawau ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 20-4-2004. Laporan kunjungan hormat tersebut adalah seperti berikut:

Penjelasan Memorandum.
Dari Kiri: Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Tuan Mohamad, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Sulaiman Junaidi, Pengerusi Persatuan Hakka Tawau Datuk Lim Yen Ngiap, Cikgu Lee, Naib Pengerusi Encik Yee Fung Lin, Encik Michael Ng dan Setiausaha Encik Kong Hau Yen.


Tawau, 20hb. April 2004 (Selasa)

 

Keamanan dan keselamatan penduduk Tawau memerlukan kerjasama erat di antara orang ramai dengan pihak polis. Demikian menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Sulaiman Bin Junaidi apabila menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Hakka Tawau.

 

Rombongan Persatuan Hakka Tawau diketuai oleh Pengerusinya Datuk Lim Yen Ngiap. Turut hadir ialah Naib Pengerusi Encik Yee Fung Lin, Encik Michael Ng, Setiausaha Encik Kong Hau Yen, Pegawai Perhubungan Awam Encik Henry Lo dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Pemuda Hakka Tawau dan Wanita Hakka Tawau juga turut bersama dalam kunjungan hormat tersebut. Selain daripada Ketua Polis Daerah Tawau, pihak Polis Daerah Tawau turut dihadiri oleh semua pegawai polis kanan.

 

ACP Sulaiman berpendapat pembangunan daerah Tawau turut membawa kepada pertambahan pelbagai masalah sosial. Kesan negatif ini merupakan harga yang terpaksa dibayar lantaran daripada pembangunan yang pesat. Kestabilan politik dan ekonomi di negara ini juga menyebabkan kemasukan pendatang daripada negara jiran sehingga bertambahnya masalah sosial. Akan tetapi pihak polis akan berusaha sedaya upaya dalam usaha membanteras jenayah dan memastikan keamanan dan keselamatan penduduk daerah ini terus terjamin.

 

Beliau menyatakan demikian selepas menerima memorandum 6 perkara daripada Pengerusi Persatuan Hakka Tawau, Datuk Lim Yen Ngiap. Antara lain Persatuan Hakka Tawau mengucapkan tahniah dan syabas atas perlantikan ACP Sulaiman sebagai Ketua Polis Daerah Tawau. Persatuan Hakka Tawau juga gembira dengan tindakan tegas yang diambil oleh Ketua Polis Daerah Tawau yang dalam membanteras jenayah.

 

Memorandum 6 perkara Persatuan Hakka Tawau adalah seperti berikut:

 

1.     Keselamatan Kawasan Perumahan

a.      Kecurian dan rompakan sering kali berlaku di taman-taman perumahan. Lebih menakutkan ialah banyak kes kecurian berlaku pada waktu siang hari apabila penghuninya keluar bekerja.

b.      Oleh itu, kami berharap agar pihak polis dapat menambah rondaan pada waktu siang dan malam ke kawasan-kawasan perumahan. Jika mempunyai waktu dan anggota yang mencukupi diharap pihak peronda polis dapat memasuki semua taman perumahan.

c.      Kami percaya dengan pertambahan rondaan polis di kawasan perumahan akan dapat mengurangkan kes-kes kecurian dan jenayah terutama sekali di kawasan perumahan.

 

2.     Kegiatan Judi Haram

a.      Kegiatan haram dalam pelbagai bentuk semakin menjadi-jadi di Tawau. Ini termasuklah perjudian haram secara berkumpulan dan ‘slot machine? Kegiatan ini bukan sahaja merosakkan masa depan si pejudi malahan juga menghancurkan keluarga mereka.

b.      Kegiatan judi haram ini bukan sahaja melibatkan orang dewasa dan suri rumah malah telah menular kepada kalangan pelajar-pelajar sekolah.

c.      Oleh itu kami berharap pihak polis akan terus memberikan perhatian serius bagi membersihkan Tawau daripada gejala yang tidak sihat ini.

 

3.     Penglibatan Remaja Dalam Penagihan Dadah

a.      Persisiran pantai yang luas di Sabah telah memudahkan penyeludupan masuk pelbagai barang daripada negara jiran. Di antara barang yang diseludup masuk adalah pelbagai jenis dadah.

b.      Kemudahan mendapatkan bekalan dadah telah menyebabkan bertambahnya bilangan kes penyalahgunaan dadah. Lebih menyedihkan ialah pelajar sekolah juga turut terlibat.

c.      Adalah menjadi harapan Persatuan ini agar pihak polis akan dapat mengetatkan lagi kawalan dan rondaan bagi mecegah penyeludupan dadah serta penyalahgunaan dadah daripada terus merebak.

 

4.     Pemeriksaan Pendatang Tanpa Izin

a.      Kami mengalu-alukan tindakan polis mengetatkan kawalan terhadap kemasukan pendatang tanpa izin. Walaupun kehadiran mereka telah berkurangan sejak Ops Nyiah II tetapi mereka mulai menapak semula.

b.      Akan tetapi kami berharap pekerja yang mempunyai dokumen yang sah tidak dipersulitkan agar mereka dapat kembali ke tempat kerja dengan cepat yang selamat. Mereka yang memasuki negara ini secara sah perlu mendapat layanan yang berbeza berbanding dengan mereka yang memasuki negara ini secara haram.

c.      Langkah ini tentu sekali akan diterima baik oleh tenaga kerja asing rasmi dan dengan sendirinya akan memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam mengesan pendatang tanpa izin.

d.      Di samping itu ia juga tidak menyusahkan pihak majikan yang menggaji pekerja yang mempunyai dokumen pekerjaan yang sah.

 

5.     Masalah Disiplin Di Sekolah

a.      Masalah disiplin pelajar sekolah telah mendapat perhatian seluruh negara dengan kes pembunuh seorang pelajar di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan.

b.      Walaupun masalah disiplin pelajar di Tawau belum sampai ke peringkat sedemikian, kami berharap pihak polis akan memberikan perhatian khusus terdapat masalah pelajar sekolah. Sebelum masalah menjadi lebih teruk adalah penting pihak sekolah mendapat bantuan dan nasihat daripada pihak polis dalam menangani masalah disiplin pelajar yang serius.

c.      Di samping itu, masalah lepak pelajar-pelajar sekolah di bandar dan pusat-pusat hiburan juga semakin serius. Kami berharap perhatian juga diberikan kepada masalah ini.

 

6.     Masalah Lalu Lintas

a.      Pertambahan kenderaan awam yang tidak selaras dengan perancangan Bandar menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin hari semakin serius.

b.      Hampir semua jalan utama di kawasan Bandar seperti Sabindo, Fajar dan Tanjung mengalami kesesakan pada setiap hari kecuali hari Ahad.

c.      Kesesakan juga berlaku di Jalan Apas dan Jalan Sin Onn waktu pagi dan petang. Lampu isyarat seolah-olah tidak dapat mengawal pengaliran kenderaan yang terlampau banyak.

d.      Selain daripada itu terdapat banyak lori, trailer dan kenderaan berat lain yang berhenti di tepi jalan di taman-taman perumahan sehingga menghalang pemandangan pengguna jalan raya. Ini akan mengakibatkan kemalangan jalan raya.

e.      Adalah menjadi harapan Persatuan ini agar masalah lalu lintas seperti yang disebutkan ini dapat diatasi dengan cara yang terbaik.

 

Pihak Persatuan Hakka Tawau juga berjanji akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu membenteras jenayah di daerah Tawau.

 

ACP Sulaiman serta pegawai-pegawai beliau mendengar penjelasan kandungan memorandum tersebut yang disampaikan oleh jurucakap Persatuan Hakka Tawau, Encik Lee Chye Ewe (Cikgu Lee).

 

Dalam jawapannya, ACP Sulaiman mengalu-alukan kedatangan kunjungan Persatuan Hakka Tawau di bawah pimpinan Datuk Lim Yen Ngiap. Menurut beliau inilah rombongan yang paling besar yang pernah diterima setelah mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah Tawau pada 1-4-2004.

 

ACP Sulaiman menyatakan bahawa beliau dilahir dan dibesarkan di Tawau sendiri dan dapat melihat perkembangan dan kemajuan yang berlaku di Tawau. Dengan itu beliau juga agak masak dengan masalah Tawau dan memang menjadi keutamaan beliau untuk memastikan keamanan dan keselamatan Tawau terus terjamin. Beliau juga berazam untuk meningkatkan perkhidmatan polis.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, usaha membanteras jenayah memerlukan kerjasama yang erat di antara orang ramai dengan pihak polis. Justeru itu beliau menjelaskan bentuk kerjasama daripada orang ramai yang diharapkan.

 

Memberi Maklumat

Salah satu peranan yang terbaik yang dapat dimainkan oleh orang ramai ialah menampil ke hadapan untuk memberikan maklumat kepada pihak polis. ACP Sulaiman menerangkan umpamanya apabila kita melihat kehadiran orang-orang yang dicurigai di kawasan perumahan kita harus segera menelefon polis. Pihak polis akan segera menghantar anggota peronda yang berada di kawasan berdekatan. Dengan berbuat demikian kita mungkin berjaya menghalang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

 

Mengenali Jiran Tetangga

Selain daripada itu, ACP Sulaiman juga meminta penduduk Tawau supaya berusaha mengenali jiran tetangga dan menjalinkan persahabatan yang lebih erat. Dengan mengenali jiran tetangga, kita akan merasa curiga terhadap sebarang orang asing yang berada di kawasan perumahan rumah kita. Kesedaran ini juga akan membolehkan kita memberikan maklumat kepada pihak polis. Orang ramai perlu lebih berwaspada kepada kemungkinan berlakunya perkara yang tidak diingini dan membiasakan diri untuk memberikan maklumat.

 

Tanggungjawab Menjaga Harta Benda Sendiri

ACP Sulaiman juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menjaga harta benda sendiri, Menurut beliau kadang-kadang jenayah berlaku kerana kecuaian kita sendiri dengan membiarkan barang berhaga tidak terkunci atau diawasi. Beliau memberi contoh ada penghuni yang membiarkan alat ganti kereta dan tayar di luar pagar tanpa diawasi. Ada juga yang meninggalkan beg tangan dalam kereta yang tidak berkunci. Ini adalah di antara kecuaian dan sikap yang seolah-olah menjemput berlaku jenayah.

 

Semasa berada di tempat awam yang sesak dengan orang adalah dinasihatkan supaya tidak memakai barang kemas yang banyak untuk mengelakkan berlakunya kes rompakan dan ragut.

 

Mengelakkan Diri Daripada Tempat-tempat Merbahaya

Sementara itu pemuda-pemudi yang sedang bercinta juga dinasihatkan supaya jangan berkunjung ke tempat-tempat sunyi sehingga larut malam. Tempat-tempat ini sering berlaku kes rompakan dan rogol kerana jauh daripada orang ramai.

 

Masalah Keselamatan Kawasan Perumahan

Mengenai memorandum yang dikemukakan oleh pihak Persatuan Hakka Tawau, ACP Sulaiman menyatakan pihak polis memang sedang meningkatkan rondaan di kawasan perumahan. Anggota beliau juga akan diminta untuk menasihati penghuni yang meninggalkan barang berharga tanpa diawasi.

 

Masalah Kegiatan Judi Haram

Kes perjudian haram dan ‘slot machine?memang sentiasa dalam perhatian polis. Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis.

 

Masalah Penglibatan Remaja Dalam Penagihan Dadah

Berkenaan dengan penglibatan remaja dalam penagihan dadah, ACP Sulaiman menjelaskan perkara ini juga menjadi agenda utama Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah. Arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah supaya memastikan negeri Sabah mencapai sifar kes dadah. Oleh itu pihak Polis Daerah Tawau akan berusaha untuk mencapai sasaran sifar kes dadah.

 

Masalah Pemeriksaan Pendatang Tanpa Izin

Untuk mengelakkan masa terbuang dalam pemeriksaan dokuman perjalanan pendatang asing, ACP Sulaiman menasihat pihak majikan supaya mendapatkan salinan passport dan permit kerja pekerja asing mereka untuk disahkan oleh pihak polis. Pekerja mereka dengan ini dibenarkan menunjukkan dokumen ini sebagai bukti apabila diperiksa oleh pihak polis. Ini juga dapat menyelesaikan masalah kebimbangan pihak majikan untuk menyerahkan dokumen perjalanan asal kepada pekerja mereka.

 

Pada masa yang sama, ACP Sulaiman juga menasihatkan pihak majikan supaya jangan sekali-kali mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja. Ini adalah disebabkan hukuman terhadap kesalahan itu amatlah berat iaitu hukuman sebat mandatori.

 

Masalah Disiplin Sekolah

Ketua Polis Daerah Tawau juga merancag untuk memberikan taklimat dan ceramah di sekolah-sekolah menengah di daerah Tawau sebagai usaha untuk membantu pihak sekolah mengatasi masalah disiplin pelajar. Pegawai beliau juga sedang berhubung dengan pihak sekolah untuk mendapatkan masa yang sesuai untuk beliau membuat lawatan ke sekolah.

 

Dalam masa yang sama setiap sekolah juga diperuntukkan dengan seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah yang akan membantu pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin sekolah.

 

 

Masalah Lalulintas

Sementara itu ACP Sulaiman menyatakan masalah kesesakan lalulintas memerlukan kerjasama daripada pihak berwajib yang lain. Jika masalah pengaliran lalu lintas serta tempat letak kereta di daerah Tawau dapat diatasi beliau percaya pengaliran lalulintas akan menjadi lebih licin dan lancar. Beliau berpendapat perancangan yang rapi diperlukan untuk mengatasi masalah ini. Bagaimanapun beliau akan membangkitkan perkara ini dengan pihak-pihak yang berwajib apabila bermesyuarat dengan mereka.

 

Mengenai rungutan lori, trailer dan kenderaan berat yang diletakkan di kawasan perumahan, ACP Sulaiman menyatakan bahawa ia merupakan satu kesalahan. Ini disebabkan dalam permit kenderaan telah dinyatakan tempat letak kenderaan tersebut dari waktu matahari benam hingga matahari terbit. Adalah merupaka satu kesalahan jika kenderaan ini diletakkan sebarangan tidak mengikuti syarat permit. Beliau telahpun mengarahkan anggota beliau untuk membuat rondaan dan menyaman tuan punya kenderaan meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati.

 

Untuk meningkatkan kerjasama pihak polis dengan orang ramai, ACP Sulaiman juga memaklumkan nombor telefon yang boleh dihubungi bagi memberikan maklumat. Orang ramai diminta menghubungi talian berikut:

 

089-752222, 089-772121 atau 999

 

Pengerusi Persatuan Hakka Tawau Datuk Lim Yen Ngiap kemudian mengucapkan terima kasih kepada ACP Sulaiman Junaidi dan pegawai-pegawai polis yang lain kerana sudi menerima kedatangan mereka. Kunjungan yang berlangsung di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis itu mengambil masa selama hampir dua jam dan diakhiri dengan jamuan makan tengahari. Datuk Lim berpendapat kunjungan ini telah berjaya merapatkan hubungan Persatuan Hakka Tawau dengan Polis Daerah Tawau. Persatuan ini juga lebih memahami tugas pihak polis dan akan sentiasa memberikan kerjasama sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam usaha menjaga keamaan daerah ini. 


Dicatat pada 10:51 am oleh cikgulee

Apa pendapat anda?  

Next Page

Tusyen RM33/sebulan Untuk Semua Matapelajaran