Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< January 2005 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30 31

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Sunday, January 02, 2005
Tsunami

Saya mengambil cuti hujung tahun untuk bertemu dengan ibu dan adik-beradik saya di Semenanjung Malaysia. Beberapa hari sebelum bertolak pada 18 Disember, saya menerima email daripada bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra (SMSYP), Kuala Krai. Rupa-rupanya sekumpulan bekas pelajar SMSYP telah membina laman web Kualakrai.com bagi mengumpulkan semua bekas pelajar SMSYP dan mereka yang berasal dari Kuala Krai Kelantan.

 

Mereka menemui saya melalui laman web blog saya di cikgulee.blogdrive.com dan melalui mesin carian Google atau Yahoo. Mereka juga telah menganjurkan satu perjumpaan anak-anak Kuala Krai di Subang Jaya pada 18 Disember 2004. Sayang sekali saya tidak dapat menghadiri perjumpaan itu kerana saya hanya dapat bertolak pada malam hari. Tiket kapal terbang telah ditempah dua bulan lebih awal.

 

Akan tetapi dengan adanya www.kualakrai.com, banyak maklumat yang dapat saya perolehi tentang kampung halaman saya. Laman tersebut juga memuatkan gambar dan berita tentang banjir yang berlaku di Kuala Krai. Saya ingin sekali pergi ke Kuala Krai untuk melihat kampung halaman saya tetapi terpaksa membatalkannya setelah melihat sendiri keadaannya melalui laman web Kuala Krai.

 

Disebabkan ibu saya tinggal bersama dengan adik perempuan saya di Kota Bharu, saya mengambil keputusan untuk terbang ke sana pada 21 Disember. Kali terakhir saya berada di Kota Bharu ialah pada tahun 1999 bersama anak-anak saya. Lapangan Terbang Sultan Ismail di Pengkalan Chepa sudah banyak berubah. Ia adalah lapangan baru yang lebih luas dan moden.

 

Apabila menjejakkan kaki di tanah Kelantan, apa yang menyambut mata saya ialah sampah sarap dan lumpur tebal di merata-rata tempat. Bandar Kota Bharu telah dinaiki air banjir lebih daripada semeter dalamnya kira-kira seminggu sebelum kedatangan saya. Banyak lumpur yang dibawa dari ulu Sungai Kelantan termendap di ibu negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Bau busuk dari lumpur dan sampah sarap tercium di mana-mana sahaja.

 

Ia mengingatkan saya kepada banjir yang sering saya alami semasa masih tinggal di Kuala Krai. Namun apa yang dilihat di Kota Bharu bukanlah seperti yang pernah saya lihat dahulu. Sampah dan lumpur jauh lebih banyak berbanding dengan apa yang pernah saya alami dahulu. Mungkin Kota Bharu terletak di hilir Sungai Kelantan berbanding dengan Kuala Krai yang terletak di tengah-tengah.

 

Saya dimaklumkan oleh adik saya bahawa banyak bank terpaksa tutup kerana mesin ATM (Automatic Teller Machine) ditenggelami air. Banyak juga kedai yang terpaksa melelong barangan mereka kerana rosak direndam air banjir. Majlis Perbandaran Kota Bharu hanya sempat membersihkan Masjid Kota Bharu dengan bantuan pihak bomba. Tempat-tempat awam yang lain masih tebal diliputi lumpur. Pelancong yang dating mungkin kecewa dengan pemandangan sedemikian.

 

Saya sempat juga menziarahi pakcik dan makcik saya di Temangan bersama-sama dengan ibu dan adik saya. Jeti yang pernah menjadi persinggahan perahu dan sampan pakcik saya di Temangan telah menjadi begitu usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan. Hakisan tanah yang berlaku pada saban tahun nampaknya tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Banyak kawasan tebing sungai yang telah runtuh dan banyak juga keluarga yang tinggal di tepi sungai telah berpindah. Kedai-kedai telah berkurangan dan gerai-gerai di pasar juga semakin sunyi. Temangan seolah-olah lebih mundur daripada apa yang pernah saya lihat lebih 10 tahun dahulu.


Jeti Temangan 

Dalam masa satu hari saya telah menjelajahi Kota Bharu, Ketereh, Machang, Temangan, Pasir Besar, Tanah Merah, Pasir Emas, Wakaf Bharu, Cabang Empat Tok Mek Ngah dan kembali ke Kota Bharu. Yang paling menonjol di merata tempat adalah sampah sarap dan lumpur peninggalan banjir besar.

 

Saya juga difahamkan bahawa jambatan Sultan Yahya Petra yang menyeberangi Sungai Kelantan dan menghubungkan Kota Bharu dengan Pasir Mas telah ditutup kerana dilanggar kapal penggorek pasir semasa banjir. Akan tetapi ia telah dibuka semasa saya melintasinya.

 

Semasa berada di Kelantan juga saya sempat memakan makanan kegemaran saya iaitu nasi kerabu dan nasi dagang. Saya ingin sekali merasa laksa dan lakse tetapi terpaksa dibatalkan sahaja kerana kesuntukan masa. Tidak sempat juga saya melawat pasar besar di Kota Bharu untuk melihat sama ada wanita yang menjual sayur, kuih muih dan pakaian masih memakai rantai emas yang besar-besar dan panjang-panjang.

 

Saya bergegas ke kampung isteri saya di Pulau Pinang pada 23 Disember. Dalam perjalanan ke sana sempat saya membaca berita tentang Kempen Menyelematkan Pulau Pinang. Laporan menyebut bahawa pelancong-pelancong mulai mengelakkan pulau ini yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai Pulau Mutiara. Banyak pihak yang memberi pendapat, kritikan dan tuduhan. Tidak ramai yang menunjukkan sikap yang bersungguh-sungguh untuk menzahirkan keperihatinan mereka dalam bentuk tindakan. Kalau sekadar cakap memang ramai yang hebat.

 

Sebenarnya ada benarnya kebimbingan yang disuarakan tentang perlunya negeri Pulau Pinang diselamatkan. Selain daripada kekotoran yang tidak banyak berubah sejak dahulu, sikap sebilangan penjaja makanan nampaknya sudah menjadi agak bongkak dan sombong. Gerai-gerai makanan di Pulau Pinang sebenarnya merupakan salah satu tarikan utama kepada pelancong tempatan dan asing, selain daripada tempat-tempat pelancongan yang lain.

 

Tidak dapat dinafikan Pulau Pinang amat terkenal dengan makanannya. Mungkin kerana terlalu laris dengan kunjungan pelancong selama ini ada kalangan penjaja telah menjadi sombong dan tidak lagi mengendahkan perasaan pelanggan mereka. Makanan yang disediakan juga lebih kecil dan lebih mahal. Saya sendiri menerima layanan buruk kerana cuba menambah tempahan kami. Saya ditengking oleh penjual koay teow kerana tidak membuat tempahan sekaligus sehingga mengganggu ingatannya!

 

Pada pendapat saya, selain daripada pembersihan Bandar Pulau Pinang daripada sampah sarap, sikap yang tidak mesra pelanggan juga harus dikikis dan diubah. Kalau sekadar meminta tempahan makanan tambahan, yang sebenarnya menambahkan pendapatan penjual, boleh ditengking apa lagi kalau pelanggan tidak puas hati dengan kualiti makanan yang dihidangkan? Keikhlasan, kejujuran dan kemesraan harus ada pada setiap penjual dan penjaja. Kunjungan pelanggan bukan didorong oleh masakan yang lazat semata-mata.

 

Semasa mengunjugi gerai cendol terkenal di Jalan Penang, saya sempat memerhatikan dua buah gerai yang menjual minuman yang sama, iaitu cendol. Hampir 90% pelanggan sanggup berdiri sambil makan cendol kegemeran mereka di satu gerai berbanding dengan beberapa orang sahaja yang mengunjungi gerai yang lain, biarpun bangku disediakan.

 

Perbezaan yang paling nyata ialah tuan punya gerai yang lebih laris jualannya jauh lebih mesra dan sentiasa senyum kepada setiap pelanggan yang datang. Tuan punya gerai yang satu lagi agak muram muka mereka, (mungkin disebabkan kurang perniagaan yang diperolehi) terpaksa menunggu pelanggan yang datang bukannya pelanggan yang menunggu mereka seperti gerai di sebelahnya.

 

Layanan mesra yang diberikan kepada pelanggan adalah faktor yang amat penting dalam apa juga jenis perniagaan. Begitu juga dengan layanan perkhidmatan kaunter. Senyuman yang ikhlas dan pertuturan yang bersopan dengan sendirinya mengurangkan rungutan dan kemarahan pelanggan. Ia juga membantu menyelesaikan masalah dengan cepat dan berkesan. Pertelingkahan yang berlaku di kaunter biasanya berpunca daripada pegawainya yang tidak pandai menangani pelanggan yang kurang sabar dan panas baran. Ada baiknya mereka yang menghadapi masalah berdepan dengan orang ramai dalam pelbagai aduan cuba meniru cara penjaja cendol yang mesra pelanggan.

 

Percutian saya di Pulau Pinang berjalan dengan baik sehingga pada hari 26 Disember 2004, satu hari yang kini menjadi tarikh hitam seluruh Asia. Saya bangun agak awal pada pagi itu dan mendapati surat khabar tidak disediakan oleh pihak hotel. Lalu saya meminta surat khabar dihantar ke bilik saya. Penyambut tetamu memberitahu saya bahawa akhbar Bahasa Inggeris tidak ada dan bertanya sama ada saya mahu surat khabar bahasa Cina. Saya menerima sahaja.

 

Saya tinggal di salah sebuah hotel di Gurney Drive. Cuma sayangnya tinkap bilik saya tidak berhadapan dengan laut. Semasa membaca akhbar, tiba-tiba saya mendapati kepala saya seperti bergoyang kemudian diikuti dengan badan saya. Saya fikir saya pening kepala dan cuba merapatkan diri saya ke tingkap. Tidak ada apa-apa di luar tingkap kerana masih awal. Jam menunjukkan kira-kira 9.00 pagi. Lagipun hari itu hari Ahad.

 

Yang anehnya tingkap yang saya pegang turut bergoyang. Saya terus mengejutkan anak saya dan meminta kepastian daripadanya. Dia turut memberitahu saya bahawa ada getaran berlaku seolah-olah gempa bumi. Dengan perasaan ragu-ragu, saya menuang air ke dalam gelas. Air dalam gelas berkocak tanpa disentuh. Sahlah gempa bumi sedang berlaku.

 

Saya terfikir untuk melarikan diri tetapi gegaran tidaklah sekuat mana. Saya menunggu reaksi penghuni bilik yang lain tetapi semuanya masih tidur. Saya melihat ke luar dan keadaan macam biasa. Oleh kerana getaran tidaklah begitu kuat, berbanding dengan yang pernah saya alami semasa berada di Sabah, saya tunggu dan lihat. Kira-kira 10 minit kemudian getaran berhenti.

 

Gurney Drive pada 24 Disember 2004

Kami keluar untuk sarapan pagi dan membeli belah seperti biasa selepas itu tanpa melalui jalan tepi pantai. Tidak ada apa-apa yang kami dengar selepas itu. Pada petang tersebut semasa melalui Gurney Drive (Persiaran Gurney) baharulah kami nampak lumpur tebal yang menutupi jalan. Lumpur kali ini masih basah berbanding dengan apa yang saya lihat di Kelantan beberapa hari sebelum ini. Banyak kereta yang kotor disimbah dengan lumpur. Ada juga motorsikal yang terpaksa diangkut lori kerana rosak. Orang ramai berdiri di tepi jalan untuk melihat apa yang telah berlaku.


Gurney Drive ditenggelami lumpur


Lumpur di Gurney Drive 

Tanpa menyedari keseriusan keadaan saya memberitahu keluarga saya bahawa lumpur tersebut dibawa oleh ombak yang kuat kerana kebetulan pada hari tersebut hari air pasang disebabkan bulan penuh. Akan tetapi semakin berjalan semakin lain perasaan kami. Banyak betul bunyi ambulans yang kami dengar. Semuanya datang daripada arah Tanjung Bungah menuju ke hospital.


Limpahan lumpur di Gurney Drive - Gambar NST 

Apabila melihat televisyen kemudiannya barulah kami sedar bahawa Pulau Pinang telah dilanda Tsunami, atau ombak besar yang berpunca daripada gempa bumi dari laut. Gempa bumi telah berlaku berdekatan dengan kawasan Utara Sumatra. Mengikut apa yang saya baca, ombak Tsunami berupaya bergerak sehingga 1,000KM jauhnya. Ia bukan sahaja meranapkan Banda Aceh di Sumatra tetapi turut menyebabkan ratusan ribu nyawa terkorban, cedera, kehilangan tempat tinggal di Negara-negara lain seperti Sri Lanka, Thailand, India, Malaysia, Maldives, Myanmar dan sebagainya.


Perbezaan ombak biasa dengan Tsunami 

Sumber: http://www.geophys.washington.edu/tsunami/welcome.html 


Mengikut jadual, kami akan bertolak ke Kuala Lumpur pada tengah malam 26 Disember dengan menaiki bas. Ada khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa Jambatan Pulau Pinang tidak dapat digunakan kerana dikhuartiri retak akibat gempa bumi. Akan tetapi kenyataan Menteri Kerja Raya kemudiannya mengesahkan jambatan tersebut selamat digunakan. Maka kami tiba dengan selamat di Kuala Lumpur pada keesokan harinya dan terbang semula ke Tawau pada petang yang.

 

Kami sekeluarga bersyukur kerana selamat dalam percutian kami yang sungguh mendebarkan dan mencemaskan. Ia juga mengingatkan kami bahawa kita yang lebih bernasib baik harus lebih menghargai apa yang apa pada kita dan menghulurkan tangan pertolongan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

 

Hari-hari selepas kembali dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan kami habiskan untuk kumpulkan maklumat tentang kejadian Tsunami. Sungguh sedih membaca tentang pelbagai kisah mangsa dan angka kematian yang semakin meningkat.

 

Laporan CNN mengesahkan gempa bumi di dasar laut berdekatan Sumatra yang turut mengakibatkan ombak Tsunami telah membunuh lebih daripada 140,000 orang. Bilangan ini dijangka terus meningkat.

 

Bilangan mangsa terkorban Tsunami mengikut Negara adalah seperti berikut:

 

Indonesia:    79,906, 3,598 hilang.

Sri Lanka:     Lebih daripada 47,000, 5,240 hilang, 12,482 cedera, 899,408 kehilangan tempat tinggal.

India:           Sekurang-kurangnya 10,000 orang mati.

Thailand:        4,812.Angka ini dijangka meningkat melepasi 8,000 kerana 6,541 orang masih dilaporkan hilang. 3,000 daripadanya adalah pelancong Sweden.

Malaysia:     66

Maldives:     74

Myanmar:      90

Tanzania:       10

Bangladesh: 2

Somalia:        Beratus-ratus telah mati.

Kenya:         1

 

Amat terharu juga apabila membaca tentang keikhlasan rakyat seluruh dunia turut menghulurkan derma dalam pelbagai bentuk tanpa sebarang batasan bangsa, agama, fahaman politik dan sempadan geografi. Nyata sekali manusia telah menzahirkan sifat yang mulia yang dilahirkan secara semulajadi untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Derma kepada mangsa Tsunami 2004 dianggarkan melebihi 2 Billion Dollar Amerika. Ini menunjukkan manusia daripada pelbagai Negara sebenarnya boleh membelakangkan perbezaan fahaman politik dan agama untuk bersatu membantu mereka yang ditimpa malapetaka.

 

Dalam pada itu, dunia juga telah mengiktiraf peranan dan kepentingan blog dalam membantu menyebarkan maklumat tentang bencana alam ini. Blog (asal daripada Web Log, atau catatan, rentetan laman web) telah menjadi pembekal pelbagai maklumat alternatif kepada media rasmi yang sedia ada. Blog juga lebih murah hati berbanding dengan media elektronik yang lain kerana ia menjalin satu laman web dengan laman web yang lain yang berkaitan tanpa sebarang percanggahan kepentingan peribadi. Dengan ini pembaca blog dapat memperolehi banyak maklumat melalui tulisan dan jalinan yang dipaparkan dalam blog.

 

Di antara blog dan laman web yang memberikan maklumat Tsunami yang sempat saya lawati ialah:

 

  1. PMEL Tsunami Research Program (http://www.pmel.noaa.gov/tsunami/) dan http://www.noaanews.noaa.gov/stories2004/s2357.htm
  2. Bantuan kepada mangsa Tsunami (http://www.google.com/tsunami_relief.html)
  3. The South-East Asia Earthquake and Tsunami Blog  http://tsunamihelp.blogspot.com/
  4. Screenshots (http://www.jeffooi.com/)
  5. Pusat Data Aceh (http://aceh.abangadek.com/)
  6. Gambar Aceh Sebelum dan Selepas Tsunami, Digital Globe (http://www.digitalglobe.com/press/images_media.shtml)
  7. Maklumat Serantau, Malaysia Central (http://www.mycen.com.my/tsunami.html)

  

Sama secara kebetulan atau tidak, selain daripada tarikh 9 September (911), kini 26 Disember menjadi tarikh hitam yang lebih menakutkan.

 

  • 26 Disember 1932 – gempa bumi di China membunuh 70,000 orang.
  • 26 Disember 1939 – gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter di Wilyah Erzincan, Turki membunuh 41,000 orang.
  • 26 Disember 2003 gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter di Wilayah Bam, Iran membunuh 45,000 orang.
  • 26 Disember 2004 gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter di Sumatera menyebabkan lebih daripada 140,000 terbunuh. Bilangan ini masih meningkat

 

Peristiwa 26 Disember 2004 telah menyebabkan ketibaan tahun 2005 disambut dengan sembahyang dan doa. Nampaknya ucapan “Selamat Menyambut Tahun Baru 2005” lebih sesuai jika dibandingkan dengan “Happy New Year”.

 

Semoga tahun 2005 lebih selamat, bahagia dan sejahtera. Keselamatan, kebahagian dan kesejahteraan tidak dapat dicapai bersendirian. Oleh itu kita harus menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik, dalam apa jua bentuk mengikut kemapuan kita.


Dicatat pada 06:21 pm oleh cikgulee

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry