Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)




Tusyen Secara Online Terkini dan Terbaik Masakini
Custom Search



Untuk Dijual


Free counter and web stats

Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Thursday, November 18, 2004
Keselamatan Diri

Seorang anak muda berjalan-jalan di pantai. Ombak bergelora dan perahu-perahu nelayan kelihatan terdampar di pantai. Dia singgah di sebuah pondok yand didiami seorang nelayan tua. Nelayan tua tersebut sedang menjahit pukatnya yang koyak.

 

Anak muda tadi bertanya pada nelayan tua itu, “Pakcik, tidakkah bahaya bekerja sebagai nelayan?”

 

“Tentu sekali bahaya. Baru dua hari yang lepas sebuah perahu tenggelam. Semua orang di atas perahu itu mati lemas,” jawab nelayan tua tersebut.

 

“Jadi kenapa Pakcik masih menjadi nelayan?” tanya anak muda itu lagi. Ternyata dia sudah tahu menilai di antara bahaya dan selamat.

 

Nelayan tua tadi tidak menjawab soalan tersebut. Sebaliknya mengemukakan satu soalan lain,

 

“Bukankah ramai orang yang mati di atas katil?”

 

“Betul Pakcik. Nenek dan datuk saya semuanya meninggal ketika tidur di atas katil,” jawabnya.

 

“Jadi kenapa kamu masih tidur di atas katil setiap malam?”

 

Tidak terjawab soalan tersebut. Anak muda tadi hanya tersengih dan beredar dari situ.

 

Ini adalah satu lagi cerita yang terdapat dalam buku teks sekolah rendah saya dahulu. Cerita yang cukup ringkas tetapi membawa banyak makna dan penafsiran.

 

Yang nyata, bahaya ada di mana-mana. Kita semua bertanggungjawab ke atas keselamatan diri kita di mana jua kita berada. Jika kita lalai, kita mungkin menjadi mangsa kepada sesuatu kejadian yang tidak diingini.

 

Saya mempunyai satu tabiat yang bagi sesetengah orang agak aneh. Setiap kali apabila membuka pin pengetip kertas (stapler), saya akan pastikan setiap pin itu dibuang ke dalam tong sampah. Jika ada yang terjatuh saya akan mencarinya sehingga dapat.

 

Begitu juga dengan paku picit dan sisa kaca yang terjatuh. Saya akan pastikan semuanya dibersihkan dan dibuang ke tempat yang tidak akan dipijak orang lain. Tabiat ini telah berada dalam diri saya sejak kecil lagi. Saya tidak dapat ingat sejak bila tabiat ini bermula.

 

Yang saya tahu ialah saya pernah tercucuk jarum yang halus dan pernah juga terpijak paku. Membayang semula kesakitan apabila paku terpacak pada kaki saya dan luka yang terpaksa diubati begitu lama menyebabkan saya merasa cukup takut kalau-kalau terpijak lagi. Ketakutan itu bukan setakat untuk diri saya tetapi juga untuk orang lain yang mungkin melalui tempat tersebut. Saya dapat bayangkan betapa sakitnya orang yang terpijak paku.

 

Biarpun kebanyakan orang akan membiarkan sahaja benda-benda yang tajam dan bahaya tertinggal di lantai kecuali mereka perlu menggunakan tempat tersebut, saya tetap merasa terpanggil untuk membuangnya ke tempat yang tidak membahayakan orang lain. Banyak kali juga saya memberhentikan kereta untuk membuang tungkulan kayu atau batu yang terjatuh di tengah-tengah jalan takut-takut ada kemalangan jalan raya berlaku.

Banyak kali juga saya menarik dahan pokok kering yang tergantung-gantung. Saya bimbang kalau-kalau ia terjatuh bila ditiup angin atau pada musim hujan akan terkeja orang yang melalui di bawahnya. Saya juga akan mengalihkan papan berpaku yang ditinggalkan oleh kontraktor di tepi jalan.

 

Atas kesedaran yang sama juga saya menjadi agak ‘cerewek’ dengan susunan perabot, tempat menyimpan barang-barang dan bagaimana sesuatu benda itu dibawa. Jika membeli perabot dan barang-barang kegunaan rumah, selain daripada menimbangkan harga, kualiti, kesesuaian dan keperluan, saya juga akan mengambil kira dari segi keselamatannya. Saya akan mempertimbangkan apakah kerusi yang saya hendak beli itu mudah patah, adakah sudutnya terlalu tajam dan adakah terdapat celah-celah yang boleh menyebabkan jari atau kaki kita tersepit dan sebagainya.

 

Saya teringat guru Seni Perusahaan saya semasa di Tingkatan Satu dan Dua iaitu Cikgu Wahab. Dia cukup tegas dan tajam pemerhatiannya. Setiap gerak geri kami diperhatikan. Cara kami membawa gergaji, pahat, dan benda tajam yang lain semuanya diperhatikan dan ditegur apabila caranya tidak betul serta membahayakan diri sendiri dan orang lain.

 

Banyak kemahiran dan pengetahuan yang saya pelajari daripada Cikgu Wahab. Kadang-kadang saya juga dipanggil ke rumahnya untuk membantunya membuat kerja-kerja pertukakangan kayu. Dia membina rumahnya sendiri yang kebetulan agak dekat dengan rumah saya di Guchil.

 

Kemahiran dan pengetahuan yang saya perolehi daripada Cikgu Wahab juga memudahkan saya membantu ayah saya ketika membaiki rumah serta membuat kerja kayu yang lain. Ia masih berguna kepada saya untuk saya membuat kerja-kerja pembaikan di rumah biarpun sampai ke masa ini. Itulah juga sebabnya dalam setor rumah saya tersimpan pelbagai alatan pertukangan.

 

Kita sering melihat perkataan, “Utamakan Keselamatan” di tempat-tempat kerja. Malah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang ditubuhkan setelah kejadian runtuhan Kondominium Highland Towers telah mewajibkan semua tapak pembinaan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan. Ini termasuklah mengenakan topi keledar, memakai but keselamatan, tali pinggang keselamatan dan sebagainya.

 

Biarpun demikian masih ada golongan yang terlupa, atau mengambil sikap tidak apa. Ada juga yang mencabar bahaya yang bakal menimpa. Pendek kata banyak kecelakaan sebenarnya boleh dielakkan jika kita lebih bertanggungjawab dan lebih komited terhadap keselamatan diri kita tidak kira di mana sahaja kita berada.

 

Rumah kita sendiri sebenarnya merupakan tempat yang lebih selamat daripada tempat-tempat lain. Akan tetapi ia masih boleh menjadi tempat yang bahaya dan mampu mendatangkan maut jika kita tidak mengambil sikap yang tegas terhadap keselamatan. Lantai yang basah, benda tajam yang terbiar, benda panas yang tidak terjaga, sumber letrik yang tidak terjaga dan rumah yang berselerak adalah di antara contoh yang boleh mendatangkan bahaya tanpa duga kepada sesiapa sahaja dalam rumah.

 

Kadang-kadang saya merasa agak hairan memerhatikan sikap manusia, termasuk diri saya. Kita sanggup menghabiskan masa yang panjang masuk keluar kedai untuk mencari barang yang murah. Perbezaan itu kadang-kadang hanyalah beberap ringgit atau beberap sen sahaja. Sebaliknya kita tidak sanggup menghabiskan beberapa minit untuk lebih berhati-hati di atas jalanraya. Kita tidak sanggup menghabiskan beberap minit untuk mengemaskan rumah. Kita tidak sanggup memberikan perhatian terhadap perkara-perkara yang dianggap kurang bernilai ‘komersial’ (kerana tidak melibatkan wang ringgit) tetapi boleh mengancam keselamatan diri kita. Ia membayangkan seolah-olah perbezaan harga beberapa ringgit jauh lebih bernilai daripada keselamatan diri kita dan orang yang kita sayangi.

 

Pada masa semua pihak hangat membincangkan masalah ragut hampir semua pihak menumpukan perhatian terhadap mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah. Amat sedikit orang yang sanggup merenung sejenak apakah tanggungjawab kita, sebagai seorang yang mungkin menjadi mangsa ragut?

 

Apakah kita hanya menyerahkan keselamatan kita kepada polis dan pengawal keselamatan semata-mata? Apakah kita tidak ada tanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri kita sendiri? Apakah kita sudah menjadi manusia yang begitu canggih yang hidup di zaman yang serba moden ini sehingga tidak tahu mempertahankan diri, sehingga tidak pandai menjaga keselamatan diri kita sendiri?

 

Kalau kita sudah tahu bahawa beg tangan senang diragut yang mungkin berlaku pada bila-bila masa sahaja, kenapa tidak digunakan beg yang lain, yang tidak digantung di bahu atau dihimpit di bawah ketiak? Apakah kebanggaan membawa beg berjenama, kecantikan dan gaya itu lebih penting daripada keselamatan dan nyawa kita?

 

Kalau kita sudah dipesan oleh ibu bapa dan guru, dan sudah kita baca dalam akhbar, majalah dan menontonnya dalam televisyen, supaya jangan terpedaya dengan orang yang tidak dikenali, kenapa pula kita terlalu mudah dipujuk dan dirayu oleh orang yang berniat jahat sehingga kita menjadi mangsa rogol?

 

Banyak lagi contoh yang menunjukkan bahawa kita sering menggadaikan keselamatan diri kita dengan perkara-perkara yang jauh kurang penting. Banyak lagi contoh yang kita cukup sedar akan mendatangkan bahaya dan mudarat kepada diri kita tetapi kita masih ingin mencuba nasib kita dan mencabar bahaya untuk menimpa diri kita.

 

Amat malang sekali jika kita dilengkapkan dengan pelbagai pelajaran dan ilmu yang canggih yang tidak pernah terbayang oleh nenek moyang kita, tetapi gagal menjalankan kewajipan diri yang paling penting, iaitu menjaga keselamatan diri.

 

Amat malang sekali jika kita berupaya untuk melawan musuh yang menggunakan senjata api paling canggih tetapi tidak mampu bertempur dengan bahaya di sekeliling kita, biar dalam rumah, pejabat, sekolah, jalanraya atau di tempat awam.

 

Amat malang sekali jika apa yang tidak dinilai dengan wang ringgit tidak diutamakan. Sebenarnya apa yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgitlah yang jauh lebih bernilai. Sekali hilang, hilanglah selama-lamanya.


Dicatat pada 12:58 pm oleh cikgulee

anne
June 6, 2009   05:12 PM PDT
 
semalam kaki anak saya (4 thn) terpijak paku yg lebih kurang 1 inci dalamnya..paku tersebut walaupun tidak karat, tapi paku yg dah sgt lama & bercampur dgn paku2 yg lain. sepanjang mlm sy menyesal krn kalau tak krn sikap lalai saya & suami kaki anak takkan terpijak paku...kami leka & lalai..ini betul2 pengajran bagi sy & suami...
shasha
May 5, 2009   07:36 PM PDT
 
wow! the best story...
cerita memang dapat saya lebih mengutamakan keselamatan...maklumlah zaman sekarang dah melampaui batasnya..apapun cerita yg menarik..ataupun generasi dulu telah tunjukkan yg tak baik pada generasi sekarang?????
unknown
August 26, 2006   07:39 PM PDT
 
saya menyokong pendapat brucetct.. mereka melakukan sambil lewa dan tidak mengikut arahan si pengajar.. budak-budak zaman sekarang semakin teruk. Adakah berpunca dari sikap tenaga pengajar ataupun terpengaruh dengan peredaran semasaż?ż?
brucetct
November 18, 2004   03:32 PM PST
 
satu cerita yang menarik tetapi kenapa saya tiada bayangan tentang cerita itu? mungkin kita dari generasi yang berlainan. hehe. pada zaman sekarang, terutama budak-budak memang tidak mengutamakan keselamatan dan semua ambil sambil lewa. saya boleh lihat daripada adik-adik saya memang lain daripada generasi saya. adakah kemungkinan tunjuk ajar daripada para pendidik yang cenderung kepada zaman modern ini?
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry

Tusyen RM33/sebulan Untuk Semua Matapelajaran