Baru-baru ini kita digemparkan sekali lagi dengan dakwaan soalan Bahasa Malaysia Penilaian Menengah Rendah (PMR) bocor. Petikan daripada Utusan Malaysia mempunyai laporan berikut:
Utusan Malaysia 7-10-2004 (http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2004&dt=1007&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive)
Guru dakwa PMR bocor -- 100% soalan ramalan tuisyen di Kuching muncul dalam peperiksaan
Oleh: BORHAN ABU SAMAH
KUCHING 6 Okt. - Seorang guru hari ini mendakwa soalan Bahasa Melayu Kertas 2, Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2004 yang diadakan kelmarin, telah bocor.
Beliau yang enggan dikenali berkata, soalan yang sama telah diberi kepada murid-murid oleh seorang penceramah dari Semenanjung yang dijemput memberi ceramah di sebuah pusat tuisyen di sini, sebelum ini.
``Soalan ramalan itu adalah 100 peratus tepat dengan soalan yang keluar pada peperiksaan kelmarin,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penceramah berkenaan, katanya, hanya mengubah ayat soalan berkenaan tetapi mempunyai maksud yang sama.
Sementara itu Utusan Malaysia mendapati lima soalan di bahagian karangan, empat telah diberikan dengan tepat oleh penceramah berkenaan.
Penceramah itu turut memberi ramalan soalan piramid makanan yang memerlukan huraian pelajar tentang pengambilan makanan seimbang dan ia juga keluar dengan tepat.
Soalan yang tidak dibuat ramalan hanyalah di bahagian meringkaskan petikan dan kajian novel.
Berikut adalah tiga contoh soalan ramalan yang diberikan penceramah dibandingkan dengan soalan PMR sebenar.
Contoh 1
Soalan ramalan: Anda berkesempatan meraikan suatu perayaan di negara anda. Gambarkan keadaan dan suasana pada hari itu.
Soalan PMR: Hari-hari perayaan di Malaysia biasanya diraikan dengan meriah gambarkan kemeriahan satu daripada sambutan perayaan tersebut.
Contoh 2
Soalan ramalan: Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa `Seperti aur dengan tebing'.
Soalan PMR: Hidup tolong-menolong dapat digambarkan dalam peribahasa `seperti aur dengan tebing'. Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.
Contoh 3.
Soalan ramalan: Baru-baru ini anda berkesempatan berbual dengan rakan karib anda. Tajuk perbualan tersebut ialah `Program yang anda rancang selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) nanti'. Tulis dialog itu selengkapnya.
Soalan PMR: Anda telah berbual dengan rakan anda tentang kegiatan berfaedah yang dilakukan selepas peperiksaan PMR. Sediakan dialog tersebut dengan selengkapnya.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina berkata, perbuatan tersebut adalah serius dan beliau mahu Kementerian Pelajaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.
``Saya yakin berdasarkan persamaan soalan ramalan dan yang keluar pada peperiksaan sebenar, ia adalah perbuatan pegawai yang terlibat dalam menyediakan soalan peperiksaan tersebut,'' katanya ketika ditemui pemberita di sini yang turut dihadiri Setiausaha Agung STU, Thomas Huo Kok Sen.
Menurut William, dia juga telah menerima maklumat tentang perbuatan itu dan memperoleh satu salinan soalan ramalan tersebut.
``Saya akan bertemu Timbalan Pengarah Pelajaran Sarawak bagi membincangkan perkara ini,'' kata beliau.
Seterusnya laporang daripada akhbar yang sama dua hari kemudian menyebut:
PMR: Kementerian tidak tolak kemungkinan berlaku `lepas cakap'
(http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2004&dt=1009&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_06.htm&arc=hive)
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kementerian Pelajaran tidak menafikan faktor kemanusiaan mungkin menjadi punca soalan Bahasa Melayu Kertas 2, Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2004 hampir sama dengan soalan yang dibekalkan oleh seorang penceramah di sebuah pusat tuisyen di Kuching.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah), Datuk Kusaini Hasbullah berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlaku `lepas cakap' antara ahli panel penggubal soalan dengan penceramah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut jika berlaku, adalah di luar kawalan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) kerana setiap panel yang dipilih diwajibkan menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk merahsiakan identiti serta tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
``Dalam penyiasatan yang telah dilakukan, menunjukkan lapan orang panel peperiksaan tidak terlibat dalam menyebarkan sebarang kertas soalan tersebut.
``Bahkan, Menteri Pelajaran juga telah mengumumkan semalam bahawa tiada sebarang kebocoran kertas soalan kerana bocor hanya sesuai digunakan kepada soalan yang mempunyai ayat dan perkataan yang sama sahaja.
``Sedangkan kertas soalan yang diberikan oleh penceramah tersebut mempunyai kehendak soalan yang agak jauh berbeza dan jika calon di pusat tuisyen itu menghafal jawapan yang diberi, mereka akan mendapat markah kosong kerana tidak mengikut kehendak soalan asli,'' katanya.
Kusaini berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang guru di Kuching bahawa kertas soalan Bahasa Melayu Kertas 2, PMR 2004 yang diadakan beberapa hari lalu, telah bocor.
Menurutnya, keadaan ini mungkin berpunca daripada amalan membuat soalan ramalan di kalangan guru berpengalaman untuk panduan pelajarnya dan ini merupakan perkara biasa dalam menghadapi peperiksaan.
``Bagaimanapun, untuk menangani sebarang keraguan, kementerian akan terus menyiasat mengenai kegiatan penceramah tersebut,'' kata beliau.
Sama ada soalan PMR 2004 sengaja dibocorkan atau sekadar kebetulan, hanya orang terlibat sahaja yang mengetahuinya. Semua orang mempunyai tanggapan dan pandangan yang tersendiri dengan contoh soalan ramalan dan soalan sebenar diperbandingkan. Biar apa sekali diperkata dan dijelaskan oleh pihak yang berwajib, dakwaan soalan bocor yang berlaku hampir setiap tahun dalam semua peringkat peperiksaan rasmi telah menjejaskan kewibaan Lembaga Peperiksaan dan Panel Penyedia soalan itu sendiri.
Selagi ada permintaan selagi itu ada tawaran untuk soalan ramalan. Lantaran daripada pengaruh orang dewasa yang ingin cepat kaya, maka anak-anak di sekolah juga mencari jalan pintas untuk cepat lulus peperiksaan tanpa mencurahkan usaha diri sendiri. Mereka sanggup melakukan apa sahaja dan sanggup membayar dengan harga tinggi untuk mendapatkan soalan ramalan.
Dengan permintaan yang begitu baik tentu sekali ada pihak yang akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan soalan yang dijangka keluar dalam peperiksaan. Pepatah Cina menyebut, “Wang boleh meminta hantu menggerakkan lesung”. Maksudnya asalkan kita sanggup membayar, pasti semua kerja jadi beres.
Saya sendiri sering diminta soalan ramalan sama ada melalui laman web cikgulee.blogdrive.com mahupun semasa saya mengajar di sekolah dahulu. Jawapan saya kepada pelajar-pelajar saya di sekolah dahulu cukup senang.
“Kalau saya dapat meramalkan apakah soalan yang akan keluar dalam peperiksaan, saya tidak perlu lagi bekerja sebagai seorang guru. Saya cuma perlu menjual soalan-soalan ramalan sebelum peperiksaan sebelum peperiksaan berjalan.”
Sebenarnya soalan ramalan hanya berguna jika ia tidak dikesan oleh orang yang tidak mendapatnya. Jika tidak soalan ramalan akan bertukar menjadi soalan bocor. Jika sudah menjadi soalan bocor, peperiksaan terpaksa diadakan semula dan tidak akan membawa sebarang faedah kepada sesiapapun.
Buah yang paling manis adalah buah yang kita petik sendiri.
Cerita di bawah mungkin boleh dijadikan renungan untuk semua.
Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 80 tahun membawa seorang gadis muda sekitar 20 tahun ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Setelah selesai pemeriksaan doktor berkata,
“Pak Cik, eer … Pak Cik …”
“Isteri saya…” sampuk lelaki tersebut.
“Oh, maafkan saya. Tahniah! Isteri Pak Cik didapati mengandung 2 bulan,” kata doktor tersebut masih dalam kebingungan.
“Kenapa? Tak percaya ke?” kata lelaki tersebut memahami keraguan doktor.
“Biarpun umur saya sudah menjangkau 80 tahun tetapi saya masih kuat. Buktinya isteri muda saya sudah mengandung.” Kata lelaki itu dengan bangga.
Doktor tersebut tidak membantah tetapi memberikan satu cerita lain. Begini ceritanya:
Suatu hari seorang pemburu pergi memburu secara terburu-buru. Dalam keadaan kelam kabut, dia tersalah ambil sakaki payung yang disangkakan senapang. Lalu dipikul payung itu ke hutan untuk memburu.
Dalam perjalanan dia terserempak dengan seekor beruang besar. Beruang yang sangat garang itu terus menerkamnya. Pemburu tersebut dengan cepat mencapai ‘senapangnya’ lalu mengacu ke arah beruang dan menembak.
Dua das tembakan kedengaran dan beruang terus jatuh dan mati.
Belum sempat doktor menyelesaikan cerita lelaki tua itu menjerit, “Itu mustahil! Tentu orang lain yang menembaknya.”
Doktor itu tersenyum tanpa berkata apa-apa.