Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)




Tusyen Secara Online Terkini dan Terbaik Masakini
Custom Search



Untuk Dijual


Free counter and web stats

Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Friday, September 10, 2004
Beg Sekolah

Seingat saya, ada empat jenis beg sekolah yang pernah saya pakai pada zaman persekolah rendah dan menengah saya. Beg sekolah saya yang pertama berwarna hijau jenis gantung di bahu. Ia mempunyai dua bahagian. Satu untuk diisi dengan buku dan satu lagi untuk diisi dengan kotak pensel dan barangan lain.

 

Saya tidak ingat berapa lama beg tersebut digunakan, mungkin tidak sampai setahun. Beg ini saya gunakan untuk membawa buku-buku saya yang tidak sampai sepuluh buah. Saya menggantung beg ini di bahu kiri atau kanan saya dan berjalan kaki ke sekolah yang 3.2KM dari rumah, atau berjumlah 6.4KM keseluruhan perjalanan.

 

Saya biasanya menggunakan landasan keretapi yang lebih lurus dan dekat. Dalam perjalanan pergi dan balik saya juga belajar mengimbangkan diri di atas rel keretapi. Saya juga belajar bagaimana landasan keretapi disambung dan diperbaiki. Perjalanan saya banyak memberikan peluang kepada saya untuk memerhatikan para pekerja bekerja. 

 

Saya juga belajar bagaimana mendengar ketibaan keretapi dari jauh dengan hanya mendekatkan telinga pada landasan. Kebanyakan keretapi pada ketika itu menggunakan arang batu sebagai bahan api dan kepalanya berwarna hitam. Keretapi jenis ini hanya dapat dilihat di muzium atau dalam wayang cowboy pada hari ini. Kadang-kadang saya juga mengutip cebisan arang batu untuk bergurau dengan kawan-kawan saya. Jika diletakkan dihujung rambut ia akan melekat dan terasa seperti digigit semut.

 

Biarpun terpaksa berjalan agak jauh, pada ukuran kita pada hari ini, saya tidak pernah merasakan beg sekolah saya berat. Beg sekolah saya bukan sahaja diisi dengan buku teks dan buku tulis serta alat tulis, saya juga membawa bersama bekalan makanan yang disediakan oleh nenek saya dan botol air.

 

Kadang-kadang saya diberikan wang saku sebanyak sepuluh sen. Duit ini saya gunakan untuk membeli nasi bungkus, laksa kelantan atau mi goreng. Bayangkan pada ketika itu hanya dengan duit syiling sepuluh sen sahaja kita dapat membeli makanan yang cukup untuk kita bertahan setengah hari. Apalah sepuluh sen pada hari ini?

 

Beg sekolah saya yang kedua merupakan jenis beg pelancong seperti yang sering kali digunakan oleh pelakon-pelakon filem Hong Kong zaman dulu kala. Ia diperbuat daripada kertas tebal dan diwarnakan dibahagian luar. Namun beg ini juga tidak tahan kerana sebagai seorang budak kecil di sekolah rendah memang belum tahu menghargai barang yang digunakan.

 

Oleh yang demikian bapa saya telah membuat sebuah beg sekolah yang khas untuk saya. Beg ini diperbuat daripada kain kanvas putih yang tebal. Ia mempunyai tali yang boleh digantung di bahu. Kadang-kadang saya menggantungnya di atas dahi saya. Oleh kerana beg ini tahan lasak saya dapat menggunakannya untuk beberapa tahun. Sekali-sekala nenek saya akan mencucinya apabila sudah kotor.

 

Ini merupakan satu-satu beg yang unik yang terdapat di seluruh sekolah kerana ia diperbuat khas. Beg ini saya gunakan semasa berjalan kaki dan juga setelah saya memperolehi basikal daripada kakak saya. Bapa saya membelikan sebuah basikal baru untuk kakak saya dan basikal yang digunakannya dilepaskan kepada saya.

 

Setelah beg sekolah kanvas saya rosak saya telah mula menggunakan beg jenis rotan yang tidak bertutup. Dalam beg ini saya mula muatkan dakwat hitam untuk tulisan kaligrafi cina, pensel berwarna, kamus dan sebagainya. Saya juga menyediakan sehelai plastik untuk menutup beg saya pada waktu hujan. Baju hujan juga sentiasa diletakkan di dalam beg rotan saya ini.

 

Biarpun demikian beg sekolah saya masih lagi tidak dianggap berat. Akan tetapi dengan perubahan sukatan pelajaran beberapa kali, dengan pengenalan buku teks baru dan yang paling penting dengan pengenalan pelbagai buku rujukan dan latihan beg sekolah pelajar-pelajar pada hari ini telah menjadi semakin hari semakin berat.

 

Mata pelajaran yang dipelajari telah bertambah dan menambahkan buku teks serta buku tulis yang digunakan. Kemudahan buku rujukan dan latihan menyebabkan guru-guru serta pihak sekolah meminta pelajar-pelajar membelinya sebagai buku tambahan kepada buku teks yang sedia ada. Dengan pertambahan sebuah buku kerja, rujukan atau latihan mengikut mata pelajaran, bilangan buku yang dibawa oleh seseorang pelajar sudah bertambah sekurang-kurangnya sekali ganda.

 

Kerana bimbangkan terlupa membawa sesebuah buku ke sekolah, kanak-kanak biasanya memasukkan semua buku yang ada ke dalam beg sekolah mereka dan menggalasnya ke sekolah setiap hari. Ini menyebabkan beg sekolah menjadi sangat berat sehingga menimbulkan masalah kesihatan kepada pelajar malahan kadang-kadang hingga berlaku kemalangan.

 

Menambahkan masalah ini lagi ialah sesetengah pelajar yang terpaksa mengikuti kelas tambahan sama ada yang disediakan oleh pihak sekolah atau oleh pihak swasta, sebaik sahaja sekolah tamat. Mereka biasanya tidak pulang ke rumah dan terus pergi ke tempat kelas tambahan setelah sesi sekolah berakhir. Dengan ini lebih banyak buku dimasukkan ke dalam beg. Mungkin bekalan makanan dan air yang lebih banyak juga dimasukkan ke dalam beg sekolah. Ini menambahkan lagi berat beg sekolah yang dibawa.

 

Masalah beg sekolah yang berat bukan sahaja menjadi isu besar di negara kita malah menjadi masalah yang nyata di seluruh dunia. Banyak kajian telah dibuat terhadap penggunaan beg sekolah yang berat terhadap tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak. Biarpun banyak yang sudah dibincang dan dibahas belum ada satu penyelesaian yang khusus dapat dirumus. Maka anak-anak kita masih dibebankan dengan beg sekolah yang berat yang kadang-kadang lebih daripada 15% daripada berat badannya sendiri.

 

Dengan menuding jari kepada satu-satu pihak tertentu tidak akan dapat menyelesaikan masalah beg sekolah dengan baik dan berkesan. Banyak pihak yang terlibat dan banyak sudut permasalahan ini harus diteliti sebelum dapat diselesaikan dengan berkesan. Kita harus sedar akan punca berlakunya masalah ini dan kepentingan-kepentingan yang terlibat.

 

Pertambahan buku teks berlaku disebabkan perubabahn keperluan kepentingan negara. Kepentingan ini termasuklah ilmu dan kemahiran baru yang hendak disampaikan kepada generasi muda kita. Selain daripada itu ia juga melibatkan kepentingan sosial seperti perpaduan kaum, keselamatan, agama dan sebagainya. Dengan pertambahan ini lebih banyak mata pelajaran diperkenalkan dan pada masa yang sama lebih banyak buku teks digunakan.

 

Mengubah kandungan buku teks mengikut perkembangan zaman tidak dapat dielakkan. Kita tidak mahu generasi muda kita ketinggalan dengan fakta yang lapuk dan kurang relaven. Sebenarnya sebaik sahaja sesebuah buku itu dicetak ia telah menjadi bahan sejarah kerana maklumat baru tidak lagi dapat dimasukkan, melainkan maklumat yang dimuatkan adalah fakta yang sejagat yang tidak boleh atau tidak akan berubah.

 

Dengan adanya Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), buku teks yang dicetak hendaklah lebih berkualiti dan tahan lasak dari segi kertas dan cara pembukuan. Ini adalah untuk membolehkan buku itu dapat digunakan sekurang-kurang selama lima tahun. Dengan pertimbangan ini buku teks menjadi lebih berat daripada buku biasa.

 

Akan tetapi, pertambahan berat beg sekolah disebabkan oleh pertambahan buku-buku teks tidakah begitu ketara. Mata pelajaran yang diajar di sekolah belum lagi bertambah sehingga 100%. Begitu juga dengan pertambahan buku tulis.

 

Punca utama pertambahan berat beg sekolah adalah daripada penggunaan buku rujukan, buku kerja dan buku latihan yang begitu mendadak dan meluas di sekolah rendah mahu sekolah menengah. Dengan pihak penerbit menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pihak sekolah, guru-guru biasanya akan menggalakkan pelajar-pelajar membeli sekurang-kurangnya sebuah buku kerja atau buku latihan untuk setiap mata pelajaran. Ada juga sekolah yang mewajibkan pelajar-pelajarnya membeli buku-buku kerja atau latihan ini. Malahan ada juga sekolah yang memaksa pelajar-pelajarnya menggunakan lebih daripada sebuah buku rujukan dan buku kerja untuk satu-satu mata pelajaran.

 

Penggunaan bahan rujukan boleh menambahkan pengetahuan pelajar. Penggunaan buku kerja dan latihan pula akan dapat memantapkan kemahiran dan daya ingatan pelajar. Itu adalah tujuan sebenar buku-buku tambahan selain daripada buku teks. Namun begitu, dalam kebanyakan kes penggunaan buku rujukan, buku kerja dan buku latihan telah disalah gunakan. Ada kepentingan dan motif lain yang telah membelakangkan kepentingan kehendak pelajar itu sendiri.

 

Banyak buku rujukan, buku kerja dan buku latihan yang kurang sesuai dengan tahap keupayaan pelajar dipaksa untuk digunakan oleh pelajar. Buku kerja dijadikan jalan pintas kepada guru-guru untuk menyediakan kerja rumah kepada pelajar-pelajar mereka. Buku rujukan pula dijadikan ringkasan daripada buku teks. Dengan sekadar membaca ringkasan pemahaman pelajar terhadap sesuatu tajuk adalah terhad. Pelajar-pelajar secara tidak langsung diajar untuk menghafal fakta dan bukan untuk memahami keseluruhan sesuatu perkara. Inilah puncanya bagaimana ramai pelajar yang mendapat markah yang tinggi dalam sesuatu matapelajaran tetapi masih tidak tahu apa yang mereka pelajari. Atau mereka mendapati amat sukar untuk mengamalkan apa yang telah dipelajarinya.

 

Selain daripada itu buku rujukan juga telah menjadi sumber ciplak dan cetak rompak bagi guru-guru dalam penyediaan soalan peperiksaan. Ini bukan tuduhan melulu tetapi kenyataan yang jelas. Ada guru yang mengambil secara bulat-bulat contoh soalan yang disediakan dalam buku rujukan sebagai soalan peperiksaan penggal atau tahunan tanpa sedikit perubahanpun. Perbuatan ini bukan sahaja tidak dapat mengguji tahap pemahaman dan kepandaian pelajar malahan memberikan imej yang kurang baik terhadap pelajar mereka.

 

Buku kerja dan buku latihan yang digunakan di sekolah biasanya disertakan dengan jawapan pada halaman belakang. Ini menggalakkan pelajar-pelajar menjadi lebih cenderung untuk menyalin jawaban daripada mencuba latihan tersebut sendiri. Dengan ini penggunaan buku kerja dan buku latihan tidak dapat mencapai objektifnya yang sebenar.

 

Sebenarnya, dengan cara penggunaan buku rujukan, buku kerja dan buku latihan di sekolah-sekolah sekarang tidak begitu menguntungkan pelajar-pelajar. Ia lebih menguntungkan pihak penerbit dan guru-guru. Pihak penerbit menawarkan pelbagai jenis buku dan memujuk pihak sekolah menggunakannya. Pujukan mereka juga berserta dengan pelbagai tawaran dan ganjaran istimewa kepada pihak sekolah dan guru. Sekolah dan guru yang termakan pujuk sedemikian akan terperangkap dan tidak lagi membuat pilihan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka. Kepentingan pelajar telah diabaikan.

 

Kadang-kadang pelbagai helah digunakan oleh pihak sekolah untuk memaksa secara halus pelajar-pelajarnya membelikan buku-buku tertentu. Ini termasuklah dengan sengaja tidak menggunakan buku teks yang disediakan dalam Skim Pinjaman Buku Teks. Alasan yang diberikan ialah buku teks tidak lagi sesuai dan susah difahami. Anehnya buku teks tersebut masih digunakan oleh sekolah yang lain dan tetap dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran.

 

Orang yang menanggung segala beban ini adalah pelajar-pelajar dengan beg sekolah berat dan ibu bapa mereka yang terpaka mengikat perut mencari sumber wang yang lebih. Berapa banyakkah wang yang harus disediakan oleh ibu bapa pada setiap kali sekolah dibuka pada awal tahun? Selain daripada pelbagai yuran yang telah ditetapkan oleh sekolah, pembelian pelbagai jenis buku, alat tulis, pakaian seragam dan sebagainya cukup membebankan. Jika lima orang anak yang pergi ke sekolah, bayangkan jumlah wang yang harus disediakan.

 

Jika pihak sekolah lebih perihatin, mereka akan menggunakan apa-apa keistimewaan atau ganjaran yang diberikan oleh penerbit buku untuk kepentingan dan kebajikan pelajar. Pihak sekolah tidak sepatutnya mengambil keuntungan daripada penjualan buku-buku tambahan. Sebarang diskaun yang diberikan haruslah salurkan kepada pelajar bagi meringankan beban ibu bapa mereka.

 

Semasa saya mengajar Bahasa Inggeris cuma sebuah buku rujukan yang saya gunakan. Itupun setelah mendapati buku teks yang disediakan kurang lengkap dan berkali-kali membuat perbandingan dengan buku-buku yang lain dan selepas mendapat pandangan daripada Ketua Panitia saya. Saya berjaya mendapatkan diskaun dan diskaun itu diberikan kepada pelajar-pelajar saya. Saya hanya menggunakan buku tersebut sekali sahaja dan bertukar kepada buku yang lain pada tahun berikutnya walaupun saya masih mengajar mata pelajaran yang sama bagi tingkatan yang sama. Saya cuba mengelakkan pelajar-pelajar daripada menggunakan buku lama dan meniru jawaban yang sedia ada sebelum mencuba menjawabnya sendiri.

 

Selain daripada itu, saya juga menyediakan nota dan latihan sendiri untuk diedarkan kepada para pelajar saya. Semua soalan ujian dan peperiksaan pula saya rumus khas tanpa mengambil sebarang contoh daripada mana-mana buku rujukan yang ada. Saya juga memastikan buku teks dan buku rujukan yang saya gunakan diselesaikan dengan sepenuhnya.

 

Kita seharusnya tidak terperangkap dengan pelbagai tawaran dan helah jualan penerbit buku. Guru dan penerbit mempunyai objektif yang berlainan. Penerbit lebih mengutamakan pemasaran buku dan mendapatkan keuntungan. Sementara guru mempunyai tanggungjawab untuk memilih buku yang paling sesuai dengan tahap, pencapaian dan keperluan pelajar-pelajar yang diajar. Jika kita terpedaya dengan penerbit buku tanpa menimbangkan kepentingan pelajar kita sebenarnya telah melakukan satu kesalahan terhadap anak didikan kita. Kita telah membelakangkan profesion dan etika kita sebagai seorang guru.

 

Dengan ini untuk mengatasi masalah beg sekolah yang berat, penggunaan buku-buku rujukan, buku kerja dan buku latihan haruslah dikawal dan diselia. Jawatankuasa yang terdiri daripada Ketua Panitia matapelajaran, guru-guru berpengalaman serta guru-guru yang mengajar matapelajaran tersebut haruslah dibentuk bagi membuat pilihan buku yang sesuai, itupun jika buku tambahan terpaksa digunakan.

 

Guru-guru seharusnya tidak dibebankan dengan terlalu banyak kerja dan tugas-tugas pentadbiran atau aktiviti lain yang tidak ada kaitan dengan mata pelajaran yang diajar. Mereka harus diberikan lebih masa untuk menumpukan perhatian terhadap mata pelajaran yang diajar. Guru-guru juga harus digalakkan untuk merumus soalan latihan dan peperiksaan mereka sendiri. Ini akan menjadikan mereka lebih memahami pelbagai kaedah untuk menguji pencapaian mereka. Ia juga dapat membantu mereka menunjukkan cara yang betul kepada pelajar mereka untuk menghadapi peperiksaan. Guru-guru haruslah jangan mengambil jalan mudah untuk meniru dan mencetak rompak bahan-bahan dalam buku kerja dan buku latihan yang diperolehi secara komersil.

 

Salah satu cadangan untuk meringankan muatan beg sekolah ialah dengan membawa buku mengikut jadual waktu. Jika pelajar-pelajar dapat membawa buku berdasarkan jadual waktu yang disediakan dan tidak membawa semua buku ke sekolah, masalah beg sekolah yang berat akan dapat dikurangkan.

 

Akan tetapi bukan semua pelajar yang dapat berbuat demikian. Ada pelajar yang terlupa membawa buku tertentu kerana kesilapan jadual waktu terutama sekali bila adanya hari cuti umum. Ada juga yang tidak dapat memumuk tabiat menyemak jadual waktu pada setiap hari. Kelalaian ini menyebabkan pelajar-pelajar ini didenda oleh. Untuk mengelakkan daripada didenda maka pelajar-pelajar ini mengambil jalan pintas dengan membawa apa sahaja buku yang ada pada setiap hari.

 

Ada juga pelajar yang lebih suka membawa semua buku ke sekolah untuk membolehkannya membuat kerja rumah yang tidak sempat disiapkan di rumah. Ada juga disebabkan kemungkinan guru pengganti yang masuk ingin meneruskan mata pelajaran tertentu yang tidak ada dalam jadual waktu. Jadi ada pelajar yang bersedia bagi menghadapi keadaan seperti ini.

 

Sememangnya jika seseorang pelajar dapat mendisiplinkan diri dengan menyusun bukunya pada setiap hari adalah cara yang baik untuk mengurangkan masalah beg sekolah yang berat. Akan tetapi disebabkan pelbagai kebimbangan pelajar-pelajar lebih suka memilih cara yang lebih selamat dan tidak mahu dihukum guru apabila sesebuah buku tertinggal.

 

Bagi pihak ibu bapa, mereka harus menumpukan lebih masa terhadap perkembangan pendidikan anak-anak mereka. Biar apa sebab dan alasan sekalipun, ibu bapa tidak harus menolak tugas dan tanggungjawab mengawas, membimbing dan memantau anak-anak kepada guru di sekolah. Dengan bimbingan dan pengawasan yang baik ibu bapa akan dapat membantu anak-anak mereka membawa buku yang betul ke sekolah pada setiap hari. Mereka juga akan dapat mengetahui apa yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah pada setiap hari. Pengetahuan mereka tentang apa yang dipelajari dan apa yang berlaku di sekolah juga dapat membantu mengurangkan jurang perbezaan pendapat di antara ibu bapa dengan anak.

 

Ibu bapa juga tidak seharusnya menerima secara bulat-bulat apa-apa sahaja yang diminta oleh anak mereka, sama ada dalam bentuk buku, alat tulis, barangan lain atau bayaran tertentu. Jika mengesyaki sesuatu yang kurang sesuai dan kurang normal ia harus dibawa berbincang dengan guru kelas anak mereka. Ini akan mengelakkan anak-anak daripada mengambil kesempatan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak perlu daripada ibu bapa. Ia juga akan dapat mengelakkan pihak sekolah daripada mengambil kesempatan untuk memaksa pelajar-pelajar mendapatkan sesuatu yang tidak perlu untuk anak-anak mereka. Selain daripada itu maklum balas daripada ibu bapa juga dapat menyumbang ke arah memantapkan lagi sistem perjalanan dan pengurusan di sekolah.

 

Ada juga cadangan supaya pihak sekolah menyediakan laci atau locker untuk pelajar-pelajar menyimpan buku-buku berlebihan mereka di sekolah. Cadangan ini pernah dilaksanakan oleh sekolah-sekolah tertentu tetapi tidak mencapai hasil yang dihajati. Banyak sekolah menghapai masalah kekurangan tempat untuk menampung pelajar yang terlalu ramai, apatah lagi menyediakan kemudahan seperti yang dicadangkan. Perkara ini bertambah rumit bagi sekolah-sekolah yang mempunyai dua sesi pembelajaran. Bilik darjah yang sepatutnya memuatkan 25 orang pelajar yang dikira sebagai angka unggul telah disumbat sehingga 50 orang tambah menyempitkan.

 

Tambahan pula penyimpanan buku-buku tertentu di sekolah juga menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar yang ingin membuat latihan, ulang kaji dan rujukan apabila berada di rumah. Masa yang dihabiskan oleh seseorang pelajar adalah lebih banyak di rumah berbanding dengan di sekolah. Tidak ramai orang yang dapat menerima cadangan seperti ini kecuali pelajar-pelajar menghabiskan lebih banyak masa di sekolah daripada rumah.

 

Dengan ini cara penyelesaian yang paling baik adalah mengkaji semula keperluan buku teks dan buku-buku tambahan lain yang digunakan di sekolah. Buku teks yang diluluskan oleh Kementerian Pelajaran haruslah telah melalui proses pemilihan yang ketat, bukan dilakukan oleh pegawai tertentu yang tidak terlibat secara langsung dalam penggunaan buku tersebut. Ia seharusnya diteliti oleh satu panel yang terdiri daripada guru-guru yang pakar dalam bidang tersebut. Panel ini haruslah bebas daripada sebarang pengaruh atau ancaman golongan tertentu yang berkepentingan diri supaya pemilihan yang dibuat adalah mengutamakan kepentingan pelajar-pelajar lebih daripada sebarang kepentingan peribadi atau golongan tertentu.

 

Buku teks yang disediakan hendaklah padat dan terperinci. Maklumat yang tidak sesuai yang segaja dimasukkan dengan tujuan mencukupkan bilangan mukasurat haruslah dielakkan. Pemilihan kertas haruslah berkualiti tetapi tidak sampai menambahkan berat fizikal buku tersebut.

 

Dalam pada itu, alternatif lain harus juga dipilih supaya maklumat tertentu boleh disampaikan kepada pelajar-pelajar tanpa melalu buku teks. Ini termasuklah penggunakan televisyen pendidikan, video, carta, poster, cakera padat serta perisian komputer yang lain. Dengan ini kandungan buku teks akan dapat dikurangkan dan pada masa yang sama pelajar-pelajar juga mempunyai cara lain untuk menerima kemahiran dan ilmu yang hendak disampaikan. Ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran jauh lebih menarik daripada pembacaan daripada buku teks semata-mata.

 

Selain daripada itu, penggunaan buku rujukan, buku kerja dan buku latihan yang begitu berleluasa haruslah dikawal dan dipantau. Pihak sekolah harus mempelajari untuk tidak terlalu bergantung kepada penggunaan berkenaan. Ketergantungan guru-guru kepada bahan sedia ada lambat laun akan menjadikan guru sekadar orang perantaraan atau posmen semata-mata tanpa sebarang input yang bermakna daripada mereka.

 

Pelajar-pelajar juga tidak seharusnya diajar mencari jalan mudah untuk mencapai kejayaan atau lebih tepat lagi untuk lulus dalam peperiksaan. Pembelajaran secara meramal soalan-soalan peperiksaan dan menelaah daripada ringkasan pelajaran akan menghasilkan pelajar-pelajar yang kenal pokok tetapi tidak tahu kewujudan hutan. Ia akan melahirkan generasi yang tidak berupaya mengaitkan satu pelajaran dengan pelajaran yang lain dan seringkali terkapai-kapai dalam mengaplikasikan apa yang telah dipelajari. Pendeknya mereka mempunyai ilmu yang berbagai-bagai tetapi tidak dapat meletakkan keseluruhan ilmu itu dalam satu perspektif yang lebih luas.

 

Kalau beg sekolah tidak dijadikan sumber kepada segala ilmu yang hendak dipelajari dan tidak dijadikan tempat penyimpanan pelbagai maklumat yang harus dihafal dan diingati maka banyak ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman akan merupakan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dipelajari sendiri dan bukannya disumbat secara paksa. Pengalaman sendiri memberikan pemahaman yang jauh lebih mendalam dan dapat diaplikasikan pada bila-bila masa apabila diperlukan.

 

Oleh itu sebelum mengisi apa saja ke dalam beg sekolah, isilah sebahagian daripadanya ke dalam minda kita. Biarlah ilmu dipindah ke dalam minda kita dan bukannya tercatat dan tersimpan di dalam buku semata-mata.


Beg sekolah anak-anak saya


Dicatat pada 07:40 am oleh cikgulee

Louis Vuitton bags
April 27, 2012   02:41 AM PDT
 
I have been taking splenda for several months. Just lately I realized that the moles on arms and especially legs had increased.By a sudden impulse while visiting my doctor for something else I showed the increased moles to him on one leg. He pointed out that two of the moles did not look good, he sent one small part of one of them to the lab and it came back as pre- cancerous. Both moles have been removed since. No more splenda for me.,086098,http://cikgulee.blogdrive.com/archive/66.html
syafiq
April 28, 2010   04:56 PM PDT
 
sya rsa tpu jekn sya x akn prcya
Rahman
September 29, 2009   12:06 AM PDT
 
Kat mana boleh beli beg sekolah ini (tahan lasak)
mba
September 23, 2004   05:45 AM PDT
 
MURID sekolah di Jepun perlu membeli beg dari sekolah. Hanya 1 design dan 2 warna. 1 warna utk perempuan dan 1 utk lelaki. Beg ini tahan lasak dan digunakan dari darjah 1 hingga darjah 6 dan dijamin tak akan rosak (kecuali hilang) dan tak perlu diganti.
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry

Tusyen RM33/sebulan Untuk Semua Matapelajaran