Saya telah dijemput untuk menyampaikan satu ceramah kepada sekumpulan guru. Ceramah saya berkenaan dengan Penyampaian Ucapan Yang Berkesan. Juruacara memperkenalkan saya sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam memberikan ucapan dan sememangnya orang yang paling layak untuk memperkatakan tajuk ceramah ini.
Saya duduk di baris belakang. Apabila nama saya dipanggil saya bergegas bangun. Kaki saya tersangkut kerusi kuliah dan menjatuhkannya. Saya minta maaf dan meneruskan perjalanan ke pentas. Oleh kerana terlampau gopoh saya tersepak wayar alat pembesar suara di atas lantai. Saya hampir tersungkur ke atas lantai. Nasib baik saya sempat memegang dinding di sebelah saya dan mengelakkan diri daripada jatuh. Ada penonton yang menjerit dan ada juga yang menggelengkan kepala.
Semasa berada di atas pentas. Rambut saya sudah kusut. Hujung tali leher saya tersangkut di atas bahu kiri. Saya berpeluh. Berulang kali saya meminta maaf. Saya meletakkan beg saya di atas meja dan mencari-cari bahan yang hendak saya sampaikan. Terlampau banyak nota yang saya bawa dan saya tidak tahu mana satu yang harus saya gunakan.
Saya berpaling kepada juruacara dan bertanya, “Apakah tajuk ceramah saya?”
Muka juruacara menjadi pucat. Mulutnya terbuka luas. Dia yang menjemput saya dan dia yang memberikan banyak kata-kata pujian kepada saya.
Akhirnya saya senyum dan meminta juruacara untuk mengulangi jemputan saya. Saya kembali ke tempat duduk saya di bawah. Seluruh dewan menjadi senyap sunyi.
Jemputan dibuat sekali lagi untuk saya naik ke pentas, tetapi tidak lagi semeriah dan bersemangat seperti kali pertama. Suaranya juruacara juga menampakkan rasa tidak yakin. Saya membetulkan pakaian saya dan berjalan dengan sopan serta bersemangat ke atas pentas. Beg saya di letakkan di bawah dan saya senyum lebar kepada semua penonton.
Juruacara dan penonton dalam dewan masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Saya tahu apa yang mereka sedang fikirkan. Saya terpaksa melakukannya kerana saya tahu akan kesannya.
Saya memberitahu mereka bahawa sesuatu ucapan yang baik dan berkesan tidak bermula pada ketika ucapan itu disampaikan. Ia bermula daripada persediaan yang mencukupi. Persediaan yang cukup memerlukan rujukan dan bacaan yang menyeluruh tentang apa yang hendak disampaikan. Persediaan juga perlu mengambil kira cara penyampaian yang berkesan.
Ucapan bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi juga melibatkan kaedah penyampaian yang boleh menarik perhatian. Ia juga harus memberikan ingatan yang kekal. Selain daripada itu, perwatakan, tingkahlaku dan pakaian penceramah juga amat penting untuk memberikan keyakinan kepada sasaran pendengar.
“Kalaulah saya memulakan ceramah saya seperti yang telah saya lakonkan sebentar tadi, saya percaya tidak ada orang yang akan menerima ceramah saya.”
Setelah mendengar penjelasan saya, barulah semua orang merasa lega dan faham akan apa yang saya lakukan. Saya sengaja menggunakan lakonan sepontan sebagai demonstrasi bagaimana persepsi penonton terhadap seseorang penceramah boleh menjejaskan keyakinan penonton. Tentu sekali kesannya tidak sedalam yang saya lakonkan jika saya sekadar mencerita suasana itu dan hanya meminta penonton membayangkannya.
Dengan lakonan dan pembukaan sedemikian saya bukan sahaja mendapat perhatian penuh daripada semua peserta yang hadir tetapi memberikan kenyakinan penuh kepada mereka tentan kebolehan dan kepakaran saya. Saya telah menyediakan suasana yang cukup kondusif untuk saya memasuki kepada ceramah saya yang sebenar.
Ramai orang berpendapat bahawa dengan kandungan ucapan yang baik sudah memadai. Kandungan ucapan atau ceramah yang baik tanpa penyampaian yang berkesan tetap tidak memberikan kesan. Orang yang menyampaikan ucapan atau ceramah seharusnya dapat menjiwai isi kandungannya dan bukan bertindak sekadar seorang penyampai yang tidak berperasaan.
Dalam penyediaan ucapan, saya jarang menulis ucapan saya dengan lengkap. Saya hanya menyediakan rangka isi yang penting yang harus disampaikan. Jika ada contoh khas yang perlu saya gunakan saya akan catatkan. Saya juga akan mencari pembukaan yang sesuai yang boleh menarik perhatian penonton saya. Bagi penutup pula saya akan menggunakan kata-kata yang boleh menyebabkan penonton berfikir pada akhir ucapan saya. Saya biasanya menghafal pembukaan dan penutup ucapan saya dan bukan isinya.
Cara ini memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan atau ceramah secara bebas dan langsung. Saya dapat menyesuaikan ucapan saya dengan suasana dan keadaan semasa. Ini akan menjadikan ucapan saya lebih mendekati penonton dan bersesuaian dengan cita rasa serta emosi penonton semasa. Saya tidak akan melakukan kesalahan seperti mengucapkan ‘Selamat Pagi’ sedangkan sudah masuk waktu tengah hari.
Saya juga jarang menggunakan contoh-contoh orang-orang ternama yang kita perolehi daripada buku-buku falsafah dan sejarah. Saya juga tidak suka menggunakan kata-kata orang ternama untuk menyakinkan penonton dan pendengar saya. Pinjaman kata-kata orang ternama yang berlebihan hanya akan memberikan gambaran seolah-olah ucapan kita adalah bahan ciplak atau tiruan.
Saya lebih suka menggunakan contoh-contoh setempat. Bagi saya contoh seharian biar mudah tetapi berlaku di sekeliling kita lebih sesuai dan mudah difahami. Saya tidak perlu menggunakan contoh-contoh pemikir agong untuk menyakinkan penonton atau menunjuk-nunjuk akan pengetahuan saya.
Sekiranya ucapan saya disampuk atau mendapat komen tertentu semasa penyampaian, saya juga akan cuba menggunakan sampukan atau komennya untuk disesuaikan dalam ucapan saya. Ini melengkapkan ucapan atau ceramah saya dengan adanya interaksi secara dua hala.
Saya tidak suka bergantung kepada teks ucapan yang panjang dan membacanya di atas pentas. Perbuatan ini sama seperti pelajar sekolah membaca petikan karangan dari buku teks. Pembaca ucapan sering kali lupa bahawa mereka masih mempunyai penonton yang hidup di bawah pentas.
Penyampaian ucapan dan ceramah secara sepontan memerlukan latihan. Ia juga memerlukan pemahaman yang mendalam tentang tajuk yang diperbincangkan. Sememangnya kita harus memperkatakan tentang apa yang kita tahu dan bukan apa yang kita tidak tahu.
Sebelum menyampaikan ucapan, kita juga harus sedar tentang kesesuaian pakaian yang akan dikenakan. Saya masih ingat akan satu peristiwa yang berlaku beberap tahun dahulu. Saya dijemput untuk mengacarakan satu pertandingan lumba perahu di tepi pantai.
Cuaca pada pagi itu agak panas dan angin bertiup dengan agak kuat. Maklumlah di tepi pantai. Semua ahli jawatankuasa penganjur memakai baju batik sementara petugas yang lainnya memakai baju-T yang ditaja oleh penaja minuman. Saya turut mengenakan sehelas batu-T penaja yang diserahkan kepada saya sehari sebelumnya.
Pengerusi jawatankuasa penganjur seorang ahli korperat tempatan terkemuka. Dia datang dengan launge suite lengkap dengan tali leher dan berkaca mata hitam. Gayanya sama seperti orang kenamaan yang membuat lawatan. Saya memang kenal dengan gaya korperatnya tetapi pakaiannya pada ketika itu tidaklah sesuai. Dia kelihatan begitu janggal berpakaian demikian di tengah-tengah penonton lain dengan pakaian biasa. Tetamu jemputan yang sepatutnya merasmikan acara tersebut juga memakai baju batik sahaja. Setelah sedar akan kesilapannya barulah ahli korperat itu cepat-cepat menukarnya sebelum majlis bermula.
Pakaian yang kemas dan sesuai dengan kehendak majlis akan memberikan gambaran kepada penonton atau peserta bahawa penceramah itu sensitif terhadap keadaan sekelilingnya. Kita juga tidak akan dilihat sebagai orang asing atau orang dari dunia luar yang ingin mendoktrinasi kita. Tambahan pula pakaian yang sesuai juga memberikan kuasa dan kewibawaan terhadap apa yang hendak disampaikan.
Pakaian yang sesuai juga perlu digabungkan dengan perwatakan yang baik ketika berada di atas pentas. Malah kita perlu menjaga tingkah laku kita sebaik sahaja masuk ke dalam dewan. Kemesraan yang ditunjukkan dengan bersalaman dengan peserta dan senyuman yang diberi memudahkan kita diterima.
Kesediaan seseorang penceramah menumpukan perhatian terhadap penceramah lain sebelum gilirannya juga amat penting. Perbuatan seperti tertidur, menguap atau membelek-belek nota kita ketika orang lain sedang berucap amatlah tidak sopan. Ia menunjukkan sikap sombong dan tidak menghormati orang lain. Membaca nota ucapan sendiri sebelum tiba giliran kita juga menggambarkan kita tidak bersedia dan boleh mengugat keyakinan penonton.
Semasa memulakan ucapan, ramai orang suka merendahkan diri dengan meminta maaf kerana terlambat disebabkan kesesakan lalulintas. Ada juga yang memberitahu bahawa dia kurang bersedia kerana kesuntukan masa atau baharu sahaja membuat persediaan semasa dalam perjalanan. Permulaan seperti ini besar padahnya.
Sikap merendahkan diri memanglah baik tetapi tidak harus dilakukan dalam pembukaan ucapan yang sekaligus menghilangkan keyakinan penonton. Penonton akan merasa tertipu, kecewa dan membuang masa apabila mendapati penceramah yang dijemput tidak bersedia atau tidak layak.
Dengan pembukaan yang berbentuk simpati akan hanya memaksa penonton melepaskan peluang atau merendahkan harapan. Mereka juga tidak akan lagi menumpukan perhatian kepada apa yang akan disampaikan oleh penceramah. Penceramah yang membuat pembukaan ucapan dengan cara merendahkan diri hanya akan menolak penontonnya dan bukan menarik mereka.
Bagi seorang guru yang telah biasa mengajar di dalam kelas, kadang-kadang kita akan merasakan bahawa kita mudah mendapat perhatian pelajar. Anggapan seperti ini tidak boleh digunapakai jika kita berhadapan dengan penonton lain yang bukan merupakan pelajar kelas yang kita ajar.
Pelajar dalam kelas mempunyai tanggungjawab untuk mendengar apa yang akan disampaikan oleh gurunya. Apatah lagi jika guru itu amat garang dan sering kali bertanyakan soalan kepada pelajar-pelajar yang tidak menumpukan perhatian.
Sebaliknya, seseorang penceramah kepada orang ramai tidak dapat menggunakan kaedah kewibawaan guru atau cara mengemukakan soalan kepada penonton untuk menarik perhatian. Kita terpaksa mencari jalan untuk menarik perhatian penonton dengan kebolehan kita menyampaikan ucapan, berinteraksi dan menyakinkan penonton.
Semasa menyampaikan ceramah bertajuk “Pengurusan Perubahan dan Tekanan” di Sekolah Menengah Teknik Tawau beberapa tahun lalu, saya menggunakan cara yang tersendiri untuk menarik perhatian dan menyakinkan peserta. Ceramah saya merupakan salah satu daripada beberapa sesi ceramah sempena program peningkatan staf yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Program itu berlangsung selama dua hari dan sesi saya dijadualkan pada pagi hari Ahad.
Tajuk ceramah yang diberikan kepada saya bukanlah senang apatah lagi untuk disampaikan kepada kira-kira seratus orang guru dan kakitangan sekolah termasuk pengeuanya, Puan Mary Yap. Tanggapan biasa kepada seorang penceramah apabila diminta menyampaikan ceramah ini ialah menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan. Pada mulanya saya juga mempunyai niat begitu tetapi setelah memikirkan kesannya saya tidak berbuat demikian.
Saya hadir dengan satu beg plastik kecil. Beg ini sedikit lebih besar daripada beg yang digunakan oleh kaum wanita untuk mengisi alat solek. Beg ini agak tidak serasi dengan pakaian lounge suite hitam yang saya kenakan. Saya ada sebab untuk berbuat demikian. Saya dapat merasakan jelingan daripada guru-guru yang memerhatikan saya.
Apabila saya dijemput untuk naik ke pentas, peserta-peserta kursus mula bersiap sedia dengan kertas dan pen untuk mencatatkan nota. Saya meminta mereka menyimpan semula barangan mereka. Saya memberitahun mereka jika saya datang dengan kertas kerja dan transparensi yang tebal, saya akan gagal menunjukkan cara menguruskan tekanan, sebelum saya memulakan ceramah saya. Perbuatan saya sendiri akan memberikan tekanan tambahan kepada mereka.
Suasana yang agak tegang menjadi tenang. Mereka cukup berpuas hati dengan cara saya dan pada airmuka mereka terbayang keriangan biarpun pada pagi hari Ahad yang sepatutnya hari rehat untuk mereka.
Saya memulakan ceramah saya dengan beberap jenaka yang menyebabkan mereka ketawa sehingga ada yang hampir mengeluarkan air mata. Jenaka saya membuatkan mereka merasa senang dan bersedia untuk menerima ceramah saya. Setelah menyediakan peserta dengan suasana yang dikehendaki barulah saya masuk kepada tajuk ceramah yang sebenar.
Saya memberitahu mereka bahawa untuk mengurus tekanan dengan baik kita harus tahu menyenaraikan tugas atau masalah kita mengikut keutamaan. Sebagai demonstrasi kepentingan keutamaan, saya mengeluarkan sebuah gelas daripada beg plastik saya. Saya mengisi gelas itu dengan batu kecil yang telah saya sediakan. Setelah penuh saya bertanya kepada semua peserta sama ada saya masih dapat mengisi gelas tersebut. Mereka jawab, tidak.
Saya kemudiannya mengeluarkan sedikit pasir dan mengisinya ke dalam gelas melalui celah-celah batu kecil tadi sambil menggoncang-goncangkan gelas itu. Saya bertanya lagi sama ada masih ada ruang untuk diisi. Kali ini semua orang diam kerana tidak tahu apakah helah saya seterusnya.
Saya menuangkan air minuman yang disediakan untuk saya ke dalam gelas tersebut. Kini sudah jelas bahawa tidak ada lagi apa-apa yang boleh diisi ke dalam gelas tersebut. Semua peserta masih tertanya-tanya apakah yang cuba saya sampaikan.
“Jika kita terbalikkan sususan pengisian tadi dengan air dahulu adakah saya masih dapat mengisi gelas ini dengan ketiga-tiga batu kecil, pasir dan air?” tanya saya. Mereka jawab tidak.
Lalu saya menjelaskan bahawa, jika kita dapat menyusun kerja kita, atau masalah yang hendak diselesaikan, mengikut keutamaan, kita akan dapat menyelesaikan lebih banyak masalah. Jika dilakukan sebaliknya kita akan bertambah dengan masalah lain. Semua orang tepuk tangan kerana dapat menerima mesej saya dengan jelas.
Saya sering menggunakan perkataan yang senang dan contoh yang mudah untuk menyampaikan mesej saya. Saya tidak perlu dan tidak akan menggunakan perkataan-perkataan yang canggih untuk sengaja menonjolkan kebolehan saya atau pengetahuan saya. Saya lebih suka penonton menganggap saya sebagai setaraf dengan mereka dan saya sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman, bukan menghujah dan mengajar.
Saya tahu, setiap kali saya berada di atas pentas, bukan sahaja suara saya dinilai, malahan setiap gerak-geri saya turut diperhatikan. Saya tidak mahu menjadi alat penyampai tetapi manusia yang boleh berinteraksi semasa mengemukakan sesuatu mesej kepada penonton saya. Dengan itu apabila saya menerim tepukan pada penghujung ucapan saya, saya tahu tepukan itu merupakan penghargaan bukannya tanda kelegaan kepada satu ucapan yang membosankan.