
Semasa pendudukan Jepun di Malaya kita pernah dipaksa untuk menyanyikan lagu kebangsaan Jepun. Kita dipaksa mempelajari bahasa Jepun. Kita dipaksa menggunakan wang Jepun. Kita dipaksa menghormati orang-orang Jepun.
Selepas kemerdekaan, kita mempelajari Bahasa Malaysia, Bahasa Kebangsaan. Harapan kita agar dengan adanya satu bahasa perantaraan utama yang digunakan oleh rakyat yang berlainan keturunan dan latar belakang, kita akan dapat bersatu padu.
Kita menterjemahkan segala macam bahan pendidikan yang boleh untuk membolehkan pelajar-pelajar kita mempunyai bahan pelajaran yang cukup yang sebagai buku teks dan juga buku rujukan. Kita mencipta pelbagai istilah kita sendiri untuk menjadi istilah kita sendiri.
Sekolah-sekolah aliran bahasa Inggeris yang diwarisi daripada penjajah Inggeris dengan perlahan-lahan ditukar kepada aliran kebangsaan. Pada zaman peralihan ini kebanyakan guru dan pelajar menghabiskan lebih banyak masa untuk memastikan penggunaan istilah yang betul dalam Bahasa Malaysia daripada pembelajaran yang sebenar. Selain daripada menggunakan kamus kita terpaksa juga merujuk kepada daftar istilah.
Ramai orang yang samar-samar apabila sampai ke institusi pendidikan yang lebih tinggi. Mereka juga menghadapi masalah baru kerana masih banyak bahan rujukan masih lagi dalam Bahasa Inggeris. Penterjemahan bukanlah satu kerja yang mudah dan dapat disiapkan dalam masa yang singkat. Tanpa satu badan yang khusus sebagai kawalan amatlah sukar untuk mewujudkan penyelarasan dalam buku-buku yang diterjemahkan.
Bagi pelajar yang lebih pandai mereka dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan bahasa Inggeris. Bagi mereka yang lebih perlahan penerimaannya, mereka ketinggalan dalam mata pelajaran mereka. Mereka terpaksa menjadi tukang tiru dan tukang salin daripada kawan-kawan yang lebih tahu jika meraka ingin meneruskan pelajaran mereka.
Bagi mereka yang tidak sanggup meniru dan menyalin, mereka menjadi kecewa dan marah. Untuk melepaskan geram mereka, mereka menimbulkan isu bahasa. Sememangnya bahasa merupakan isu yang amat sensitif. Mahu tidak mahu kita terpaksa akur kerana sememangnya sebagai rakyat Malaysia kita harus memberi keutamaan kepada bahasa kebangsaan kita.
Akibatnya, ada di antara kita yang menjadi begitu leka dan merasa puas dengan penguasaan satu bahasa yang sememangnya menjadi bahasa ibunda kebanyakan kita. Secara segaja atau tidak kita telah membelakangkan bahasa kedua kita iaitu bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris hanya digunakan oleh segelintir orang tertentu sahaja. Apa yang akan berlaku memang telah dijangka. Ramai graduan kita tidak mendapat pekerjaan yang baik kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.
Pengenalan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunisi (ICT) menjadikan dunia ini seolah-olah tanpa sempadan. Secara tiba-tiba kita menjadi satu keluarga besar yang tidak lagi terbatas. Kita mulai melihat dunia di luar kita dengan penuh ketakutan.
Maka dalam keadaan terpaksa dan tergesa-gesa kita cuba menggalakkan pengajaran mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Niat dan tujuannya memanglah baik. Kita tidak mahu anak-anak kita ketinggalan dalam era globalisasi. Semakin lama kita menunggu semakin rugi generasi muda kita.
Masalahnya tenaga pengajar kita kebanyakannya dilahirkan daripada aliran bahasa kebangsaan yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang minima. Penggunaan bahasa Inggeris bagi kebanyakan mereka hanya terhad kepada dalam bilik darjah dan dewan peperiksaan sahaja. Namun mereka inilah yang diharapkan akan dapat membawa perubahan kepada pelajar-pelajar kita.
Sekali lagi hasilnya sudah dapat diduga. Biar apa ganjaran dan imbuhan yang diberikan, kita tidak dapat mencapai tahap yang kita inginkan. Mungkin masanya terlaku singkat atau mungkin juga kita tidak sabar.
Yang menjadi mangsa adalah guru-guru yang dipaksa menggunakan bahasa yang masih asing kepada mereka sebagai bahasa perantaraan. Yang menjadi mangsa adalah pelajar-pelajar sekolah yang secara tiba-tiba terhumban ke dalam dunia yang asing. Tanpa penguasaan bahasa yang baik, adalah sukar untuk kita mempelajari mata pelajaran yang lain.
Jika kita ingin menuding jari, kita boleh salahkan ramai orang tetapi dalam keadaan sedemikian, itu adalah jalan keluar yang terbaik. Itulah yang terbaik yang boleh dilakukan untuk mengelakkan anak-anak kita menjadi orang asing dalam negara kita sendiri.
Memang kita mengharapkan guru-guru yang ditugaskan untuk menyampaikan mata pelajaran ini akan mengambil inisiatif sendiri untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing. Itulah sebabnya pelbagai ganjaran dan imbuhan diberikan. Kursus-kursus juga dijalankan.
Namun begitu, berapa orangkah yang mempunyai sikap yang positif yang boleh menerima perubahan ini sebagai satu cabaran dan peluang untuk memajukan diri dan meningkatkan diri kita ke tahap yang lebih tinggi? Jangan katakana guru, berapa orangkah di antara kita yang lebih bersedia untuk belajar daripada memberikan komen dan kritikan supaya cadangan ini tidak berjaya?
Bagi mereka yang tidak dapat menerimanya tentunya menjadi marah dan menyalahkan semua orang sehingga mengambil sikap 'tidak peduli' atau 'mereka bukan anak saya'. Kalau gajian bulanan sudah tetap dimasukan ke dalam akaun bank apalagi yang hendak disusah-susahkan?
Hakikatnya walaupun yang kita ajar dan yang kita didik pada kebanyakan masa bukanlah anak kita atau anak orang yang kita kenali. Yang jarang kita fikirkan ialah mereka ini mungkin akan menjadi guru atau pemimpin suatu hari nanti yang akan mengajar dan memimpin anak-anak kita. Secara tidak langsung kita sebenarnya menurunkan ilmu yang sama kepada anak-anak kita. Apatah lagi jika itulah sikap kita tentunya anak-anak kita juga akan terikut-ikut dengan sikap kita.
Dalam hidup ini kita umpama berada pada satu roda. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya kita di bawah. Orang yang pernah kita maki dan caci mungkin berada di atas kita. Kalau kita berada di atas hari ini jangan lupa kita akan turun ke bawah juga esok hari. Biarpun roda masih berpusing tetapi yang berada di esok hari mungkin bukan kita lagi.
Sewaktu kita sedar bahawa pelajar-pelajar kita terlalu bergantung kepada guru dan terlalu pasif kita cuba memperkenalkan kaedah pembelajaran secara penemuan diri. Maka lahirlah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Guru-guru seperti biasa dihantar untuk bekursus.
Kehadiran semasa kursus memanglah amat menggalakkan tetapi pengamalan yang sebenarnya dalam bilik darjah adalah terhad. Ramai yang tidak yakin dengan KBSR dan KBSM dan ramai pula yang lebih selesa dengan cara tradisional, cakap dan tulis. Kekurangan bilik darjah turut membantutkan kejayaan kaedah pengajaran yang baru ini. Lama kelamaan KBSR dan KBSM lenyap begitu sahaja.
Pengenalan pelbagai anugerah seperti Sekolah Harapan Negara menjadikan banyak sekolah berlumba-lumba untuk mendapat pengiktirafan darpada pihak kementerian pelajaran (sebelumnya pendidikan). Pengiktirafan pada asasnya adalah untuk pengetua atau guru besar dan tidak banyak faedahnya kepada guru-guru dan pelajar-pelajar. Itulah sebabnya guru-guru mulai merungut dan membantah tentang bertambahnya kerja-kerja pejabat sehingga melebihi kerja mengajar. Apa tidaknya, penilaian lebih bertumpu kepada laporan atas kertas dan bukannya entity sekolah itu sendiri.
Adalah satu rahsia yang terbuka bahawa sekolah yang inginkan anugerah ini berkerja bertungkus lumus untuk membuat transformasi secara mengejut dan mengenakan pelbagai kaedah solekan untuk menawan hati para hakim. Di sebalik solekan ini jarang terdapat satu budaya kerja dan budaya pembelajaran yang lebih praktikal, sihat dan berkekalan. Oleh itu banyak sekolah yang pernah mendapat anugerah Sekolah Harapan Negara merosot dengan cepat selepas itu.
Pada masa yang sama perlumbaan untuk mendapatkan pengiktirafan ini juga menjadikan sekolah-lah lebih mengutamakan keputusan terakhir, yakni keputusan peperiksaan, peratus kelulusan dan kedudukan sekolah berbanding dengan sekolah lain. Didikan yang sebenar sering diabaikan kerana semua orang mengambil jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Sistem menyumbat lemang diamalkan. Kita mempraktikkan cara keputusan menghalalkan segala perbuatan.
Bukan setakat pihak sekolah mengamalkan sistem sumbat lemang malahan ibu bapa juga turut berbuat demikian. Perlumbaan dan perbandingan anak-anak dalam pencapaian pendidikan begitu ketara. Kelas tuisyen menjadi begitu laris sehinggakan sekolah menjadi tempat berehat wajib bagi sebilangan pelajar.
Sudah amat sukar bagi kita mendengar ibu bapa atau orang tua memuji anak-anak mereka yang telah melakukan sesuatu kerja yang baik seperti menolong orang lain, membuat kerja amal dan mematuhi peraturan. Asalkan seseorang itu mendapat pencapaian akademik yang baik dialah wira dialah wirawati. Sikap yang mulia dan nilai-nilai murni yang cuba diterapkan di sekolah semakin tidak mendapat tempat dalam masyarakat kita.
Kita sudah lupa bahawa Falsafah Pendidikan Negara berhasrat untuk melahirkan seorang insan yang seimbang dari segi pencapaian akademik dan juga tingkah laku yang mulia. Kita sudah lupa bahawa penguasaan ilmu secara sumbat lemang akan melahirkan generasi yang terlalu bergantung kepada orang lain.
Buktinya sudah lama kita nampak. Graduan universiti kita tidak mampu mencari pekerjaan sendiri sedangkan anak-anak pendatang asing yang ditinggalkan ibu bapa mereka boleh mencari rezeki dengan menjaja kacang dan sayur di tepi jalan. Tidakkah ini merupakan satu tamparan hebat kepada kepada orang-orang yang dianggap terpelajar?
Apakah pelajar kita terlalu selesa dengan apa yang ada sehingga kita tidak langsung mengambil inisiatif untuk mencari rezeki bagi menyara diri? Apakah ibu bapa pada hari ini menimba harta dan kekayaan agar kehidupan anak-anak kita terjaga untuk beberapa keturunan?
Apakah bezanya anak-anak kita yang sedemikian dengan burung-burung dalam sangkar atau ikan dalam akuarium kita? Tidakkah dengan meletakkan burung dalam sangkar dan memasukkan ikan dalam akuarium kita sebenarnya akan menjamin makan minumnya sepanjang hayat?
Apakah kita menganggap anak-anak kita seperti kenderaan yang diserahkan kepada pemandu untuk menjaga dan membawanya? Apakah ibu bapa hari ini lebih selesa menjadi pengarah dan pengerusi dalam rumah dengan mengarah orang gaji menjaga dan mendidik anak kita sendiri? Apakah ini satu kelemahan kita atau kelebihan kita?
Mahu ke mana kita ini?
Setelah 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan kenapakah masih ada di antara kita yang begitu asyik mengungkit dan mempersoalkan kebijaksanaan pemimpin kita yang telah membebaskan kita daripada penjajahan? Kita seolah-olah memberitahu dunia bahawa kita lebih hebat daripada orang sebelum kita. Samalah seperti kita mendabik dada mengakui diri kita lebih hebat daripada ibu bapa kita.
Memang benar kita pandai dan lebih banyak belajar daripada ibu atau bapa kita tetapi sepandai-pandai kita, pandai lagi ibu bapa kita yang meletakkan kita di tempat yang kita ada pada hari ini. Fakta ini tidak boleh dipertikaikan. Sepandai-pandai kita, pandai lagi orang sebelum kita yang merancang dan menyediakan wadah untuk kita mencapai apa yang kita ada pada hari ini.
Apakah kita dapat memberikan penyelesaian yang lebih baik kalau kita sendiri yang berada dalam keadaan itu pada waktu itu? Satu keputusan yang baik dalah keputusan yang terbaik pada waktu dan ketika sesuatu perkara itu berlaku. Biarpun ia kelihatan kurang bijak pada hari ini tetapi ia adalah yang terbaik pada waktu itu.
Daripada kita mengungkit-ungkitkan cerita lama dan menconteng arang ke muka pemimpin lama kita, apakah tidak lebih bijak, pada waktu ini, untuk kita merancang dengan lebih teliti masa depan kita agar keputusan kita pada hari ini tidak dipertikaikan nanti seperti mana kita mempertikaikan orang sebelum kita?
Rakyat Negara China cukup marah dengan maharaja Shih Huang Ti yang mengorbankan begitu banyak nyawa yang tidak berdosa untuk membina Tembok Besar China. Pada hari ini, Tembok Besar China dan peninggalan Shih Huang Ti menjadi tarikan pelancong seluruh dunia. Sumbangan kezalimanan Shih Huang Ti kepada pendapatan negara melalui pelancongan pada hari ini amatlah lumayan sekali.
Sebaliknya jika rakyat China meroboh dan memusnahkan segala peninggalan sejarah Shih Huang Ti , apa akan jadi? Apa yang telah berlaku sudah berlaku. Tidak ada cara untuk menidakkan kewujudannya.
Dalam keadaan yang sama, kita seharusnya lebih menghargai sejarah dan pengalaman kita. Kita seharusnya tahu menilai baik dan buruknya atas apa yang telah berlaku dan beringat supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Menghina dan memburuk-burukkan kesilapan orang lain tidak menampakkan kematangan dan kewarasan kita. Kewibawaan kita terletak pada kebijiksanaan kita melaksanakan apa yang telah diamanahkan kepada kita bukan kebolehan kita memperkecilkan orang lain.
Kalau kita berteduh di pondok tepi jalan ketika hujan, jangan lupa kita tidak mendirikan pondok itu. Kalau kita menyeberangi sungai dengan titi, besar kemungkinan titi itu bukan binaan kita. Oleh itu kita harus tahu berterima kasih dan tahu bersyukur terhadap apa yang telah dilakukan oleh orang sebelum kita.
Yang harus kita lakukan bukan memperlekehkan kemudahan yang disediakan oleh orang sebelum kita tetapi mencari jalan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan lebih banyak kepada orang lain. Jagan kita menjadi orang yang hanya tahu meminta tetapi tidak tahu memberi.
50 tahun bukanlah satu jangka waktu yang pendek. Banyak yang boleh kita pelajari dan banyak yang boleh kita lakukan dalam tempoh 50 tahun. Janganlah 50 tahun kemerdekaan itu dijadikan sekadar angka untuk bermegah tetapi pemahaman dan penghayatan kita terhadap kemerdekaan yang sebenar tidakpun sampai 5 tahun.
Kita seharusnya mengorakkan langkah dengan lebih cepat dan tepat untuk mengharungi 50 tahun akan datang. Jadikan generasi kita generasi yang dihormati dan dikagumi di mata dunia. Jadikan diri kita sebagai orang yang boleh dibangga dan diteladani oleh generasi kita. Hari ini ramai orang akan menulis sejarah dan riwayat hidup kita tanpa kita sedari.
Malaysia milik kita bersama. Generasi akan datang tanggungjawab kita pada hari ini. Generasi lalu, guru kita.
Merdeka!