Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< April 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Wednesday, April 25, 2007
Cakap-cakap

 

Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh guru-guru di sekolah ialah pelajar-pelajar yang suka bercakap. Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh orang-orang penting yang menyampaikan ucapan juga merupakan penonton yang suka bercakap. Pendek kata jika orang lain bercakap semasa kita sedang bercakap, ia mendatangkan masalah, atau sekurang-kurangnya rasa tidak senang.

 

Percakapan pelajar-pelajar menjadi masalah apabila ia mengganggu proses penngajaran dan pembelajaran atau ia mengganggu sesuatu perjalanan majlis atau upacara. Masalah percakapan pelajar menjadi lebih serius apabila guru-guru tidak dapat meneruskan pengajarannya.

 

Begitu juga keadaannya apabila percakapan penonton boleh mengganggu perjalanan sesuatu majlis yang dihadiri oleh orang besar, orang ternama dan orang penting. Orang besar merasa malu apabila percakapan penonton lebih rancak dan lebih menarik berbanding dengan apa yang hendak disampaikan.

 

Bercakap semasa menghadiri sesuatu kelas, majlis atau upacara dianggap sebagai tidak menghormati majlis dan juga tidak menghormati orang yang sedang menyampaikan ucapan. Ia juga menunjukkan kita tidak menghormati diri kita sendiri kerana membenarkan perwatakan dan kelakukan kita dipertikaikan di khalayak ramai.

 

Keadaan yang paling unggul ialah apabila satu pihak bercakap sementara yang satu pihak lagi diam dan dengar. Ini samalah seperti penggunaan ‘walkie talkie’ atau penggilan radio. Jika kedua-dua pihak berebut-rebut untuk bercakap maka tidak siapa yang dapat mendengar sesiapa. Maka percakapan itu menjadi sia-sia.

 

Namun begitu ada perbezaan di antara guru-guru dan pembesar. Selain daripada menghadapi masalah pelajar-pelajar yang suka bercakap, guru-guru juga menghadapi masalah pelajar yang tidak suka bercakap. Keadaan ini amat unik.

 

Guru-guru atau pendidik yang bertanggungjawab memerlukan maklum balas daripada pelajar-pelajar yang dididiknya untuk mengetahui sama ada pembelajaran telah berlaku. Maklum balas ini akan membolehkan guru-guru mengatur stragegi selanjutnya bagi penyampaian yang lebih berkesan.

 

Salah satu maklum balas yang diperhatikan ialah dari segi percakapan. Tanpa percakapan atau perbualan, misalnya, adalah sukar bagi seseorang guru untuk mengukur pencapai pelajar dalam pembelajar bahasa. Percakapan adalah reaksi paling lumrah dan paling senang bagi guru-guru membuat penilaian.

 

Tanpa pelajar berdiri untuk memberikan jawapan, atau mengambil bahagian dalam pertandingan bahas, syarahan, kuiz dan sebagainya, seseorang guru mendapati sukar untuk mengetahui tahap keyakinan pelajar itu yang sebenarnya. Guru-guru harus dapat melihat sendiri pelajar-pelajarnya menerima ilmu yang disampaikannya dan menggunakan semula dalam situasi yang memerlukannya.

 

Maklum balas seperti ini menjadi unsur yang paling penting dalam menjayakan pendidikan secara dua hala. Jika guru-guru cuma mengamalkan kaedah mengisi pulut dalam buluh seperti penyediaan lemang, maka kita sebenarnya menganggap pelajar-pelajar itu sebagai bahan mentah dalam kilang yang sama jenis untuk diproses menjadi barangan siap, dengan menggunakan satu cara dan kaedah sahaja. Bahan-bahan mentah dalam kilang memang dipilih sedemikian agar sama jenis supaya dapat menghasilkan kualiti yang tetap.

 

Hakikatnya pelajar-pelajar di sekolah bukan produk kilang. Sekolah bukan kilang dan guru-guru bukan operator kilang. Setiap pelajar mempunyai tahap kebolehan yang tersendiri. Setiap pelajar mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman tersedia yang tersendiri. Setiap pelajar juga mempunyai citarasa dan potensinya masing-masing. Cara dan kaedah untuk mendidik dan membimbing setiap individu ini adalah berbeza. Tidak ada satu cara khusus atau tetap untuk mendidik pelajar-pelajar. Itulah yang membezakan sekolah dengan kilang.

 

Tindakan segaja mengabaikan faktor maklum balas dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab. Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah inilah hakikatnya. Adakah ini disebabkan guru-guru pada hari ini juga dilahirkan dengan cara sedemikian sehingga pontensi diri, kebolehan diri dan kemahiran diri tidak lagi dijadikan ukuran dan pilihan? Maka sekolah semakin disamakan dengan kilang?

 

Berbalik kepada kepada orang penting yang menyampaikan ucapan dalam satu-satu majlis. Masalah mereka hanyalah penonton yang lebih suka bercakap sesama sendiri daripada mendengar ucapan yang disampaikan. Ramai yang merasa merasa kecil hati dan marah kepada penonton yang tidak mendengar cakap. Yang tidak pernah dirasai ialah adakah dia sendiri merasai apa yang dirasai oleh yang diharapkan dapat mendengar.

 

Amat jarang sekali maklum balas daripada penonton menjadi masalah kepada orang penting yang menyamapaikan ucapan. Tepukan tangan sebelum ucapan dimulakan dan selepas ucapan selesai sudah memadai bagi sesetengah orang. Sayangnya itu bukan maklum balas yang sebenar, dan ia mungkin memberikan isyarat atau petanda yang salah.

 

Dalam kebanyakan masa maklum balas kepada orang penting yang menyampaikan ucapan dianggap tidak penting. Ia tidak pernah diminta. Ramai orang tidak sedar bahawa tidak ramai orang yang menumpukan perhatian semasa ucapan disampaikan. Sekalipun ada orang memberikan tepukan tetapi pada kebanyakan masa ramai yang tidak sedar untuk apa mereka memberikan tepukan. Mereka sekadar mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain.

 

Orang yang mendengar ucapan barangkali mereka yang berkepentingan. Yang pasti jika ada wartawan yang hadir bersama-sama, maka mrekalah yang akan mendengar ucapan yang disampaik. Mereka terpaksa kerana ada tugasan dan laporan yang perlu dibuat berdasarkan ucapan yang disampaikan.

 

Ini juga menjelaskan kenapa dalam banyak keadaan orang yang menyampaikan ucapan di atas pentas seolah-olah terasing daripada keadaan majlis yang sebenar. Dia seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri. Bukan sahaja ucapan yang disampaikan (sering kali dibaca tanpa melihat penonton) tidak ada kaitan langsung dengan majlis yang dihadiri malah ada yang sampai tidak sedar akan apa yang berlaku di sekelilingnya.

 

Masalah ini timbul kerana ucapannya sering kali ditulis oleh orang lain dan dia sekadar membaca pada ketika itu sahaja tanpa mengetahui isi dan implikasinya, apatah lagi untuk memahami dan menjiwai apa yang disampaikan. Apabila dilaporkan dalam akhbar dan mendapat reaksi yang tidak sepatutnya, maka media akan dipersalahkan kerana salah memetik ucapan yang diberikan.

 

Orang yang pandai bercakap seharusnya lebih pandai mendengar. Jika kita berebut-rebut untk bercakap dengan orang lain, maka kita sekadar bercakap kosong. Percakapan kita sekadar memuaskan nafsu kita untuk bercakap. Bercakap sekadar untuk bercakap.

 

Sebenarnya, dalam kehidupan kita seharian, pada kebanyakan masa kita hanya bercakap untuk diri kita sendiri dan bukan untuk orang lain. Cuma dalam fikiran kita, kita bercakap dengan orang lain. Amat jarang sekali kita berfikir, adakah apa yang hendak kita cakap itu sesuai dan akan diterima orang? Adakah cara kita bercakap akan mendapat hasil yang dikehendaki? Adakah percakapan kita jelas? Adakah maksud kita dapat diutarakan dengan percakapan kita? Adakah tempat kita hendak bercakap itu sesuai?

 

Yang sedihnya ramai di antara kita yang tidak sedar. Kita menganggap bahawa apa yang kita perkatakan itu akan didengar dan diterima oleh orang lain. Kita sekadar buka mulut dan melemparkan kata-kata yang kita hendak perkatakan. Kadang-kadang dalam keghairahan kita untuk bercakap, perkataan yang keluar daripada mulut kita berbeza daripada apa yang ada dalam fikiran kita. Jarang kita sedar kita tersilap kata sehinggalah diberitahu.

 

Bagi mereka yang pernah ke lapangan terbang, daripada sekecil-kecil lapangan Lahad Datu di Sabah yang hanya boleh membenarkan pendaratan pesawat jenis Fokker 50 sehinggalah kepada sebesar-besar Lapang Terbang Antara Bangsa Kuala Lumpur (KLIA), masalah pengumuman tidak pernah diperbaiki dari dulu hingga sekarang. Inilah persamaan di antara kedua-dua buah lapangan terbang, pengumuman yang tidak jelas.

 

Pengumuman yang dibuat melalui sistem siaraya jarang sekali dapat didengar dengan jelas oleh penumpang atau pengunjung Lapangan Terbang. Suara mereka sama ada terlalu kuat hingga menyakitkan telinga atau terlampau perlahan sehingga tidak kedengaran. Pada kebanyakan masa pula percakapan mereka bertindih-tindih sehingga kita terpaksa membuat teka-teki sendiri akan apa yang diperkatakan. Tidak hairanlah kenapa kadang-kadang selepas banyak kali sesuatu pengumuman dibuat, tidak ada sambutan atau hasil yang diperolehi.

 

Apabila membuat pengumuman di kawasan lapang seperti lapangan terbang melalui sistem siaraya, biar secanggih mana sekalipun, kadar percakapan kita haruslah diperlahankan supaya ia tidak ditenggelami pantulan suara kita sendiri. Percakapan yang laju atau pada kadar biasa menyebabkan suara yang keluar daripada pembesar suara menjadi seolah-olah bersambung-sambung antara semua perkataan. Percakapan yang perlahan akan membolehkan setiap perkataan didengar dengan jelas. Dengan cara ini pengumuman kita akan menjadi jelas dan mudah difahami tanpa perlu orang yang berkenaan bertanya berulang kali di kaunter maklumat.

 

Sebenarnya, masalah seperti ini bukanlah sukar untuk diatasi. Orang yang membuat pengumuman cuma perlu mendengar sendiri pengumumannya melalui sistem siaraya bukan melalui mulut atau pembesar suara yang berdekatan dengannya. Orang yang tidak mahu mendengar suaranya sendiri sama seperti orang yang bersolek tanpa menggunakan cermin.

 

Yang hairannya, keadaan ini masih berterusan untuk sekian lama. Apakah mungkin orang yang membuat pengumuman ini begitu yakin dengan suaranya sehingga tidak langsung mendengarnya semula seperti mana yang didengari oleh orang lain.

 

Harus diingat bahawa sebarang percakapan kita, termasuk membuat pengumuman, sebenarnya bukannya untuk kita sendiri, tetapi untuk orang lain yang menjadi sasaran kita. Kita mahu apa yang kita katakan itu didengar, difahami dan diambil tindakan jika sesuatu tindakan diperlukan. Kalau tidak sekurang-kurangnya untuk peringatan.

 

Itulah sebabnya filem yang memenangi pelbagai anugerah dalam pertandingan tidak semestinya filem yang paling laris dan mendatangkan paling banyak keuntungan. Filem yang dibikin untuk memenangi anugerah tidak semestinya filem yang diminati penonton. Larisnya sesebuah filem bergantung kepada penerimaan penonton. Jika inginkan keuntungan daripada pembikinan filem, buatlah filem yang dapat diterima dan mengikut citarasa penonton.

 

Dengan ini, adalah amat logik sekali bagi kita memastikan  bahawa mesej kita benar-benar sampai kepada sasaran kita yang sepatutnya. Selain daripada mendapat maklum balas daripada sasaran kita, adalah mustahil untuk kita mengetahui hasilnya. Kalau kita hanya bercakap dan tidak tahu mendengar kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini.

 

Dalam keadaan yang sama, jika kita menginginkan ucapan kita didengari dan difahami serta mesej yang hendak kita sampaikan itu, benar-benar diterima oleh penonton, maka kita sendiri harus tahu memerhati, membaca dan mendengar reaksi atau maklum balas penonton. Ucapan kita haruslah mengutamakan sasaran kita dan bukannya memuji diri sendiri. Kita harus banyak berinteraksi dengan penonton dan bukannya sekadar membaca seperti perjalanan keretapi waktu malam.

 

Selain daripada itu percakapan kita haruslah berisi dan bermakna. Sekalipun cerita-cerita fitnah, kontroversi dan sensasi menjadi kesukaan penonton, ia haruslah dielakkan. Cerita-cerita sedemikian yang diselitkan dalam ucapan kita tidak menjadikan diri kita popular tetapi menjadikan kita pelawak tanpa haluan. Sorakan dan tepukan penonton bukanlah untuk kita. Kita sebenarnya gagal kerana mesej kita tidak kesampaian.

 

Penonton, pendengar dan pembaca hari ini sudah semakin kritikal. Orang-orang yang pandai berputar belit dengan kata-kata sebenarnya tidak ada tempat. Sayangnya masih ramai lagi orang yang tidak sedar dan menggunakan bahasa ‘tai chi’ dalam percakapan mereka.

 

‘Tai chi’ adalah sejenis seni mempertahankan diri orang Cina. Kelebihannya terletak pada keupayaan seseorang pengamal ‘tai chi’ mengelakkan serangan yang kuat dengan kekuatan diri yang kecil dan pengawalan pernafasan yang baik. Pada hari ini, ‘tai chi’ dipelajari bukan untuk mempertahankan diri daripada serang musuh tetapi untuk tujuan kesihatan. Akan tetapi ramai orang suka menggunakan konsep ‘tai chi’ untuk mengelakkan diri.

 

Ramai pemimpin yang terperangkap dalam sesuatu keadaan yang kurang senonoh akan cuba menggunakan bahasa ‘tai chi’ untuk mengabui mata pendengar dan mengelakkan diri. Mereka pandai mengalihkan pandangan dan tumpuan daripada perbincangan yang sebenar. Mereka juga pandai menyalahkan orang lain. Akan tetapi, pendengar pada hari ini dengan mudah akan dapat mengesan bahasa ‘tai chi’ yang digunakan.

 

Kekerapan seseorang menggunakan bahasa ‘tai chi’ untuk mengelakkan diri lambat laun akan kehilangan kredibilitinya. Lama-kelamaan, apa yang disampaikan tidak lagi didengar oleh kumpulan sasarannya. Maka sebarang percakapannya, biar sepenting mana, akan menerima nasib yang sama seperti pengumuman di lapangan terbang. Dengar atau tidak sama sahaja. Lebih baik tidak dengar.

 

Memang telah berulang kali diingatkan bahawa kita dilahirkan dengan satu mulut dan dua telinga. Ini bermakna kita diharapkan lebih banyak mendengar daripada bercakap. Bercakap bila perlu dan percakapan itu biarlah penting dan sampai kepada orang yang hendak kita tujui.

 

Sekalipun kita adalah orang penting dalam satu-satu majlis, kehadiran penonton, peserta dan pendengar belum tentu menonton dan mendengar apa yang ingin kita sampaikan jika kita tidak tahu menghormati semua hadirin kita. Kedudukan kita tidak memberikan tiket automatik kepada kita untuk mendapat sambutan dan sanjungan. Penghormatan, sambutan dan sanjungan ikhlas datang daripada diri kita sendiri iaitu sejauh mana kita memahami dan menghormati orang lain.

 

Daripada kita menjadi pelawak tanpa diundang lebih baik kita menjadi pelawak jemputan. Kejayaan pelawak ialah dapat menyelitkan maklumat penting di antara jenaka. Orang ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu untuk melihat dan mendengar pelawak jemputan tetapi bukan pelawak tanpa diundang yang membodoh-bodohkan diri sendiri.

 

Cakap-cakap? Dengar dulu!


Dicatat pada 06:37 pm oleh cikgulee

Zul
July 13, 2007   01:12 PM PDT
 
Kadang2 tu plak yg bagi ucapan terlalu banyak sangat cakap!

:-)
amirahsyuhada
June 23, 2007   11:33 PM PDT
 
sukar untuk menarik perhatian pelajar yang erlalu suka bercakap pada masa kini, mereka tak mengendahkan guru yang sednag mengajar. Kalaulah boleh setkan mulut mereka kepada setting walkie talkie, mungkin tak ramai cikgu yang sakit jiwa
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry