
Ada sebuah syarikat memiliki sebuah gudang kosong. Suatu hari pihak pengurusan syarikat bermesyuarat membincangkan gudang kosong tersebut. Kebimbangan disuarakan bahawa mungkin gudang yang tidak digunakan akan disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab seperti dijadikan sarang penagih dadah. Dengan itu mesyuarat dengan sebulat suara memutuskan untuk menggajikan seorang pengawal keselamatan untuk menjaga gudang tersebut.
Selang beberapa lama pihak syarikat bermesyuarat lagi dan sekali lagi gudang hal kosong dibincangkan. Ada yang merasakan jika pengawal keselamatan tidak diselia atau diawasi maka kerjanya mungkin menjadi sia-sia. Dengan itu mesyuarat memutuskan untuk menggajikan dua orang kakitangan tambahan. Seorang menyediakan jadual bertugas dan seorang lagi mengawasi kerja-kerja pengawal keselamatan.
Pada bulan berikutnya pihak syarikat memanggil mesyuarat lagi sekali untuk membincangkan perkara yang sama. Ada cadangan mengatakan bahawa dengan pertambahan kakitangan kerja-kerja mereka harus dipantau untuk memastikan kerja-kerja yang dilakukan adalah berkualiti. Cadangan tersebut dianggap baik dan diterima. Maka mereka memutuskan untuk menambahkan dua orang lagi kakitangan baru bagi tujuan kawalan mutu kerja.
Pada penghujung tahun, mesyuarat tahunan dipanggil untuk menilai semula pencapaian syarikat secara keseluruhan. Adalah dilaporkan bahawa syarikat telah membuat perbelanjaan tambahan sebanyak RM55,200. Setelah perbincangan panjang lebar mereka mendapati perbelanjaan tambahan tersebut berpunca daripada pengajian pengawal keselamatan.
Dengan itu, mereka yang bermesyuarat dengan sebulat suara membatalkan perkhidmatan pengawal keselamatan tersebut. Keputusan tersebut dianggap baik kerana semuanya melalui saluran yang betul dan keputusan diambil secara kolektif.
Cerita pertama berakhir di situ.
Dalam satu perlumbaan perahu. Pasukan A telah kalah teruk kepada Pasukan B. Pasukan A amat tidak puas hati kerana ahli pasukan mereka semuanya kuat-kuat belaka. Lagipun mereka telah membuat latihan selama 3 bulan sebelum perlumbaan diadakan.
Pihak pengurusan telah memanggil satu mesyuarat bedah siasat untuk mengetahui punca kegagalan dan kekalahan Pasukan A. Akan tetapi mesyuarat tersebut tidak mendapat sebarang hasil kerana masing-masing mengganggap diri mereka telah melakukan yang terbaik. Malahan ada yang menyalahkan cuaca dan sorakan penonton.
Tidak puas hati dengan hasil mesyuarat, Pasukan A meminta bantuan sebuah syarikat perunding dalam sukan lumba perahu. Setelah sebulan, pihak perunding memaklumkan kepada Pasukan A punca sebenar kekalahan mereka. Pasukan A dan B masing-masing mempunyai 8 orang anggota. Apa yang berbeza ialah Pasukan A mempunyai 7 orang ketua dan seorang pendayung. Sementara Pasukan B mempunyai seorang ketua dan 7 orang pendayung.
Atas nasihat perunding, Pasukan A melantik seorang jurulatih luar negara. Latihan dijalankan 6 bulan sebelum perlumbaan yang seterusnya. Pihak pengurusan pula melawat ahli pasukan hampir pada setiap hari semasa latihan dilakukan. Kata-kata perangsang diberikan kepada ahli pasukan. Perkembanan latihan mereka pula dilaporkan dalam akhbar dan media tempatan. Kelapan-lapan orang ahli pasukan ini dianggap sebagai wira dan mereka cukup yakin akan memenangi perlumbaan yang akan datang. Banyak juga pihak yang menawarkan hadiah dan ganjaran kepada Pasukan A jika mereka dapat menang kali ini.
Pada masa yang sama satu kelab penyokong juga diwujudkan untuk memberikan sokongan kepada Pasukan A. Pelbagai cenderamata disedikan untuk dijual dan dihadiahkan kepada penyokong. Ada juga pihak yang menganjurkan pertandingan SMS bersempena dengan perlumbaan yang akan datang.
Pada hari perlumbaan. Sekali lagi Pasukan A kalah teruk kepada Pasukan B. Pihak media amat terkejut dengan keputusan perlumbaan itu dan meminta ulasan daripada jurulatih pasukan. Jurulatih pasukan menyuarakan rasa tidak puashatinya kerana campur tangan pihak pengurusan dalam latihan dan strategi beliau. Beliau juga mendedahkan keinginan asalnya untuk meletakkan seorang ketua dan 7 orang pendayung seperti Pasukan B tetapi dibantah oleh pihak pengurusan. Akhirnya mereka terpaksa bertanding dengan 5 orang ketua dan 5 orang pendayung.
Setelah berita jurulatih disiarkan dalam media massa, pihak pengurusan pasukan amat marah dengan tindakan jurulatih kerana bercakap kepada media tanpa kebenaran mereka. Dengan serta merta perkhidmatan jurulatih asing itu ditamatkan.
Sementara itu, pihak perunding pula dibayar dengan ganjaran yang amat tinggi kerana memberikan perkhidmatan yang baik. Pihak pengurusan pula membuat lawatan ke luar Negara untuk meninjau sendiri kemahiran dan strategi pelumba perahu yang lain, kononnya untuk memajukan Pasukan A.
Apa yang lebih menarik ialah beberapa tahun selepas itu setelah akaun ditutup dan terbongkar kepada orang ramai, adalah didapati bahawa perbelanjaan pihak pengurusan jauh lebih tinggi daripada perbelanjaan yang dibayar kepada jurulatih asing serta perbelanjaan ahli pasukan.
Apa yang terjadi kepada Pasukan A? Pasukan tersebut tidak pernah menang biarpun jurulatih bertukar ganti dan banyak rombongan ke luar Negara dibuat oleh pihak pengurusan.
Cerita kedua berakhir di sini.
Dua buah cerita di atas rasanya amat serupa dengan apa yang terjadi di sekeliling kita. Amat banyak kejadian yang sama dilaporkan ataupun tidak dilaporkan tetapi diketahui umum. Yang menyedihkan kita, kejadian seperti ini terus berlaku dan perkembangan yang dapat kita lihat pada hari ini, kejadian seperti ini akan berterusan.
Dalam isu kenaikan harga minyak yang diumumkan pada malam 28 Februari 2006, selain daripada pihak kerajaan sendiri, nampaknya tidak ramai orang yang bersetuju dengan langkah kerajaan menaikkan harga minyak atau bahan bakar sebanyak 30 sen seliter. Semua alasan yang diberikan nampaknya tidak dapat menyakinkan orang ramai. Malah ramai yang mulai merasa sangsi terhadap tujuan sebenar kerajaan menaikkan harga minyak dengan begitu banyak. Tambahan pula harga minyak global pada masa kini sedang menunjukkan tren menurun bukan sebaliknya.
Alasan bahawa penarikan balik subsidi minyak yang diberikan oleh kerajaan selama ini membebankan kerajaan sukar diterima. Jaminan bahawa wang RM4.4 Billion yang terjimat daripada penarikan balik subsidi minyak dalam setahun dapat digunakan untuk meningkatkan taraf infrastruktur dan sistem pengangkutan juga tidak menyakinkan. Begitu juga dengan jaminan bahawa harga barangan dan perkhidmatan lain tidak akan meningkat akibat daripada kenaikan harga minyak tidak sedikit mencerminkan keadaan yang sebenar.
Biarpun RM4.4 Billion benar-benar dibelanjakan untuk meningkatkan infrastruktur dan system pengangkutan di negara ini, adakah ia akan dapat dinikmati oleh semua rakyat? Kalau penumpuan dan keutamaan diberikan kepada ibu kota dan bandaraya seperti Kuala Lumpur, berapa peratuskah daripada penduduk di negara ini yang akan sampai ke Kuala Lumpur untuk menikmatinya? Mungkin kita tidak sedar bahawa majoriti daripada rakyat kita belum pernah pergi ke Kuala Lumpur, jauh sekali untuk merasa bangga dengan kemajuan dan kemudahan yang terdapat di Bandaraya Membeli Belah.
Memang benar pada ketika susah kita harus mengubah gaya hidup kita, berbelanja hanya pada ketika perlu. Bagi mereka yang berada, kenaikan harga biar berapa banyakpun tidak akan dirasai. Bagi mereka yang sederhana, mungkin mereka boleh membeli apa diperlukan sahaja atau mengurangkan kuantitinya. Mungkin ini yang dianggap sebagai mengubah gaya hidup.
Akan tetapi bagi mereka yang miskin, yang merupakan golongan teramai di antara kita, mereka hanya mempunyai satu gaya hidup, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka tidak ada pilihan lain. Mereka tidak ada alternatif lain yang membolehkan mereka berubah atau membuat pilihan. Orang miskin tidak akan dapat mengubah cara hidupnya kecuali dia mendapat wang yang lebih banyak.
Kenaikan harga minyak telah menyebabkan banyak barang dan perkhidmatan wajib turut dinaikkan harga. Kenaikan harga minyak umpama air pasang, apa-apa yang timbul akan turut timbul. Yang lainnya akan tenggelam. Biarpun harga minyak cuma naik sebanyak 30 sen tetapi harga barangan dan perkhidmatan lain telah melambung berlipat kali ganda. Biarpun amaran diberikan oleh pihak berkuasa, harga tetap dinaikkan sama ada secara terpaksa mahupun sengaja kerana mereka ada alasan baru untuk berbuat demikian.
Kenaikan harga ini dirasai dan mempengaruhi setiap orang, setiap rakyat pada pelbagai peringkat dan golongan. Sama ada mereka pernah sampai ke Kuala Lumpur atau tidak mereka terpaksa menghadapi kenaikan dan ini. Mereka tetap menanggung beban yang datang secara tiba-tiba ini. Kenaikan harga minyak telah menjejaskan makan minum harian golongan berpendapatan rendah. Ia telah menambahkan beban mereka yang sememangnya selama ini terbiar dan tertekan. Beban mereka, biarpun tidak sampai RM4.4 Billion tetapi jauh lebih berat daripada apa yang dipikul oleh kerajaan.
Adalah mudah bagi mereka yang berada untuk memahami hasrat kerajaan bahawa pengurangan penggunaan bahan baker adalah untuk kegunaan masa akan datang. Akan tetapi bagi golongan miskin, ini soal hidup dan mati. Apa yang paling penting dan utama ialah hidup, makan, minum dan tempat berlindung untuk keluarga mereka. Kepentingan negara bukan masalah mereka dan mereka tidak terdaya untuk memikirkannya. Mereka sebenarnya mengharapkan perlindungan, pembelaan, belas kasihan dan keperihatinan daripada orang yang lebih berada, yang lebih berkuasa.
Kerajaan yang menanggung beban adalah kerajaan yang bertanggungjawab. Itulah perlunya kita mempunyai wakil rakyat dan kerajaan. Kita mahu hak kita, kepentingan kita, kebajikan kita dan masa depan kita terjamin dan terjaga. Kerajaan bukan badan korporat dan bukan syarikat perniagaan. Untung rugi dari segi wang ringgit tidak seharusnya dijadikan pengukur kepada jaya atau gagalnya sesebuah kerajaan.
Penjimatan kerajaan tidak seharusnya didasarkan kepada kenaikan harga bahan bakar yang seperti api liar dengan pantas merebak ke seluruh. Kerajaan mungkin mengurangkan beban 30 sen bagi setiap liter minyak tetapi rakyat menanggung lebih daripada itu. Orang yang tidak menggunakan minyak disel atau petrol turut dibebani.
Penjimatan seharusnya datang daripada kesungguhan kita dari segi penguatkuasaan terhadap penyeludupan, penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa, pembaziran dan usaha kita dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Inilah sebenarnya gaya hidup yang telah sekian lama berada dalam diri kita yang sepatutnya diubah, dikikis dan dihapuskan. Gaya hidup inilah sebenarnya yang lebih membebankan negara dan setiap rakyat. Penjimatan dari segi ini jauh melebihi RM4.4 Billion.
Untuk menyelesaikan sesuatu masalah kita haruslah bersungguh-sungguh dalam mencari punca masalah. Kita harus fokus pada punca masalah yang sebenar. Kita harus bersedia untuk menerima hakikat bahawa kita telah tersilap dan apa yang kita lakukan selama ini adalah salah. Kita juga harus berani untuk mengubah bermula daripada diri kita sendiri dan jangan terlalu sibuk mencari alasan untuk menyalahkan orang lain.
Selagi jari kita masih menuding kepada orang lain, mata kita masih menjeling kepada orang lain dan selagi mulut kita masih mengatakan orang lain, selagi itu kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang ada malahan menambahkan lagi masalah yang sedia ada.
Kalau memburu di hutan, jangan sampai rakan buru dijadikan rusa atau harimau. Kalau merumput di padang biarlah akar umbinya dicabut dan dibakar, jangan sekadar memotong rumput di permukaan sahaja.
Kalau menembak biarlah tepat pada sasaran.