Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)


<< November 2005 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30

Metacrawler Search
Site search Web search

powered by FreeFind

Untuk Dijual

Jaringan

Kem Pelajaran
Portal Pendidikan
Maktab Perguruan
PBSMM Blogroll Cikgu Lee!


Project Petaling Street



Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Tuesday, November 08, 2005
Melatah

Yogyakarta, Indonesia
 Duduk baik-baik, nanti melatah!

 

Guru Sastera saya dahulu seorang yang amat serius. Dia jarang senyum. Pakaiannya amat kemas dan bergaya macam menteri. Misai lebatnya menambahkan ketegasannya. Pengajarannya baik, jelas dan mudah difahami. Apa yang membuatkan saya meningatinya bukan pengajarannya tetapi satu cerita yang jarang diketahui orang.

 

Suatu petang kami sedang mengadakan perbincangan di kantin sekolah. Kami duduk di atas bangku panjang. Guru Sastera kami tiba selepas semua orang sudah duduk. Lalu dia duduk di penghujung bangku. Dia hanya mendengar perbincangan kami dan memberikan pandangan apabila perlu.

 

Tiba-tiba kami teringatkan sesuatu yang tertinggal. Maka dengan serentak dua orang pelajar yang duduk sebangku dengan Guru Sastera bangun. Ini menyebabkan bangku tersebut berat sebelah dan hilang imbangannya. Guru Sastera hampir-hampir terjatuh dengan perbuatan dua pelajar yang bangun secara tiba-tiba.

 

Nasib baik dia tidak terjatuh kerana tindak balasnya cepat. Dalam kepantasan tindak balasnya, dia melatah. Latahannya amat mengejutkan kami. Perkataan yang amat tidak senonoh terkeluar daripada mulutnya. Terbeliak mata kami melihat Guru Sastera kami melatah. Mukanya merah padam.

 

Seorang pelajar perempuan berkata, “Apalah Cikgu!”

 

“Habis terjatuh!,” jawab Guru Sastera sambil senyum.

 

Itulah senyuman pertama daripada Guru Sastera kami dan itulah juga senyuman yang amat tidak selesa baginya.

 

Bagi saya yang membesar di kampung, saya sudah biasa dengan orang yang melatah. Saya telah menyaksikan pelbagai macam latahan orang, laki-laki dan perempuan, tua dan muda.

 

Ramai orang mudah melatah apabila pinggangnya dicucuk sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Ada juga orang melatah apabila terkejut umpamanya diserkah atau ada benda terjatuh.

 

Latahan biasa melibatkan sebutan yang kurang elok secara tidak sengaja dan tidak terkawal. Latahan yang melampau mungkin sampai menari-nari, terikut-ikut dengan suruhan orang yang mencucuknya dan ada yang hilang kawalan diri untuk beberapa lama.

 

Ada orang menganggap melatah itu semacam penyakit dan ada juga menganggapnya sebagai sebahagian daripada tabiat atau budaya orang tertentu. Ada orang melatah dengan menyebut kata-kata yang tidak senonoh kerana apa yang disebut memang sudah ada di dalam fikirannya buat sekian lama. Ada juga orang yang melatah dengan menyebut apa-apa perkara yang tidak baik yang sengaja disebut padanya sebelum melatah. Jika baik disebutkan maka baiklah perkataan yang dilatahkan. Jika sebaliknya maka yang sebaliknya juga dikitarkan.

 

Dengan penghijrahan terutamanya dari desa ke Bandar dek kemajuan sistem pengangkutan, pergaulan dengan masyarat luar menjadi lebih kerap. Pergaulan ini akhirnya membawa kepada pengabungjalinan budaya dan pada masa yang sama juga mengurangkan tabiat melatah. Akan tetapi satu bentuk melatah yang baru telah timbul di kalangan masyarakat kita.

 

Baru-baru ini Dewan Rakyat gempar dengan perkataan ‘keling’ yang dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen. Biar apapun penjelasan dan alasan yang diberikan oleh sesiapa sahaja untuk membela atau memihak kepada Ahli Parlimen tersebut bagi saya, perkataan yang telah diketahui dapat menimbulkan kemarahan orang India, tidak harus digunakan langsung, apatah lagi dalam Dewan Rakyat yang begitu mulia. Mencarut dan melatah di Parlimen sama seperti tidak menghormati Dewan dan rakyat yang telah memilihnya. Perbuatan demikian dengan sendirinya merendahkan martabat ahli tersebut. Orang yang dihormati adalah orang yang tahu menghormati orang lain.

 

Semasa membuat penjelasan tentang isu AP (Approved Permit) di Dewan Rakyat yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah melemparkan kata-kata, “I’ll sue you!” (Saya akan mendakwa awak) ketika dicelah oleh ahli dewan yang lain. Semua orang tahu bahawa apa yang dituturkan di dalam dewan tidak boleh dibawa ke mahkamah. Jadi ancaman untuk mengambil tindakan undang-undang itu adalah melatah semata-mata. Ia juga memperlihatkan betapa seseorang yang selama ini begitu tenang tetap akan hilang kesabarannya pada saat semua orang sedang memerhatikannya.

 

Berkaitan dengan isu AP juga, apabila dibangkitkan kerugian yang dialami oleh Kereta Nasional, Proton, mantan Perdana Menteri meminta agar Proton ditutup. Semua orang tahu beliau marah dan kecewa dengan apa yang berlaku. Ia sebenarnya satu latahan. Semua orang juga tahu bahawa bukan mudah untuk menutup sesebuah perusahaan Negara dengan begitu sahaja apatah lagi periuk nasi beribu-ribu orang bergantung kepada Proton. Wang rakyat berjuta-juta rakyat telah dihabiskan untuk menjayakan projek Kereta Nasional ini.

 

Semasa mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa kes tekanan mental semakin meningkat di kalangan guru, Menteri Pelajaran berkata jika tidak tahan dengan tekanan mental jangan memohon untuk menjadi guru. Beliau malah menambah bahawa 65,000 permohonan diterima bagi mengisi 5,000 kekosongan jawatan guru.

 

Sebagai seorang mantan guru, saya merasa amat sedih mendengar ulasan sedemikian terkeluar daripada mulut seorang Menteri Pelajaran. Biarpun berjuta orang yang memohon untuk menjadi guru, ia tidak bermakna guru-guru yang sedia ada dan guru-guru yang telah lama berkhidmat serta berkorban untuk pendidikan anak bangsa harus dilupakan dan dibiarkan begitu sahaja. Ulasan sedemikian seolah-olah meminta guru-guru yang kurang sihat berhenti sahaja daripada bertugas kerana ramai lagi orang baru yang berlumba-lumba untuk menjadi guru. Mereka ini tidak lagi diperlukan.

 

Semasa Negara sedang dilanda masalah kekurangan guru, sesiapa sahaja yang memohon untuk menjadi guru diterima. Siswazah menganggur dipanggil, diberikan elaun dan dilatih untuk menjadi guru. Syarat dilonggarkan hingga serendah-rendah yang mungkin untuk mencukupkan bilangan guru. Ramai juga guru sandaran tidak terlatih atau sementara dilantik untuk mengisi kekosongan di sekolah.

 

Apabila bilangan guru sudah bertambah, guru-guru sandaran yang pernah menjadi penyelamat ketika kekurangan guru dilupakan. Permohonan mereka untuk memasuki maktab juga tidak diberikan keutamaan atau keistimewaan. Kalau guru-guru diminta menyemai dan memupuk konsep “Sekolah Penyayang” dan nilai penghargaan serta membalas budi, apakah jasa guru-guru sementara atau sandaran ini tidak layak dihargai?

 

Sebenarnya dalam perkembangan pendidikan Malaysia ramai orang suka melatah. Apabila berlaku sesuatu yang mendapat perhatian ramai, maka adalah orang melatah mengatakan bahawa subjek tertentu harus diperkenalkan di sekolah. Apabila ada orang baru yang memegang pangkat tinggi dalam bidang pendidikan, maka adalah pula cadangan itu dan ini. Sejauh mana semua cadangan, rancangan, polisi dan perubahan ini berjaya tidak siapa yang tahu. Jika ada laporan dikeluarkan laporan itu sendiri meragukan.

 

Suatu masa dahulu ketika mantan Timbalan Perdana Menteri menjadi Menteri Pendidikan, Bahasa Baku diperkenalkan. Dengan sekelip mata sahaja sebutan-sebutan yang begitu asing sekali bagi kita orang Malaysia berkumandang di radio dan televisyen. Apabila jawatan tersebut bertukar tangan, apa kesudahan bahasa baku?

 

Untuk menggalakkan pelajar-pelajar sekolah belajar secara penemuan dan bukan secara suapan, maka Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diperkenalkan. Guru-guru, termasuk saya sendiri, dipendekkan cuti sekolah untuk mengikuti kursus. Buku-buku teks baru dikeluarkan dalam masa yang terdekat.

 

Pelbagai kesalahan dikesan dalam buku teks yang diterbitkan dalam keadaan tergesa-gesa dan perebutan berlaku di kalangan penerbit buku. Akhirnya kementerian pelajaran terpaksa campur tangan untuk membahagi-bahagikan penggunaan buku teks daripada penerbit yang berlainan mengikut zon.

 

Pada masa yang sama pencapaian akademik diutamakan dengan pelbagai sistem penilaian. Guru-guru yang merasa tertekan untuk menghasilkan keputusan akademik pelajar yang baik terpaksa kembali kepada cara pengajaran yang lama. Jika mereka tidak berbuat demikian, gaji mereka akan terancam kerana tertakluk kepada Sistem Saraan Baru (SSB) yang membuat penilaian setiap tahu bagi kenaikan gaji.

 

Akhirnya KBSR dan KBSM terus lenyap entah ke mana. Sistem saraan Baru juga turut dikritik dengan hebat dan terpaksa diubah kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM). Dunia pendidikan di Negara kita sentiasa berubah. Ada orang berkata perubahan itu baik. Tanpa perubahan sukar untuk mendapat kemajuan. Soalnya apakah perubahan yang berlaku selama ini sedang membawa kemajuan atau peningkatan?

 

Semasa berada di sekolah menengah saya merupakan golongan terakhir yang menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) dan Malaysia Certificate of Education (MCE). Pelajar-pelajar pada tahun saya mempelajari Matematik (moden dan tambahan), Sains (termasuk fizik, kimia, biologi dan sains tulen) dan seni perusahaan dalam Bahasa Inggeris.

 

Selepas saya menamatkan pengajian Tingkatan 5 saya, semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan. Pada ketika Bahasa Malaysia dilihat sebagai Bahasa Perpaduan. Dengan semua pelajar tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang menggunakan bahasa pengantar yang sama adalah diharapkan semua orang akan dapat berkomunikasi dengan baik dan saling hormat menghormati.

 

Ia merupakan satu langkah yang mulia tetapi perlaksanaannya tidak mengikut landasan yang dihajatkan. Kelulusan Bahasa Malaysia adalah wajib dalam kemasukan ke pusat pengajian tinggi, permohonan dan pengesahan jawatan pekerjaan dalam pentadbiran awam. Penekanan yang amat berat diberikan kepada Bahasa Malaysia. Mereka yang dapat menguasai Bahasa Malaysia dengan lebih baik menjadi begitu angkuh dan sombong sehingga menolak bahasa yang lain, terutama sekali Bahasa Inggeris.

 

Keutamaan yang berlebihan yang diberikan kepada Bahasa Malaysia menyebabkan guru-guru dan pelajar-pelajar mempelajari Bahasa Malaysia sebagai satu subjek atau syarat untuk mendapatkan sesuatu. Ia bukan lagi menjadi alat komunikasi. Dengan ini ramai orang yang mendapat keputusan yang amat baik dalam Bahasa Malaysia tetapi tidak dapat bertutur dan menulis dengan baik. Bahasa Malaysia yang mereka pelajari adalah untuk lulus peperiksaan semata-mata dan tidak dipraktik dan digunakan dalam kehidupan seharian.

 

Dengan ini Bahasa Malaysia tidak berjaya menjadi Bahasa Perpaduan seperti yang dihajatkan. Sebaliknya ia melahirkan kesan sampingan yang amat membimbangkan. Penekanan yang melampau kepada Bahasa Malaysia menyebabkan pelajar-pelajar kita biarpun yang berkelulusan universiti gagal menguasai Bahasa Inggeris. Banyak bahan rujukan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris tidak dapat dimanafaatkan. Ini menjadi penghalang kepada pembelajaran yang lebih luas dan mendalam. Golongan ini juga mendapati tersisih apabila cuba memohon kerja di syarikat swasta.

 

Dengan pembukaan negara kepada dunia luar melalui globalisasi, kecacatan kita dalam penguasaan Bahasa Inggeris menjadi amat ketara. Kita sudah tidak dapat bersaing lagi apabila payung Negara terpaksa ditutup untuk bergerak seiringan dengan perkembangan teknologi terkini. Maka mahu tidak mahu pengajaran Matematik dan Sains terpaksa dilakukan dalam Bahasa Inggeris.

 

Langkah demikian memang tepat tetapi sekali lagi perlaksanaannya tidak kesampaian. Guru-guru yang dilahirkan melalui pengajaran dan pembelaran Bahasa Malaysia tiba-tiba diminta mengajar dalam Bahasa Inggeris yang begitu asing dan janggal bagi mereka. Cuba bayangkan orang yang selama ini memencilkan diri daripada sebarang aktiviti yang menggunakan Bahasa Inggeris termasuk Minggu Bahasa Inggeris dan penggunaan Bahasa Inggerisnya hanya terbatas pada ‘yes, no, alright’ tiba-tiba diminta menggunakan bahasa itu dalam pengajaran.

 

Memang benar sebarang perubahan memerlukan masa untuk menampakkan hasilnya. Akan tetapi pada masa ini timbul pula bantahan kepada pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Ada orang membantah kerana menganggap ia merendahkan Bahasa Kebangsaan dan ada pula ingin pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa ibunda.

 

Bagi saya ini semua latahan orang besar. Jika orang kecil seperti saya melatah, barangkali saya sekadar terlompat apabila dicucuk di pinggang atau paling kurang menjerit, ‘opps’. Atau Guru Sastera saya mungkin terkeluar lagi perkataan lucah tanpa dapat dikawal. Akan tetapi kami tidak akan membawa apa-apa kesengsaraan kepada orang lain.

 

Lain keadaannya apabila orang besar, berpangkat dan berkuasa yang melatah. Latahan meraka boleh menyebabkan dasar diubah. Jika latahan itu diampu dan disokong secara membabi buta oleh akhbar-akhbar tertentu maka ia dianggap mendapat sokongan rakyat. Maka polisi, dasar dan peraturan diubah dan dipinda. Kemudian ia dilaksanakan secara tergesa-gesa. Dua tiga tahu kemudian jika dasar tersebut tidak berjaya semua orang senyap. Pada masa itu ada pula orang lain yang melatah dan mencipta idea baru.

 

Yang menjadi mangsa selama ini adalah pelajar-pelajar sekolah yang seolah-olah dijadikan tikus putih dalam percubaan makmal. Guru-guru sekadar pak turut dalam segala dasar dan polisi yang digubal dan diubah.

 

Di sekolah kita mengajar, “batu yang bergolek tidak akan mengumpul lumpur”, maka apa jadi dengan dasar, polisi dan peraturan yang sentiasa berubah? Tidakkah semua ini sentiasa bergolek?

 

Setelah 48 tahun Negara kita merdeka ramai sudah orang melatah dan banyak juga percubaan dibuat tetapi gagal. Rancangan yang berjaya adalah hasil daripada kajian, penyelidikan, pemerhatian, perbincangan, rundingan dan perancangan yang rapi. Itu bukan melatah namanya kerana ia tidak dilahirkan sebagai satu tindak balas pantulan.

 

Kalau setelah 48 tahun kita masih terbawa-bawa dengan sifat kebudak-budakan ke intitusi tinggi, organisasi besar malahan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ada sesuatu yang tidak kena pada kita. Daripada kita melatah menuding jari kepada orang lain, ada baiknya kita berdiri di hadapan cermin untuk menilai kembali diri kita sendiri. Dengar apa yang dikatakan oleh orang di sekeliling kita, hatta orang yang kita benci sekalipun.

 

Kita juga seharusnya memakai baju yang lebih tebal agar tidak mudah melenting, melompat, menjerit dan melatah apabila dicucuk. Jangan pula kita menjadi tukang cucuk dan tukang hasut. Setiap tingkah laku kita diperhatikan. Kita bukan lagi anak-anak kecil yang melakukan perbuatan bodoh bagi mendapatkan perhatian.


Dicatat pada 11:26 pm oleh cikgulee

Ahmad Shahar
November 22, 2008   07:57 PM PST
 
Siaran langsung Parlimen menampakkan bertapa wakil kita kadangkala bercakap tanpa membuat rujukan. Maki hamun menjadi mainan, rakyat melantik mereka bukan untuk maki hamun orang lain. Sepatutnya mereka bertanggungjawab terhadap apa yang mereka cakap kerana mereka mewakili Parlimen yang dimenangi.
MIMIE
August 2, 2007   01:05 AM PDT
 
APAPUN USAHA KENA ADA
Kapten Akhbar
April 2, 2007   11:45 AM PDT
 
Tahniah di atas perkongsian pencernaan minda anda yang efisien dan logik. Ramai orang yang boleh menjadi pengajar tetapi tidak ramai yang boleh menjadi guru
hafizah sakmi
January 30, 2007   09:15 PM PST
 
kedua-dua cabang bahasa membawa pengaruh yang hebat dan penyampaian masing2...
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry