Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)




Tusyen Secara Online Terkini dan Terbaik Masakini
Custom Search



Untuk Dijual


Free counter and web stats

Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Saturday, June 11, 2005
Lagu Kebangsaan

Dalam 2 keadaan saya harus berdiri tegak ketika berlangsungnya perhimpunan mingguan semasa berada di sekolah rendah. Kedua-dua keadaan itu ialah semasa menyanyikan lagu kebangsaan kita, Negaraku dan lagu sekolah saya pada ketika itu. Ketua pengawas sekolah akan memberikan arahan untuk berdiri tegak sebelum lagu kebangsaan dan lagu sekolah dinyanyikan.

 


 Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan1979 - Ketua Pengawas


Murid-murid akan berdiri tegak dan guru-guru yang duduk di hadapan kami juga akan berdiri. Kami sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu sekolah. Kami nyanyi dengan sepenuh hati. Tidak ada alat pembesar suara pada waktu itu jadi semua orang cukup tahu akan senikata lagu yang dinyanyikan. Biarpun pada ketika itu saya mungkin belum dapat menghayati erti lagu tersebut tetapi saya akan menyanyikannya dengan penuh semangat.

 

Apabila sampai giliran saya untuk memberikan arahan sebagai Ketua Pengawas di ketiga-tiga buah sekolah yang pernah saya pelajari, keadaan tetap sama. Guru, pelajar dan kakitangan sekolah yang lain akan turut berhenti dan berdiri tegak semasa lagu kebangsaan dinyanyikan. Pelajar yang datang lambat sekalipun akan turut berhenti berjalan sebaik sahaja lagu Negaraku dinyanyikan. Kami lebih mengutamakan pelajar yang tahu menghormati Negaraku daripada mereka yang sempat masuk ke dalam barisan perhimpunan.

 


 Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan 1981 - Ketua Pengawas


Menghormati lagu kebangsaan sudah menjadi sebahagian daripada diri saya yang telah ditanam dan diasuh sejak kecil. Sehingga saya meninggalkan bangku sekolah pada penghujung tahun 1981, menyanyikan lagu kebangsaan di sekolah pada setiap kali bermulanya perhimpunan masih diteruskan.

 

Begitu juga keadaannya semasa saya mengacarakan semua majlis rasmi, lagu Negaraku akan tetap dinyanyikan atau dimainkan. Cuma yang berbeza ialah, dalam acara-acara rasmi tersebut ada orang yang tidak lagi berdiri tegak. Ia bermula dengan jurugambar dan jurufoto yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Kadang-kadang saya terasa untuk menegur mereka tetapi membatalkan niat saya kerana umur mereka lebih tua daripada saya dan pakaian mereka jelas menunjukkan bahawa mereka mewakili agensi kerajaan atau jabatan tertentu, yang tentunya lebih arif daripada saya. Mungkin mereka mendapat pengecualian!

 

Pada hari ini rasa hormat terhadap lagu kebangsaan kita nampaknya semakin terkikis. Tidak sukar untuk kita mendapati pelajar-pelajar yang usik-mengusik dan cuit-mencuit sesama sendiri semasa lagu kebangsaan dimainkan. Ada juga guru-guru yang kelihatan berbisik dan ketawa kecil. Malah ada juga tetamu yang dijemput turut membelek-belek teks ucapan dan bertanya sesuatu kepada tuan rumah. Apakah mereka kesuntukan waktu atau itu memang strategi pengurusan masa mereka?

 

Sebagai orang yang pernah diberi tanggunjawab untuk memberi arahan agar berdiri tegak semasa perhimpunan, saya merasa sedih melihat apa yang dilakukan oleh golongan tertentu yang tidak tahu menghormati lagu kebangsaan. Yang anehnya orang seperti ini cepat merasa kecil hati apabila orang lain tidak mendengar ucapannya.

 

Semasa berada di Thailand kira-kira 20 tahun dahulu, saya amat terkejut dengan apa yang saya lihat. Pada masa itu saya sedang membeli cenderamata di sebuah pasar. Tiba-tiba, jam berbunyi menandakan pukul 6 petang. Sejurus kemudian lagu kebangsaan Thai dimainkan melalui alat pembesar suara di semua sudut pasar. Semua orang dengan segera bangun dan berdiri tegak. Semua urusan perniagaan dihentikan dengan serta merta. Sebagai pelancong, saya turut mengikuti tingkah laku mereka. Saya sempat memerhatikan pengayuh beca bersama penumpang mereka juga turut turun dari beca mereka untuk menghormati lagu kebangsaan mereka.

 

Apa yang saya lihat memberikan kesan yang amat mendalam kepada diri saya. Saya tidak pernah melihat penghormatan yang begitu tinggi yang diberikan kepada lagu kebangsaan mereka. Berbanding dengan negara kita sendiri, saya tidak pernah terserempak di mana-mana lagu Negaraku dimainkan pada setiap hari di tempat awam.

 

Apa yang ada ialah semasa siaran televisyen bermula dan tamat. Pada ketika itu semua orang sama ada masih tertidur pada waktu pagi atau terlalu letih pada waktu malam. Saya percaya tidak akan ada orang yang bangun dari tidur semasa mendengar lagu Negaraku dimainkan oleh stesen televisyen.

 

Ada satu teka-teki yang sering kami berikan sewaktu kecil. Ada seorang budak yang sedang membuang air besar di dalam tandas. Tiba-tiba dia bangun dan berdiri tanpa bergerak. Apakah sebabnya? Tentu sekali jawabannya ialah dia terdengar lagu Negaraku dimainkan. Adakah kita akan melakukannya semasa kita berada di dalam tandas?

 

Semasa acara sukan atau permainan kebangsaan dilangsungkan, kadang-kadang kita merasa malu menyaksikan siaran langsung acara tersebut. Upacara perasmian biasannya dimulakan dengan menyanyikan lagu Negaraku. Apa yang menyedihkan kita ialah semasa kamera difokuskan kepada para atlit, ada saja yang sedang mengunyah gula-gula getah atau melambai-lambaikan tangan.

 

Apabila fokus bertukar kepada tetamu di atas pentas, ada pula di antara mereka yang memakai topi, memegang rokok, memegang buku aturcara atau memandang kiri dan kanan. Kalau atlit yang mengambil bahagian adalah wakil kita dan tetamu di atas pentas pula adalah pemimpin kita, apakah wakil kita mencerminkan peribadi dan perangai kita yang sebenarnya? Ke mana pula arah dan tujuan yang akan dibawa oleh pemimpin sedemikian?

 

Saya sedikitpun tidak merasa hairan apabila kerajaan mengarahkan supaya lagu Negaraku dinyanyikan dalam semua majlis rasmi. Apa yang saya hairan ialah kenapa sehingga kini baru arahan ini dikeluarkan. Apakah dengan berdiam diri selama ini, bukan setakat kerajaan tetapi kita semua juga, kita merestui apa yang dilakukan dalam upacara rasmi?

 

Memang pada masa dahulu lagu Negaraku dimainkan di dalam panggung wayang. Akan tetapi langkah memulihkan semula amalan tersebut harus difikir semula. Lagu Negaraku adalah lagu kebangsaan dan lagu kebanggaan negara kita. Memang tepat ia dimainkan dalam majlis dan upacara rasmi sebagai tanda penghormatan. Tidak ada orang akan mempertikaikannya.

 

Sebaliknya cuba bayangkan wayang yang ditontong adalah cerita dongeng, wayang import yang mengagong-agongkan watak tertentu yang tidak ada kaitan langsung dengan negara kita. Semua wayang yang ditayangkan lebih banyak bersifat hiburan. Oleh itu apakah wajar lagu Negaraku dimainkan sebelum wayang bermula? Tidakkah terasa janggal dan lucu sebaik sahaja lagu Negaraku yang mengingatkan kita tentang tanahair dan raja kita tiba-tiba wayang yang ditayangkan terus memuji dan memuja watak asing, negara asing dan buday asing?

 

Apa yang penting sebenarnya bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku dalam upacara rasmi tetapi benar-benar menghormati lagu kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita. Pemimpin besar dan kecil, sama ada majlis yang kita hadiri disiarkan melalui media atau tidak, harus tahu apa yang perlu dilakukan semasa lagu kebangsaan dimainkan. Kita haruslah berdiri dengan kedua-dua belah tangan kita lurus ke bawah tanpa memegang atau mengepit apa-apa. Topi hendaklah dibuka kecuali anggota keselamatan dan janganlah berpandang kiri dan kanan. Lagu Negaraku bukanlah untuk kanak-kanak sekolah sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia yang mengakui negara ini negara kita.

 


 Peserta-peserta dari Kelantan bagi Kurus Tatanegara Zon Timur 1981


Semasa menghadiri Kursus Tatanegara di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu pada tahun 1981, kami dikehendaki menyanyikan lagu Negaraku pada setiap hari. Akan tetapi pengalaman paling mendalam adalah ketika kami menyanyikannya pada suatu malam. Ketika itu sudah tengah malam dan kami baru sahaja selesai mengikuti semua acara pada hari tersebut. Kami diminta menyanyikan Negaraku dengan penuh semangat dan menghayatinya dengan betul-betul.

 

Dalam keheningan malam tanpa sebarang gangguan, di sekeliling kami begitu sunyi kecuali naynyian kami, setiap kata dan setiap baris dalam lirik lagu Negaraku begitu terasa dalam hati kami. Tidak ada seorangpun yang tidak mengalirkan air mata ketika selesai menyanyikan lagu Negaraku. Penasihat kami turut menitiskan air mata.

 



Pada ketika itu, bagi kami semua Negaraku bukan sekadar sebuah lagu. Ia bukan sekadar lambang kepada Negara kita. Negaraku menyatakan seluruh sumpah dan setia kita kepada negara yang kita cinta dan negara yang telah menjadi tempat tinggal, tempat kita membesar dan tempat kita mencari rezeki. Keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang dinikmati bukan datang dengan sendiri tetapi atas pengorbanan dan perjuangan generasi yang terdahulu daripada kita. Tanpa mereka tiadalah kita. Oleh itu tidak menghormati Negaraku sama seperti orang yang derhaka dan tidak mengenang budi dan jasa.

 

Kita semua cepat lupa atas alasan kesibukan kerja dan urusan seharian. Kita juga cepat lupa daratan dan pangkal jalan apabila menghadapi pelbagai cabaran dan godaan. Negaraku akan mengingatkan kita agar terus menghargai apa yang ada, menjaga serta memupuk keadaan ini supaya tidak terancam dan berkecai.

 

Saya masih ingat suasana semasa pasukan badiminton negara mengalahkan Indonesia 3-2 dalam pertandingan merebut Piala Thomas. Teriakan penonton di dalam stadium dan di rumah di seluruh Negara seperti dirasuk. Isteri Perdana Menteri ketika itu Dr Siti Asmah (kini Tun) meluru ke tengah gelanggang sambil memeluk pemain-pemain yang menjadi wira Negara. Ketika lagu Negaraku dimainkan sambil Jalur Gemilang dikibarkan, berjuta orang mengalirkan airmata kegembiraan dan kebanggaan.

 

Tidakkah kita semua mencintai Negara kita Malaysia? Tidakkah kita merasa bangga menjadi seorang rakyat Malaysia? Oleh itu jangan sampai kita menjadi wira barulah kita merasa terharu dan menunjukkan rasa hormat kita. Menghormati lagu Negaraku dan Jalur Gemilang bukan sekadar pada majlis dan upacara rasmi tetapi pada setiap masa.

 

Penghormatan biar terhadap negara atau kepada sesiapa sahaja bukanlah sekadar untuk ditunjuk atau dipertontonkan. Ia harus lahir dari hati kita yang ikhlas lagi benar. Ia harus dilahirkan daripada kesedaran dan kesyukuran kita kerana berada di dalam sebuah negara yang jauh lebih baik daripada banyak lagi negara lain di dunia ini.

 

Rasa hormat harus ditanam dan dipupuk bukan dipaksa dengan hukuman dan denda. Hukuman dan dendan hanyalah nombor dan angka yang akan tercatat dalam rekod kesalahan tetapi tidak menambahkan rasa hormat itu sendiri. Berhati-hati jika mahu dihormati.


Dicatat pada 07:08 am oleh cikgulee

Kogeela muniandy
September 5, 2011   07:12 PM PDT
 
Saya sangat terharu membaca artikal Cikgu. Saya sabagai seotang guru sgt bersetuju dengan pandangan Cikgu Lee. Malaysia adalah tanah tumpah kita walaupun ia terdiri dari pelbagai kaum. Menghormati lagu adalah penghargaan yang kita beri kepada Negara Malaysia sendiri. Sikap kasihkan malaysia perlu ada dalam jiwa dan raga setiap rakyat Malaysia.
NameAbdul Rahim
August 10, 2007   06:32 PM PDT
 
Generasi sekarang patut menghayati makna sebenar lagu Negara ku. Sangat setuju dengan pandangan Cikgu.
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry

Tusyen RM33/sebulan Untuk Semua Matapelajaran