Cikgu Lee - sebelum, semasa dan selepas menjadi seorang guru
[ Home ]-[ Recent ]-[ Archive ]-[ About Me ]-[ Speaker ]-[ Toastmasters ]-[ Contact Me ]-[ FAQ ]





Nama: Lee Chye Ewe
Lahir: 1961
Tempat: Kuala Krai, Kelantan

Pelajar
SRJK(C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan (1968-1973)
SM Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan (1974-1979)
SM Hamzah, Machang, Kelantan (1980-1981)

Guru
SM Georgetown, Pulau Pinang (1983)
SM Perempuan Cina, Pulau Pinang (1984)
SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1985-1988)
SMK Kuhara, Tawau, Sabah (1989-1997)




Tusyen Secara Online Terkini dan Terbaik Masakini
Custom Search



Untuk Dijual


Free counter and web stats

Lee Chye Ewe's Facebook profile


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Sunday, May 08, 2005
Pengaruh Ibu

Ibu saya
 Ibu saya

 

Minggu lalu kami sekeluarga berjalan-jalan di pasar minggu (Tamu). Apa yang paling menarik perhatian kami ialah petai. Sudah lama kami tidak makan petai. Tanpa berfikir panjang saya membeli 1 kg. Semua orang tidak sabar-sabar menunggu petai tersebut dimasak. Memang sudah lama kami tidak makan petai. Kadang-kadang masanya juga tidak sesuai. Manalah tahu takut-takut bau petai dari nafas kita mengganggu orang lain.

 

Saya telah membahagikan petai yang dibeli kepada 3 bahagian. Bahagian pertama saya goreng dengan sambal. Sebaik sahaja masuk rumah semua orang sudah tercium baunya. Semuanya habis dimakan. Bahagian kedua pula saya cuma rebus kemudian kami makan dengan budu, makanan kesukaan orang Kelantan. Budu kami hanya tinggal sedikit sahaja. Ia adalah baki daripada budu yang dibuat oleh ibu saya semasa beliau berkunjung ke sini 3 tahun yang lalu.

 

Petai dan budu akan sentiasa mengingatkan saya dengan ibu saya. Saya makan petai, buah kerdas, jering, jantung pisang, pucuk ketereh, pucuk ubi, peria muda, terung mentah, dan ulam yang lain kerana pengaruh ibu saya. Budu, tempoyak, nasi kunyit, laksa, lakse, nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya juga merupakan ikutan daripada ibu saya.

 

Biarpun pemikiran dan sikap saya banyak dipengaruhi bapa saya tetapi dari soal masakan dan makan, ibulah yang lebih banyak mencorakkan saya. Ibu saya juga amat faham akan makanan kesukaan saya. Semenjak bekerja di Sabah saya jarang dapat menikmati makanan kesukaan saya. Amat jarang bagi saya menemui masakan Kelantan di sini. Maka pada setiap kali saya pulang berjumpa dengan ibu saya, dia akan sediakan petai jeruk dan budu untuk saya membawa balik ke Sabah. Malah dia akan mencari budu yang terbaik dan bersih untuk saya.

 

Waktu kecil saya banyak dihabiskan di dalam kebun yang diusahakan oleh bapa dan ibu saya. Bapa saya menanam sawi, bayam dan kangkung dengan banyak untuk dijual. Ibu saya pula menanam terung, kacang panjang, petola, mentimun, peria, kacang buncis, ubi kayu, ubi keledek, serai dan sebagainya. Kebun inilah yang membesarkan kami adik beradik seramai 5 orang. Di sinilah kami bercangkul menanam sayur-sayuran bersama ibu bapa kami. Di sinilah juga saya belajar makan mentimun, kacang panjang dan peria secara mentah.


Dapur usang

  Dapur tempat saya belajar memasak, kini sudah terbiar.


Setelah saya mulai belajar memasak semasa memasuki sekolah menengah, saya lebih banyak memerhatikan apa yang ibu saya masak. Pada ketika itu masakan ibu bagi saya amat canggih. Terlalu banyak bahan dan rempah yang digunakan. Saya hanya memerhati sahaja dan tidak pernah mencuba. Lagipun ibu saya mempunyai citarasa dia sendiri tentang masakan. Jika saya yang memasak, tentunya masakan saya dirasakan kurang garam, lebih minyak, kurang lemak dan sebagainya.

 

Saya hanya mula memasak masakan yang lebih canggih apabila saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Berdasarkan ingatan saya, saya telah memasak laksa Kelantan yang menjadi kegemaran saya. Walaupun laksa Kelantan saya tidak standing dengan masakan ibu saya, saya telah berani menjamu tetamu saya yang berkunjung ke rumah saya pada Tahun Baru Cina. Sekali-sekali saya juga masak nasi kerabu. Masih ramai orang yang bertanya bilakah saya akan memasak laksa lagi.



 Stesen Keretapi Kuala Krai, Kelantan

 

Saya mengakui saya gemar memakan masakan Melayu dan Siam. Semua ini dipengaruhi oleh ibu saya sejak kecil. Saya selalu menziarahi pakcik dan makcik saya di Temanggan bersama ibu saya. Disebabkan pada ketika itu ibu saya kurang biasa menaiki kereta kerana mudah mabuk, kami pergi ke Temanggan dengan menaiki keretapi. Kami juga menyeberangi sungai Kelantan dengan sampan pakcik saya atau bot sewa.

 

Pakcik saya juga bercucuk tanam. Mereka menanam padi, tembakau, sayur-sayuran, getah, kelapa, durian, langsat, duku, limau, langsat dan banyak lagi. Mereka juga memelihara ayam, itik, lembu dan kerbau. Dalam keadaan inilah zaman kanak-kanak saya diwarnai dengan pelbagai kehidupan kampung dan keindahan alam semulajadi.

 

Pada masa yang sama saya juga mempelajari cara hidup di kampung yang banyak dipengaruhi dengan budaya Melayu dan Siam. Sebenarnya pada ketika itu tidak sesiapapun yang membeza-bezakan sama ada kita orang Cina, Melayu, India atau Siam. Masalah perkauman tidak pernah wujud di kampung. Dengan itu tidak hairanlah saya suka makan ulam, kari, masakan pedas, budu, tempoyak dan sebagainya. Sehingga hari ini, pada setiap kali saya kembali ke Kelantan saya akan mencari nasi dagang, nasik berlauk dan nasi kerabu. Adik-adik saya yang dahulunya kurang gemar dengan makanan begini turut mempunyai kegemaran yang sama sekarang.



  Wat Maisuwankiri di Tumpat

Selain daripada itu saya juga sering dibawa ibu saya untuk berkunjung ke kuil atau wat Buddhist. Ibu saya jarang tinggalkan perayaan yang berkaitan dengan agama Buddhist. Sehingga hari ini banyak masanya dihabiskan di wat. Kebanyakan wat Buddhist di Kelantan dikendalikan oleh sami Siam (Thailand) maka pengaruh Siam amat tebal. Akan tetapi budaya Siam tidak begitu jauh bedanya daripada Budaya Melayu dari segi pakaian dan makanan mereka.


Wat Maisuwankiri

 

Inilah juga sebabnya apabila saya kembali ke Kelantan adik saya akan membawa saya menziarahi wat-wat yang ada di Tumpat. Dia akan memberitahu saya apa yang baru dan apa yang telah berubah. Saya seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak saya. Tidak ada wat seperti ini terdapat di negeri Sabah kerana kebanyakan kuil di Sabah lebih dipengaruhi oleh buday China atau Taiwan.

 

Walaupun saya sering kali bercakap tentang ayah saya kerana pendidikan dan disiplin yang diberikan kepada saya, saya sebenarnya juga dipengaruhi oleh ibu saya tanpa saya sedari. Gabungan didikan bapa dan ibu saya barang kali telah menjadikan saya lebih sederhana. Kesederhanaan ini juga memudahkan saya bergaul dengan orang yang saya temui dan menyesuaikan diri di tempat baru.

 

Pada hari ini, saya tidak ada masalah tentang makanan di mana sahaja. Saya makan apa sahaja baik masakan Cina, Melayu, India, Siam, Barat atau Timur. Saya juga senang sekali bertutur dalam banyak bahasa dan loghat bergantung kepada siapa yang saya temui. Kadang-kadang semasa berjumpa dengan orang Kelantanpun mereka tidak sedar saya berasal daripada Kelantan kerana percakapan saya sukar dicam atau dicari selitan loghat Kelantan saya.

 

Ramai orang terkejut melihat saya makan ulam, sambal, belacan, cincaluk dan budu. Ramai juga orang yang terkejut melihat saya bercerita panjang dengan seorang kawan yang baru sahaja kembali daripada mengerjakan ibadah haji. Tambah menghairankan pula apabila melihat saya mengunjungi gereja untuk menghadiri upacara pengkebumian bapa seorang rakan. Ada juga yang terbeliak mata mereka apabila terjumpa saya di kuil India semasa perayaan Thaipusam.

 

Saya bukan cuba menunjuk-nunjuk akan apa yang saya tahu kerana sebenarnya tidak banyak yang saya tahu. Saya sekadar kenal dan faham akan apa yang asas. Dengan pemahaman ini saya tidak akan merasa tersisih atau terpinggir apabila berada di tempat orang yang sama sekali berlainan kepercayaan dan cara hidup dengan saya. Dengan pemahaman ini juga ia memudahkan saya melayan tetamu saya yang mungkin merasa kurang senang apabila berada di tengah-tengah orang asing.

 

Semua ini sebenarnya membantu saya menjadi orang perantaraan atau jambatan kepada dua pihak yang berlainan fahaman, kepercayaan dan latar belakang. Itulah sebabnya saya pernah menjadi guru dan saya dijemput menjadi penceramah motivasi. Saya juga dijemput menjadi pengacara majlis. Tanpa pengalaman saya semenjak kecil dan penyesuaian saya dengan pelbagai pihak, tentunya saya tidak akan dapat melaksanakan tugas saya dengan baik apatah lagi apabila saya dilihat sebagai orang asing di tempat saya bertugas atau berkhidmat. Tentunya saya tidak akan dapat menjadi jambatan yang diharapkan.

 

Dahulunya saya sering beranggapan bahawa saya kurang rapat dengan ibu saya kerana saya dapat merasai pengaruh bapa saya dalam diri saya. Akan tetapi setelah menilai semula apa yang saya buat dan apa yang telah saya lalui barulah saya sedar pengaruh ibu saya sememangnya sudah lama wujud tanpa saya sedari. Paling kurang makanan saya dan bahasa pertuturan saya.

 

Setiap orang yang pernah kita bersama, pasti ada pengaruhnya terhadap kita. Yang bezanya ialah banyak atau sedikit. Yang bezanya ialah kita sedar atau tidak. Kadang-kadang sepatah kata boleh membuat kita mengingatinya buat seumur hidup. Satu perbuatan kecil juga boleh mengubah seluruh hidup kita. Perbuatan lain, kata-kata lain, kasih sayang dan keperihatinan yang dicurahkan oleh ibu bapa akan mencorakkan hidup kita. Biar sampai ke mana kejayaan kita sekalipun, jasa ibu dan bapa tetap ada. Pengaruh mereka tetap di dalam diri kita.

 

Terima kasih, Ibu.


Wat Maisuwankiri


Dicatat pada 12:58 pm oleh cikgulee

Cikgu Lee
November 20, 2007   09:22 PM PST
 
Dear David, if you are staying there, most probably you got the right person
David
November 18, 2007   03:36 PM PST
 
Hello chikgu lee,am david from kubang kerian.is that ur mother?arent she live opposite my house?
BudakSiamJubakar
January 24, 2006   02:43 PM PST
 
Cikgu,
satu coretan yang bagus...dan saya pun suka make budu...kat university pun saya ada bawa sekali...sampai roommate saya pun yang tak kenal apa itu budu pun dah suka makan budu...
shin
January 4, 2006   12:08 AM PST
 
i was frm kuala krai too....
studying in srjkc Yuk Chai...
anyway... ur 20yrs my senior...
hehehe
pycnogenol
May 10, 2005   05:53 PM PDT
 
Ibu Cikgu Lee nampaknya baik sekali orangnya. Teringin sekali nak merasa budu yang ibu Cikgu buat sendiri. Nak minta rasa malu, tambahan pula dah tinggal sedikit pun........
pak wattan
May 10, 2005   01:43 AM PDT
 
Selamat hari ibu kepada ibu-ibu di m'sia,. pengorbanan ibu sangat tinggi nilainya. salam buat cikgu Lee
inositol
May 9, 2005   05:34 PM PDT
 
Komen pendek saya ialah, "been there, done that!!!"
pycnogenol
May 9, 2005   11:55 AM PDT
 
Tulisan Cikgu kali ini bukan sekadar mengingatkan saya pada ibu di kampung tetapi juga dua orang rakan karib saya di sekolah dulu, Chong Ing Keong dan New Kee How. Alangkah baiknya kalau saya dapat bertemu mereka semula.
Emran
May 9, 2005   04:43 AM PDT
 
Cikgu Lee,
Cerita cikgu kali ni mengingatkan saya kpd 3 perkara:
1. Zaman kanak-kanak saya yg mustahil boleh saya lalui semula
2. Kepada mak saya yg beribu batu jauhnya dpd saya ketika ini
3. Betapa indahnya negara orang, indah lagi negeri kita sendiri (satu masa nanti saya nak menjelajah satu Malaysia naik keretapi).
Satu coretan yg sangat bagus, utk kita tidak lupa siapa asal usul kita. Thanks cikgu.
NSDS3HvLDjJd
May 9, 2005   12:05 AM PDT
 
Cikgu,
Terima kasih kerana mengingatkan saya pada Kuala Krai. <i>Entry</i> ini khas untuk cikgu.
http://nsds3.blogspot.com/2005/05/kuala-krai-as-i-remember-it.html
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry

Tusyen RM33/sebulan Untuk Semua Matapelajaran