Saya ada temujanji dengan seorang tamu yang baru sahaja dikenali. Kami pernah berjumpa sekali sahaja dan selebihnya kami berhubung melalui telefon. Disebabkan perjumpaan pertama yang agak singkat saya kurang pasti sama ada saya masih meningati wajahnya atau tidak. Dia mengajak saya berjumpa di lobi sebuah hotel. Semasa saya tiba di lobi hotel, ada dua orang sedang duduk di sana. Salah seorang daripadanya sedang menunggu kenderaannya. Tidak langsung tidak memandang ke arah saya. Tumpuannya pada kenderaan di luar hotel. Saya pasti dia bukan orang yang ingin saya jumpa.
Seorang lagi sedang membaca akhbar. Mukanya terlindung oleh surat akhbar yang sedang dibaca. Cuma bahagian bawah badan dan kaki sahaja kelihatan. Adalah mustahil untuk saya mengenali kakinya. Yang saya pasti dia seorang lelaki.
Secara automatik saya mendekatinya dan cuba melihat muka di sebalik akhbar itu. Saya berpura-pura melihat lukisan di dinding sambil menjengok-jengok orang yang sedang membaca surat khabar itu. Perbuatan saya itu agak lucu tetapi saya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu dituduh kurang sopan.
Selepas beberapa cubaan saya telah dapat melihat muka si pembaca akhbar tadi. Dia bukan orang yang ingin saya jumpa. Nasib baik dia juga tidak sedar akan perbuatan saya. Saya tidak tahu apakah orang lain yang berada di situ perasan akan perbuatan saya itu.
Saya duduk sambil menunggu. Saya memandang semula ke arah orang yang sedang membaca surat khabar itu. Tiba-tiba saya tersenyum sendirian. Secara senyap saya mamarahi diri saya bodoh. Apa tidaknya. Orang yang ingin saya jumpa itu orang Melayu dan saya pasti dia tidak tahu berbahasa Cina. Orang di hadapan saya sedang asyik membaca surat khabar Cina.
Kalau pemerhatian saya lebih tajam tadi tidaklah sampai saya terpaksa mencari pelbagai helah untuk melihat mukanya. Apabila tidak dapat melihat muka orang yang terlindung, tindakan saya yang pertama ialah cuba melihat muka yang terselindung. Tanpa mengambil kira adanya cara lain untuk menilai dan menganalisa keadaan yang sepatutnya begitu mudah. Perbuatan saya tadi telah menjadi sia-sia dengan penemuan baru ini.
Apabila menceritakan pengalaman saya dengan seorang teman yang lain dia turut ketawakan saya sambil menceritakan pengalamannya sendiri. Dia bekerja di sebuah bengkel membaiki kenderaan berat. Bengkel itu agak lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk kerja-kerja membaiki dan memelihara kenderaan berat.
Pada suatu hari berlaku satu kebakaran kecil di dalam bengkel. Pintu bengkel pula terkunci. Hanya teman saya dan seorang anak buahnya yang berada di dalam bengkel tersebut pada masa itu. Dengan pantas mereka berlari ke arah alat pemadam api yang agak jauh dari situ kerana bengkelnya agak besar.
Api telah dapat dipadamkan dalam sedikit masa sahaja. Tidak ada kerosakan teruk yang berlaku. Kedua-dua mereka duduk berehat setelah memadamkan api. Agak penat juga kerana berlari apatah lagi dalam keadaan kecemasan. Menilai semula kebakaran tadi tiba-tiba mereka ketawa serentak.
Pemancut air terletak bersebelahan sahaja dengan tempat kebakaran. Jika mereka menggunakan pemancut air tadi sudah tentu api dapat dipadamkan dengan lebih cepat tanpa perlu mereka berlari begitu jauh. Yang lucunya kedua-dua mereka secara automatik berlari ke arah alat pemadam api dan langsung tidak melihat sekeliling mereka terlebih dahulu. Saya tersenyum mendengar cerita teman saya itu.
Cara saya untuk mengecam tetamu saya yang disyaki sedang membaca surat khabar dan teman saya menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan api tidaklah salah. Ia betul dan tidak ada orang yang akan mempertikaikannya. Namun begitu dalam keadaan yang sedemikian ia bukanlah tindakan yang paling cepat dan tindakan yang terbaik.
Bagi kebanyakan orang apa yang berlaku merupakan perkara yang kecil. Yang penting bagi mereka ialah masalah atau tugasnya dapat diselesaikan. Kebanyakan orang bersikap seperti pelajar-pelajar membuat kerja rumah. Asalkan kerja siap dan dapat diberikan kepada guru dalam waktu yang ditetapkan sudah memadai. Betul atau salah, baik atau tidak itu adalah hal yang dianggap kurang penting. Apa yang kita tidak sedar ialah apa yang berlaku ini sebenarnya amatlah penting bagi kita dalam kehidupan kita seharian.
Apabila kita berhadapan dengan keadaan yang hanya membenarkan satu cara sahaja untuk menyelesaikan masalah kita dengan pantas dan tepat, maka segala kebijaksanaan kita, kemahiran beranalisa dan menilai serta penakulan kita harus digunakan dan dipraktikkan dengan sepenuhnya.
Bukan semua apa yang berlaku memberikan kita kemewahan masa dan peluang untuk mencuba sambil membaiki diri. Dalam keadaan kecemasan, segala pengalaman dan pengetahuan kita akan teruji. Kadang-kadang hidup atau mati kita atau orang yang kita sayangi bergantug kepada tindakan kita pada waktu itu. Ini bukan waktu peperiksaan atau persembahan yang membenarkan kita membuat persediaan lebih awal.
Semasa membaca berita tentang bencana di Myamar dan Sichuan yang baru sahaja berlaku, atau Tsunamiyang berlaku 4 tahun lepas, apakah perasaan kita? Selain daripada merasa sedih dan menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sekadar yang kita mampu, selain daripada merasa terharu melihat pekerja sukarela yang menggadaikan nyawa sendiri untuk menyelamatkan orang lain, apakah pula ikhtibar kita?
Benar, kita merasa bersyukur berada dalam negara yang yang dijauhi bencana yang menyayat hati. Benar, kita harus lebh menghargai nyawa kita dan apa yang ada pada kita. Hakikatnya apakah kita sedakar bercakap-cakap kemudian disusuli dengan tindakan yang positif serta membuahkan hasil?
Apakah dengan sekadar bersyukur kerana berada dalam keadaan yang lebih selamat kita tidak perlu berbuat apa-apa? Siapa sangka Tsunami yang begitu buruk kesannya akan berlaku sehingga melimpah ke Malaysia? Siapa sangka Highland Towers yang didiami oleh golongan berpendapatan tinggi akan tumbang? Siapa pula sangka bandar yang bernama Kota Tinggi akan tenggelam dalam air banjir dalam sejarah banjir yang terburuk di Malaysia? Siapa pula akan menyangka dengan mobiliti kita yang begitu tinggi, kita tidak mungkin terperangkap dalam bencana alam yang berlaku di negara-negara lain?
Maka natijah bahawa negara kita selamat dan dijauhi daripada segala bencana alam tidak lagi boleh digunakan untuk menenangkan kita dan melenakan kita agar terus tidur dalam kesenangan. Dunia pada hari ini bukan lagi dunia ibu bapa kita pada zaman dahulu. Dunia anak-anak kita juga berlainan sekali dengan dunia sewaktu kecil kita.
Kita jangan lupa bahawa bahawa setiap manusia yang lahir ke dunia ini berhak untuk meneruskan hidup sama seperti insan yang lain biar apa warna kulitnya, apa latar belakang keluarganya dan apa juga faham politik negaranya. Semua orang berhak untuk mempelajari ilmu sebanyak mungkin. Ilmu ini bukan terhad kepada akademik tetapi pelbagai kemahiran lain yang berkaitan dengan kehidupan dan cara untuk hidup.
Asas dalam cara untuk hidup harus diajar kepada setiap orang. Kita seharusnya pandai menyiapkan kerja kita sendiri dan menyelesaikan masalah kita sendiri. Kita seharusnya tahu apa yang hendak dilakukan semasa berlaku kebakaran, semasa banjir, semasa gempa bumi dan semasa kemalangan.
Kita juga seharusnya tahu bagaimana untuk menyelamatkan orang yang ditimpa kemalangan. Kalau tidak sekurang-kurangnya kita boleh memberikan bantuan agar keadaan mangsa tidak bertambah. Kita seharusnya tidak sekadar menjadi penonton dan penghalang kepada pekerja-pekerja penyelamat. Lebih teruk lagi kita jangan menjadi tukang suruh dan tukang kritik sedang kita sendiri hanya melihat dari jauh. Pemerhatian dan penglibatan sebenar jauh bezanya.
Sikap terlalu memanjakan anak-anak oleh ibu bapa sekarang tidak memberi sebarang kebaikan kepada pemerolehan serta pengumpulan kemahiran anak-anak kita untuk hidup terutama sekali sewaktu kecemasan. Ibu bapa yang membuat kerjarumah serta projek sekolah anak-anak kononnya sayangkan anak-anak sebenarnya menafikan hak mereka untuk belajar secara langsung.
Tindakan mereka ini hanya membantu melahirkan anak-anak yang terlalu bergantung kepada ibu bapa atau sikap sentiasa mengharapkan bantuan dan pertolongan orang lain. Kita akan melahirkan generasi yang tidak mempunyai daya membuat penilaian serta membuat keputusan sendiri.
Dalam keadaan kecemasan, bencana dan malapetaka, orang-orang seperti ini merupakan penghalang dan rintangan kepada kerja-kerja menyelamat. Mereka ini akan menidakkan usaha para petugas untuk menyelamatkan orang yang lebih memerlukan bantuan seperti orang tua, kanak-kanak, orang yang cedera dan orang yang kurang berupaya. Bayangkan berapa ramai lagikah orang yang dapat diselamatkan jika golongan yang sihat tubuh badan ini tetapi lemah semangat dan akal dapat menyelamatkan diri mereka sendiri dan turut menyelamatkan orang lain.
Kita seharusnya memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak kita untuk berdikari, melakukan kerja sendiri, membuat cubaan sendiri dan memikirkan apa yang baik dan tidak baik untuk diri mereka sendiri. Mereka harus diberikan masa dan latihan untuk membuat penakulan sendiri dalam penyelesaian masalah.
Rasa tidak sabar dan tidak yakin terhadap kebolehan anak-anak dengan mengatur dan menentukan segala-galanya untuk anak-anak kita hanya akan menjadikan mereka robot bernayawa yang mungkin sedikit lebih baik nasibnya daripada orang utan. Apakah erti hidup seorang anak yang ditentukan persekolahan, hobi, minat, pekerjaan dan perkahwinan sekadar dengan alasan ibu bapa lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Tanpa memberikan peluang kepada penimbaan pengalaman dan pengetahuan, adakah ibu bapa dapat membimbing dan memantau anak-anak mereka seumur hidup?
Kalau anak-anak kita tidak didedahkan dengan api masakan dia tahu akan api itu panas dan boleh membakar. Kalau tidak dibiarkan anak bermain air masakan dia tahu kita boleh lemas dalam air. Kalau kita terlalu takut akan kegagalan dan kesalahan bagaimana pula kita tahu apa yang kita lakukan itu betul atau salah? Tidak melakukan kesalahan kerana tidak melakukan apa-apa bukan satu perkara yang harus dibanggakan. Tanpa perbandingan dan pengalaman kendiri adalah mustahil kita boleh pandai sekadar dengan membaca.
Kelas kemahiran hidup di sekolah bukanlah tidak baik tetapi kaedahnya perlaksanaannya membolehkan kerja-kerja tangan dilakukan oleh orang lain atau boleh dibeli dari kedai menafikan sekaligus kemahiran yang sepatutnya diperolehi oleh pelajar. Satu-satunya kemahiran yang diperolehi oleh para pelajar dalam hal ini ialah demi mendapat markah yang tinggi mereka akan menggunakan apa juga cara untuk menipu dan membohong.
Kelas agama dan pendidikan moral di sekolah bukannya tidak baik tetapi kencenderungan pihak sekolah lebih kepada pencapaian akademik dan bukan nilainya yang sebenar menjadikannya sekadar subjek pelajaran semata-mata. Tidak ada bezanya pendidikan agama dan moral dengan mata pelajaran sejarah dan geografi. Apa gunakan memperolehi 100% dalam peperiksaan pendidikan agama datau moral jika markah itu diperolehi secara hafalan tanpa memahami erti kata sebenar apa yang dihafal. Apa bezanya pelajar seperti ini dengan alat perakam suara atau alat pendua?
Pelajar-pelajar kita yang tamat sekolah seharusnya menjadi seorang insan yang seimbang baik dari segi akademi, jasmani mahupun rohani mengikut Falsafah Pendidikan Negara. Namun begitu, kecenderungan guru-guru dan pihak sekolah, malahan pihak kementerian pelajaran sendiri menjadikan institusi sekolah itu sekadar kilang dan guru-guru sekadar operator untuk menghasilkan produk akhirnya berjaya menghasilkan produk fizikal tanpa isi yang berguna dalam menghadapi kehidupan yang begitu mencabar.
Setiap kali semasa pengumuman keputusan peperiksaan pelbagai peringkat, yang dilaporkan dan ditonjolkan adalah peratus kelulusan. Yang menjadi tajuk berita semua media utama negara adalah pelajar yang mendapat A yang terbanyak. Tidak pula kita lihat, dengar dan baca berita tentang pelajar yang cemerlang dari semua segi, akademik, ko-kurikulum, sifat dan kelakuan yang mulia.
Jadi apakah salah jika dikatakan bahawa Kementerian Pelajaran yang menjadi badan utama dalam menjana usaha menghasilkan generasi muda kita sebenarnya memberikan utusan dan tanggapan yang songsang kepada masyarakat? Jadi kenapa pula disalahkan kepada ibu bapa yang melumba-lumbakan anak mereka dalam pencapaian akademik sehingga mengabaikan disiplin, nilai moral dan aspek kehidupan lain yang penting?
Itulah sebabnya pelajar-pelajar kita begitu mudah terpengaruh dan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral dan tidak berfaedah. Mereka seolah-olah tidak mempunyai satu panduan, pegangan dan pertimbangan yang membolehkan mereka menilai apa yang baik dan apa yang buruk untuk mereka. Mahu disalahkan siapa kalau kita panduan dan pegangan hidup disampaikan sebagai satu subjek dalam peperiksaan dan bukannya sebagai satu amalan?
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bukanlah tidak baik tetapi perlaksanaannya telah menjadi begitu komersil dengan penglibatan pelbagai kontraktor pada pelbagai peringkat sehingga objektif asal dikorbankan demi keuntungan dan kepentingan individu tertentu. Apabila berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan mendapat aduan serta bantahan orang ramai, mereka yang sepatutnya bertanggungjawab nampaknya lebih bersungguh-sungguh untuk membuat penafian bagi menutup kepincangan yang ada.
Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak berwajib tidak langsung menyakinkan kita bahawa tindakan segera akan diambil bagi memasptikan perubahan ke arah yang lebih baik boleh dilakukan. Semua tindakan ini membimbangkan kita apakah rasa tanggungjawab, teladan, etika dan kasih sayang masih menjadi relevan dalam dunia yang serba realistik.
Amat aneh sekali dunia hari ini yang semakin canggih dengan pelbagai kemajuan, kemewahan dan kepintaran masih menghasilkan manusia yang begitu manja dan rapuh. Adakah mungkin ini satu agenda jangka wantu panjang yang ingin menjadi kita terus kekal sebagai golongan pak turut dan pak hangguk supaya kita boleh terus menjadi mangsa kepada mereka yang rakus dan tamak.
Apa yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini tidak lagi membenarkan kita terus tidur dan terus lena dalam mimpi yang tidak benar. Kita tidak lagi boleh mengharapkan orang lain untuk membantu dan menolong kita semasa kecemasan. Kita seharusnya mula mempelajari cara untuk hidup yang asas untuk membolehkan kita lebih tabah, yakin dan bijak dalam menghadapi keadaan yang tidak dijangka.
Keputusan yang bijak, cepat dan tepat boleh menyelamatkan nyawa kita sendiri dan nyawa orang lain. Kurangkan bercakap, lebihkan berfikir dan memerhati. Lihat apa yang sebenarnya dan bukan lihat apa yang sengaja ditonjolkan.
Bangunlah sayang!